Wednesday, March 13, 2013

Alvin Anthons Tinggalkan Kerjaya Deejay Untuk Jadi Penyanyi

Alvin muncul dengan single terbaru berjudul Sally.
PETALING JAYA: Penyanyi baru Alvin Anthons mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjayanya sebagai penyampai radio di Selangor FM awal tahun ini bagi menumpukan perhatian kepada dunia nyanyian.
Alvin, 37, berkata, kesibukan memenuhi undangan nyanyian dan rakaman album pertamanya telah membuatkan dia nekad dengan keputusan tersebut walaupun berat hati.
"Enam bulan saya bergelar penyampai radio di Selangor FM namun kesibukan sebagai penyanyi membuatkan saya terpaksa mengambil keputusan sukar itu.
"Bagaimanapun pihak pengurusan Selangor FM sentiasa terbuka untuk menerima saya sekiranya ingin kembali bekerja di situ," jelasnya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa.
Dalam pada itu, Alvin berkata, dia sangat berbesar hati apabila kehadirannya sebagai penyanyi diterima baik terutama di kalangan masyarakat Melayu.
Alvin memberitahu penerimaan terhadap ‘single’ pertamanya berjudul Berdua telah membuatkannya lebih bersemangat untuk menghasilkan album penuh yang dijangka berada di pasaran April depan.
"Peminat sentiasa memberi reaksi positif kepada lagu Berdua dan atas dasar itu juga saya berani untuk tampil dengan album pertama ini," ujarnya.
Sementara itu, Alvin berkata, album terbaharunya yang mendapat sentuhan komposer Ajai sudah berada pada peringkat akhir pembikinan dan kesemua lagu sedang menjalani proses ‘mastering’ di New York, Amerika Syarikat.
"Saya mahu hasil kesemua lima buah lagu yang bakal dimuatkan dalam album itu nanti dalam keadaan terbaik dan sebab itu juga kita hantar ke New York untuk proses ‘mastering’," katanya.
Dalam perkembangan sama, Alvin berkata, dia akan melancarkan ‘single’ keduanya berjudul Sally ciptaan sepenuhnya oleh Ajai dan klip video lagu tersebut telah disiapkan dan penggambaran dilakukan di Indonesia.
"Kami akan melancarkan video klip lagu tersebut pada penghujung bulan ini terlebih dahulu sebelum lagu itu dimainkan di radio," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: