Salah satu cara yang mungkin dapat membantu adalah menerusi drama bersiri komedi dan pendidikan Oh My English! (OME!) musim kedua yang mula disiarkan mulai 31 Mac di saluran Astro TVIQ (saluran 610) dan di Astro Mustika HD (Saluran 134).
Berlainan daripada musim pertama, OME! kali ini bakal menjadi lebih meriah dengan karakter baru yang didukung oleh pelakon terkenal tanah air seperti Tiz Zaqyah (Cikgu Ayu), Aaron Aziz (Cikgu Malik), Syafie Naswip (Azlan)
Selain itu, musim kali ini turut menjemput beberapa barisan pelakon popular seperti, Lisa Surihani, Rozita Che Wan, Datuk Aznil Haji Nawawi, Nur Fazura dan ramai lagi sebagai penampilan khas pada setiap episod.
Sempat mengikuti majlis pelancaran drama OME!, Zass tidak melepaskan peluang menemu ramah tiga selebriti yang bakal memeriahkan OME musim ini.
Jom ikuti kisah, Aaron Aziz, Lisa Surihani dan Zain Saidin.
Lisa tak fikir panjang
Sama seperti musim pertama, Lisa masih diberi kepercayaan membawa watak dirinya sendiri, iaitu sebagai seorang pelakon yang sedang mencari bakat-bakat baru untuk sebuah filem Bahasa Inggeris. Akui teruja membintangi siri ini, Lisa berkata, dia terus menerima tawaran tanpa perlu berfikir panjang lagi.
“Saya anggap ini rezeki saya kerana dipanggil balik untuk musim kedua ini.
“Pada musim pertama, saya anggap kemunculan saya hanya sebagai pengenalan sahaja, tetapi pada musim kedua ini, saya sudah serasi dan kenal pelakon yang sama-sama terlibat dalam OME ini,” katanya.
Menurut pelakon Istanbul Aku Datang tersebut, dia menyokong sistem pembelajaran di Malaysia dan ingin turut serta meningkatkan tahap kemahiran Bahasa Inggeris para pelajar dan rakyat Malaysia yang menonton OME.
“Pada pendapat saya, OME sangat bagus kerana menyelitkan pendidikan dan hiburan. OME bukan rancangan yang kosong, tetapi bermakna.
“Terima kasih kepada Astro kerana mempelawa saya untuk musim kedua ini dan jangan lupa untuk saksikan OME setiap hari Ahad bermula 31 Mac ini,” katanya.
Terbang ke Los Angeles
Menyentuh mengenai perkembangan terbarunya, pelakon yang tidak lekang dengan senyuman itu menyatakan yang dia akan terbang ke Los Angeles (LA) pada hujung minggu ini.
Bukan sebab mendapat tawaran berlakon di Hollywood ataupun menjalani penggambaran di sana, Lisa ke Los Angeles menemani suaminya Yusri atas urusan kerja.
“Lisa ke LA kerana Yusri ada perjumpaan dengan pengedar di sana dan Lisa sebagai isteri hanya temankan Yusri sahaja,”katanya.
Dalam bidang lakonan pula, Lisa akan muncul dengan dua telemovie terbarunya dalam masa terdekat ini iaitu Jawa Taiko dan Mama Mama Mia.
“Jawa Taiko merupakan parodi Jiwa Taiko dan kedua-dua telemovie ini berunsur komedi dan tidak berat.
“Filem Lisa yang akan datang adalah Dendam Orang Mati dan Ular. Ular merupakan filem arahan Yusri dan ini kali pertama Lisa berlakon di bawah filem arahan Yusri,” katanya.
Menurutnya lagi, lakonannya dalam filem atau drama yang bersifat komedi merupakan terapi untuk dirinya kerana secara tidak langsung ini dapat melepaskan tekanan berlakon filem yang berat.
“Terima kasih kepada peminat Lisa kerana menyokong Lisa selama ini dan teruskan menyokong Lisa,” kata duta produk kecantikan Garnier ini.
Zain dipanggil cikgu
Membawa watak Mr Henry Middleton dalam OME, Zain mengakui tidak mempunyai sebarang masalah untuk membawa watak Mr Henry.
Mempunyai wajah persis Inggeris kerana mewarisi darah ibunya, ini menjadikan satu kelebihan buat Zain kerana Mr Henry merupakan guru Bahasa Inggeris daripada United Kingdom yang mengajar subjek Bahasa Inggeris di SMK Ayer Dalam.
Kepetahan berbicara dalam Bahasa Inggeris memudahkan lagi penghayatan Zain dalam membawakan watak Mr Henry ini.
“Saya rasa saya tidak layak untuk menjadi seorang cikgu kerana saya tidak pernah belajar bidang tersebut. Tetapi apabila berlakon saya perlu menghayati watak tersebut.
“Tambahan pula sebelum ini saya merupakan tenaga pengajar di gimnasium. Dan saya turut mengajar mereka cara yang betul di gimnasium. Bagi saya apabila ditawarkan watak Mr Henry ini, pengalaman ini amat membantu dalam lakonan saya.
“Apa yang membuatkan saya sedikit terkejut apabila ada mereka di luar sana memanggil saya cikgu. Saya rasa saya tidak layak tetapi apabila mereka memanggil saya terpaksa menyahut untuk tidak menghampakan mereka,” katanya lagi.
Bercerita mengenai OME musim kedua ini, Zain menyifatkan watak Mr Henry pada kali ini lebih mencari cinta. Ini kerana Mr Henry minat kepada Cikgu Ayu lakonan Tiz Zaqyah dan dalam masa yang sama perlu berebut dengan Cikgu Malik lakonan Aaron Aziz.
Dalam masa yang sama, Mr Henry berjumpa kembali dengan kekasih lamanya dan membuatkannya berbelah bahagi sama ada untuk memilih Cikgu Ayu atau kekasih lamanya.
Ditanya mengenai cabaran musim kedua ini, Zain mengatakan dalam bidang lakonan tidak ada cabaran kerana sudah menyesuaikan diri semasa musim pertama lagi. Apa yang menjadi cabaran adalah masa apabila menghabiskan lakonan 20 episod dalam masa tiga minggu sahaja.
Sertai MasterChef Selebriti
Ditanya mengenai perkembangan terkini, pelakon putih melepak tersebut memberitahu Zass dia akan terlibat dalam MasterChef Selebriti musim kedua yang akan disiarkan oleh Astro.
Turut serta dalam MasterChef Selebriti musim kedua ini adalah kekasih hatinya, Rozita Che Wan.
Selain itu, Zain turut ditawarkan menjadi pengacara untuk sebuah program berbahasa Inggeris.
“Saya terima tawaran pengacaraan ini kerana ianya merupakan satu pengalaman yang berbeza buat saya. Apa salahnya saya mencuba satu benda yang baru,” katanya kepada Zass.
Zain turut memberitahu bahawa jadualnya kini penuh sehingga Mei dan akan menjalani penggambaran untuk sebuah telefilem di Amsterdam.
Ditebak mengenai hubungannya dengan Rozita Che Wan ini jawapannya. “Saya akan mengadakan sidang media mengenai perkahwinan saya dengan Che Ta selepas raya tahun ini. Jadi tunggulah lepas raya nanti,” katanya bersahaja.
Aaron berlakon demi anak-anak
Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2012, Aaron Aziz turut memeriahkan musim kedua OME dengan membuat penampilan sebagai Cikgu Malik.
Bagi Aaron, ini merupakan pengalaman baru buatnya. Malah selama ini dia turut kagum dan meminati siri OME.
“Anak-anak sering bertanya kepada saya kenapa daddy tak berlakon dalam OME? Saya jawab kepada anak-anak saya tak semua filem atau drama perlukan daddy,” katanya sambil ketawa.
“Jadi bila menerima tawaran untuk terlibat dalam OME musim kedua, saya terus menerima dan anak-anak saya merupakan orang yang paling gembira,” katanya.
Katanya lagi, dia tahu drama lakonan dia dapat menarik minat dan perhatian setiap orang dan dia buat semua ini untuk anak-anaknya dan semua orang.
Mengenai watak yang dibawa iaitu Cikgu Malik, Aaron memberitahu Cikgu Malik merupakan seorang guru pendidikan jasmani dan amat mementingkan kesihatan dan menganggap pendidikan jasmani lebih penting dari Bahasa Inggeris.
Jadual semakin padat
Pelakon bertubuh sasa ini mengakui jadual lakonan dan hariannya kini penuh dan terpaksa membahagikan masa untuk keluarga dan peminat.
Filem terbaru Aaron akan menemui penonton di pawagam pada hujung Mac ini dan kemunculan drama siri pada Mei ini.
Aaron juga akan terlibat dalam pembikinan filem Adam dan Hawa selepas raya tahun ini.
Selain itu, peminat Aaron boleh nantikan kemunculan filem KL Gangster 2, Dampak dan Lari lakonan Aaron Aziz. Terbaru, Aaron Aziz melancarkan duet terbarunya bersama Sleeq yang diberi nama Salam Semua.
“Walaupun dalam lagu ini saya tak nampak seperti menyanyi, tetapi lebih kepada rap sahaja, saya rasa ini permulaan yang bagus sebab saya sendiri pun tidak pernah terfikir untuk jadi penyanyi.
“Lagipun ini semua idea Sleeq untuk saya menyanyi sekali dan lagu Salam Semua ini lebih berkisar kepada kehidupan saya, isteri dan anak-anak dan mesej yang hendak saya sampaikan ada dalam lagu ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: