Tuesday, March 15, 2011

Yusry seronok layan soalan peminat


Yusry kelihatan santai menjawab soalan daripada petugas Utusan Melayu yang disiarkan menerusi TV Utusan, baru-baru ini.


SEBAIK sahaja kereta Hummer berwarna kuning dipandu masuk ke kawasan pejabat Utusan Melayu, banyak mata yang memandang ingin mengetahui gerangan pemandu kereta mewah itu dan ramai teruja apabila melihat si pemandu adalah Yusry KRU.

Yusry Abdul Halim, 38, yang tampil santai dengan memakai t-shirt, jaket dan topi itu hadir di pejabat Utusan Melayu bagi menjayakan program Chat Bersama...Yusry KRU secara live streaming di TV Utusan.

Jika artis lain yang hadir menjayakan program tersebut mendendangkan lagu untuk menghibur petugas Utusan Melayu, Yusry pula merelakan dirinya diasak dengan pelbagai soalan tanpa batasan.

Katanya, apa sahaja soalan yang diaju akan dijawab. Memang benar, Yusry tidak menolak sebarang persoalan biarpun ia berkaitan peribadi.

"Okay, nak tanya apa. Selama ini pun saya jarang mengelak daripada menjawab soalan pihak media," katanya membuka bicara.

Soalan pertama yang ditanya, bilakah beliau akan mendirikan rumah tangga setelah lama menduda.

Katanya, semua itu terpulang kepada jodoh dan setakat ini statusnya masih bujang dan belum bertemu dengan wanita idaman.

Kata Yusry, segala gosip hubungannya dengan beberapa artis itu adalah tidak benar kerana sehingga kini beliau masih lagi solo dan belum menemui pasangan hidup.

"Hubungan saya dengan artis yang digosipkan itu sekadar rakan kerja kerana saya ini jenis yang tidak suka keluar rumah. Jadi orang yang rapat dengan saya sudah tentu kelompok yang sama.

"Sebenarnya saya tidak pernah menetapkan wanita golongan apa yang bakal menjadi pasangan saya. Cukup kalau dia memahami dan menerima saya seadanya," katanya yang melayan soalan peminat dari pukul 9.30 malam hingga 11 malam.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, beliau juga pernah keluar dengan wanita bukan kalangan artis tapi semua itu tidak menarik perhatian media.

Apa pun kata Yusry, beliau lebih senang membiarkan keadaan dan masa menentukan kerana fokus utamanya ketika ini adalah mempromosi filem Hikayat Merong Mahawangsa (HMM).

HMM yang turut ditayang di 72 buah negara termasuk Amerika Syarikat, Jerman, Russia, Kanada, Eropah, Australia dan China itu tidak terikat dengan judul asal filem terbitan KRU Studios Sdn. Bhd.

Menurut Yusry, setelah HMM yang menelan belanja RM8 juta dijual di negara berkenaan terpulang kepada pengedar untuk mengekalkan judul asal atau menukarkannya kepada judul baru.

"Pihak KRU Studios tidak ada kuasa menentukan apa yang dilakukan oleh pembeli di negara berkenaan. Begitu juga kalau filem HMM dialih ke

bahasa lain, itu hak mereka. Objektif kami adalah untuk melihat HMM ditonton oleh penonton antarabangsa," katanya.

Pada program berkenaan juga peminat yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia itu turut bertanya perihal yang berlaku di sebalik pembikinan HMM.

Kata Yusry, cabaran utama ketika mengarah HMM yang mengambil masa penggambaran selama 52 hari di sekitar Terengganu itu adalah faktor cuaca dan mengawal lebih kurang 500 pelakon dalam satu set.

"Keadaan cuaca yang tidak menentu membuatkan jadual penggambaran tertangguh. Ada ketikanya kapal yang dibina rosak kerana ditiup angin dan terpaksa dibina semula.

"Ada satu adegan, helikopter yang ditempah dari Kuala Lumpur datang untuk penggambaran, tiba-tiba kapal rosak. Begitu juga kami terpaksa

mengangkut pelakon berbangsa India dan Inggeris dari Kuala Lumpur," ceritanya.

Lain-lain soalan yang dikemukakan kepada Yusry adalah tentang pemilihan pelakon, kejadian di sebalik pembikinan HMM dan perihal peribadi.

Sepanjang program berlangsung, Yusry mendapat 600 soalan daripada peminat-peminatnya dan lebih 1,500 orang telah mengikuti program tersebut.

Biarpun hampir kering tekaknya kerana Yusry tidak membalas soalan dengan bertaip sebaliknya membaca dan menjawabnya secara langsung.

Kehadiran Yusry yang mula mencipta nama dalam bidang seni suara sebagai penyanyi dalam kumpulan adik beradik KRU itu membuatkan ramai petugas Utusan Melayu tidak melepaskan peluang untuk merakam foto bersamanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: