Tuesday, March 29, 2011

UTM pantau perkembangan MoU setiap bulan


Dr. Zaini Ujang (kanan) bertukar dokumen dengan Dr. Omar Khalid selepas majlis MoU di Skudai, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 28 Mac - Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan universiti luar akan dipantau perkembangannya setiap bulan oleh pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan tugas tersebut.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Zaini Ujang berkata, jika kerjasama dimeterai gagal aktif selama setahun akan diminta ditamatkan kerana pihaknya tidak akan membenarkan sesuatu MoU dibiarkan tanpa ada perkembangan.

Beliau berkata, ini kerana MoU amat penting terutamanya untuk melahirkan rakan strategik dan sebagai usaha berterusan UTM dalam membina hubungan formal dengan universiti terkemuka luar negara.

"Kita tidak menjalinkan kerjasama dengan sebarangan universiti. Institusi pengajian tinggi yang ada kaitan dengan UTM seperti penyelidikan dan teras pengajaran sahaja dijadikan rakan strategik kami.

"Lagipun kita fokus dalam bidang yang dikenal pasti mampu memberi impak kepada kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU antara UTM dan Institut Teknologi Brunei (ITB) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Zaini mewakili UTM, manakala ITB diwakili Timbalan Rektornya, Datuk Paduka Omar Khalid.

UTM telah menandatangani lebih 135 MoU dengan universiti tempatan dan antarabangsa sejak 2008 hingga kini dengan 52 MoU dibuat pada 2008 manakala pada 2009 membabitkan 64 perjanjian dan selebihnya pada tahun lalu dan tahun ini.

Zaini berkata, MoU berkenaan juga memudahkan program yang melibatkan mahasiswa atau kakitangan UTM terutamanya aktiviti pertukaran penuntut dan kakitangan ke universiti terpilih.

"Dari segi kos ia dapat dijimatkan kerana apabila MoU dimeterai, penuntut mahupun kakitangan kita boleh menggunakan kemudahan dan prasarana disediakan di universiti tersebut dengan percuma atau pada kadar berpatutan, begitu juga dengan penuntut mereka yang ada di sini," katanya.

Mengenai MoU dengan ITB, Zaini berkata, perjanjian antara UTM dan ITB merangkumi pertukaran mahasiswa dan kakitangan, penyelidikan, program pengajaran dan pembelajaran, penerbitan bahan penyelidikan serta saintifik yang lebih menjurus kepada kajian berkaitan petroleum dan gas.

Beliau berkata, perjanjian tersebut selaras dengan komitmen UTM sebagai sebuah Universiti Penyelidikan yang berasaskan inovasi menuju ke aras kecemerlangan dalam inovasi dan pencapaian nilai tinggi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: