Tuesday, March 29, 2011

Cinta sejati Eddie Wings




PEMAIN gitar bass kumpulan rock popular Wings, Eddie jarang mahu berbicara tentang isteri dan anak-anaknya.

Baginya, adalah lebih baik jika publisiti media terarah kepada perjuangan Wings dalam industri muzik tanah air.

Namun begitu, selepas 25 tahun bersama Wings dalam keadaan susah dan senang, hari ini Eddie lebih terbuka apabila diajak bercerita tentang perkara yang lebih peribadi.

Baru-baru ini, kehadiran isteri Eddie, Norlela Mohd. Yusof, 48, pada sidang akhbar Konsert Wings Opera Hidup 'Superfriends' mencuri perhatian lensa jurufoto Utusan Malaysia.

Eddie atau nama sebenarnya, Samsaidi Ulong Idris, 42, dilihat memimpin tangan isterinya yang bertongkat.

Tidak berhenti setakat itu, Eddie juga dilihat menggenggam erat tangan Norlela yang kelihatan agak payah untuk melangkah tangga dan duduk di kerusi di Lambang Sari, Istana Budaya.

Selepas majlis selesai, Hits mendekati anak kelahiran Gopeng, Perak itu dengan harapan dia akan bercerita tentang isterinya.

"Isteri saya kurang sihat. Dia mengidap kencing manis. Pada Hari Raya tahun lepas, dia dimasukkan ke Hospital Ampang. Kaki kanannya terpaksa dipotong sehingga ke paras betis dan kini, dia menggunakan kaki palsu.

"Itulah sebabnya apabila berjalan, langkahnya perlahan dan dibantu dengan tongkat.

"Alhamdulillah, penyakit kencing manisnya terkawal," kata Eddie.

Katanya, rumah tangga yang dibina selama 20 tahun itu dikurniakan empat orang cahaya mata.

Namun anak bongsu pasangan ini meninggal dunia ketika berusia 28 hari.

Anak sulung pasangan itu ialah Nur Najmi Nadhira, 18, yang kedua, Nur Najmi Nabila, 15, dan Mohd. Aidil Hidayat, 13.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: