|
|
NISHI (nama timangan), empat tahun, dilahirkan dengan Sindrom Down. Tahun-tahun awal kanak-kanak ini, tidak seperti anak-anak normal lain. Dia sukar untuk menyebut perkataan apatah lagi bertutur.
Nishi juga tidak boleh melangkah seperti anak kecil kerana otot-ototnya yang lemah menghalangnya daripada berbuat demikian.
Seperti kes Sindrom Down, kelemahan juga berlaku dengan perkembangan minda Nishi. Semua ini memang menghalang dia daripada bertutur dan bergerak (berjalan) seperti anak yang normal.
"Saya telah minta bantuan daripada banyak pihak tetapi anak saya tidak menunjukkan sebarang perubahan", kata ibu Nishi yang hanya mahu dikenali sebagai Zai kepada penulis di Yayasan Sindrom Down Kiwanis-Pusat Nasional (KDSF-NC) di Petaling, Selangor.
Zai menjadi hampir putus asa kerana tiada perubahan dapat dilakukan pada masalah pertuturan yang dialami Nishi.
"Kemudian seorang rakan mencadangkan saya menghantar Nishi ke KDSF kerana pusat itu bersedia membantu anak-anak Sindrom Down", kata kakitangan awam yang berumur 42 tahun itu.
Zai mendaftarkan anaknya di KDSF-NC pada Mei 2009. Anak itu berumur dua tahun ketika itu.
"Di situ (KDSF-NC), mereka ada pakar fisioterapi, juga pakar patologi pertuturan (SLP)."
Selepas penilaian tentang sifat fizikal dan minda Nishi diadakan, anak itu dimasukkan ke kelas mingguan yang merangkumi latihan menguatkan otot serta pertuturan.
Kini, selepas dua tahun berlalu, Nishi sudah boleh berjalan dan mula menyebut bunyi-bunyi yang hampir sama dengan sebutan dalam pertuturan.
"Nasib baik saya hantar anak ke KDSF kerana mereka (pakar terapi) berjaya dapat membantunya," kata Zai.
KDSF mempunyai tiga pakar fisioterapi - Junaleth 'June' Dalupang, Hazel Joy Sablay dan Ida Yasmine Ahmad, manakala SLPnya ialah Jessie Lim. Mereka inilah yang membantu Nishi dengan memberikan latihan menguatkan otot dan dalam pertuturan.
"Mereka banyak membantu anak saya," kata Zai.
"Yayasan Sindrom Down Kiwanis komited terhadap kebajikan anak-anak yang mengalami sindrom ini. Fokusnya adalah pembelajaran anak-anak ini sehingga umur mereka enam tahun," kata Pengarah KDSF-NC, Angie Heng.
Menurut Heng, pusat itu memberi keutamaan terhadap program Pembelajaran Khas selain melatih guru-guru dalam Keperluan Pembelajaran Khas.
"Kalau perlu, kita juga memberi khidmat nasihat serta kaunseling kepada keluarga yang mempunyai anak Sindrom Down selain daripada berusaha meningkatkan kesedaran awam tentang Sindrom Down.
Pusat itu mengamalkan pendekatan Kurikulum Robert Dellar, satu Program Intervensi Awal (EIP) sebagai panduan pembelajarannya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: