KUALA LUMPUR: Enam pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM), termasuk dua wanita ditahan di Johor kelmarin kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dan mengelakkan cukai bernilai berbilion ringgit yang dibongkar pada Isnin lalu.
Sumber memberitahu Berita Harian, penahanan itu adalah tindakan susulan penahanan seorang pegawai kanan bergelar Datuk dan isterinya yang juga pegawai kanan kastam di rumah mereka di Pahang.“Empat pegawai kastam terbabit ditahan untuk membantu siasatan dan kini dalam proses memberi keterangan berhubung kegiatan itu. Lebih banyak penahanan akan dilakukan secara berperingkat dalam masa terdekat bagi melengkapkan kertas siasatan.
Dalam serbuan Isnin lalu, pasukan khas dianggotai KDRM, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dua agensi lain dengan diketuai oleh SPRM, membongkar sindiket kegiatan pengubahan wang haram dan mengelakkan cukai bernilai berbilion ringgit.
Pasukan terbabit menemui wang tunai ratusan ribu berselerakan ketika menyerbu rumah pegawai kanan KDRM Pahang itu. Pasangan itu ditahan di pejabat SPRM sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan untuk perintah reman petang kelmarin.
Mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(A) Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan dan penjara tidak lebih 20 tahun.
Selain itu, sumber SPRM pula memaklumkan penahanan pasangan pegawai kanan KDRM di Kuantan hanyalah permulaan kepada pembongkaran jenayah terancang membabitkan lebih banyak sindiket dan kumpulan penggurup wang.
Beliau berkata, serbuan secara serentak membabitkan tujuh agensi penguatkuasa di lima negeri itu hanya mendedahkan rangkaian sindiket utama yang terbabit.
"Siasatan awal mendapati sindiket terbabit mengambil kesempatan terhadap kelonggaran atau kepincangan dalam undang-undang sedia ada bagi memindahkan wang, selain melakukan jenayah seperti mengelakkan cukai dan membersihkan wang haram.
"Masih terlalu awal bagi menilai anggaran kerugian sebenar kerajaan dari segi kutipan cukai dan kehilangan perolehan, tetapi ini adalah kes terbesar SPRM setakat ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Khalid Mohd Yusof tidak menafikan ada di kalangan 13,000 pegawai dan anggotanya yang bermasalah.
“Kita memberi kerjasama penuh kepada SPRM, termasuk menyalurkan maklumat yang diperlukan bagi membantu siasatan dan yakin suruhanjaya berkenaan menjalankan siasatan secara profesional,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: