BOLEH dikatakan Nur Fathia Abd. Latiff dan Miera Liyana Kasmi masih lagi setahun jagung dalam persada hiburan tanah air. Bagaimanapun, ia langsung tidak menghalang kedua-dua mereka daripada memegang watak-watak penting dalam sesebuah drama yang dilakonkan.
Lebih beruntung lagi, kebanyakan drama lakonan mereka juga sering mendapat sambutan yang hangat daripada penonton. Misalnya, Nur Fathia dikenali menerusi drama Hani, manakala Miera pula mula popular dengan drama Kamelia Katrina.
Bagi Nur Fathia, meskipun dirinya kini mula menjadi perhatian ramai serta kerap mendapat tawaran berlakon daripada pengarah terkenal, tetapi dia sebenarnya mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang peguam.
Ujar pelajar jurusan undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu lagi, dia tertarik dengan kerjaya peguam ketika bekerja secara sambilan di firma guaman pak ciknya.
“Pada saya, peguam merupakan satu kerjaya yang sangat menarik. Mungkin minat terhadap pekerjaan tersebut timbul memandangkan ada pak cik saya yang memiliki firma guaman sendiri.
“Sementara, di kalangan adik-beradik pula bukan saya seorang sahaja yang berminat untuk menjadi peguam, malah salah seorang adik saya juga mempunyai cita-cita dan belajar di universiti yang sama,” ujar anak sulung empat beradik itu.
Menurut pelakon berusia 23 tahun itu lagi, sekiranya diberi pilihan untuk menjadi seorang pelakon atau peguam, pastinya dia akan mengutamakan cita-citanya itu.
Sudah dua tahun bergelar mahasiswa undang-udang, dia juga menegaskan tidak akan sesekali berhenti belajar dan lebih sanggup meninggalkan dunia lakonan jika keadaan memaksa.
“Sama ada untuk terus aktif dalam lakonan atau sebaliknya, apa yang lebih penting lagi saya perlu menamatkan pelajaran terlebih dahulu. Lagipun rasa sayang pula kalau belajar separuh jalan sahaja.
“Lagipun ahli keluarga yang lain juga turut memberi nasihat yang sama. Cuma buat masa ini saya perlu berusaha lebih keras supaya pelajaran saya tidak merosot apabila aktif berlakon,” jelasnya.
Seperti Nur Fathia, seorang lagi pelakon baru yang semakin popular, Miera Leyana turut mempunyai impian yang sama mahu bergelar peguam suatu hari nanti.
Baru mencecah usia 18 tahun, pelakon yang kini sedang menjalani penggambaran drama Kasih Yang Suci ini meluahkan rasa gembira dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diterimanya baru-baru ini.
“Saya minta maaf sebab terpaksa merahsiakan keputusan SPM yang saya dapat. Namun saya memang gembira kerana keputusan tersebut mencapai sasaran dan boleh melayakkan saya untuk menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang.
“Cuma buat masa sekarang saya masih belum membuat keputusan yang muktamad lagi sama ada mahu sambung belajar ataupun tidak pada tahun ini,” ujar pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur itu.
Tambah Miera, ketika ini dia masih tidak mahu terlalu terburu-buru untuk mengejar cita-citanya itu memandangkan kini dia semakin sayang dan jatuh cinta dengan dunia lakonan.
Akuinya, memang ketika ini perasaannya begitu berbelah bahagi memandangkan semakin banyak tawaran berlakon yang diterima dan tidak mahu melepaskan peluang yang diberikan.
“Perkara ini sudah saya bincangkan dengan ahli keluarga lain terutamanya ibu. Malah, ibu menasihati saya supaya memilih sama ada mahu terus berlakon atau menyambung pelajaran.
“Lagipun ibu tahu tentang diri saya yang tidak boleh buat dua perkara dalam satu masa. Apa yang paling merisaukannya kalau saya melakukan kedua-duanya, saya akan sering ponteng kuliah kerana sibuk berlakon,” jelasnya.
Bagaimanapun, tegas pelakon yang dilanda kontroversi hangat itu lagi, sekiranya dia bertekad untuk terus berlakon, dia tetap akan menyambung pelajarannya suatu hari nanti.
“Cita-cita untuk menjadi seorang peguam tidak pernah luntur dalam diri saya. Lagipun saya masih muda lagi dan saya boleh menyambung pelajaran sekiranya benar-benar sudah bersedia,” ujarnya.
Pendapatan sampingan
Tidak dinafikan, namanya semakin dikenali dan menjadi sebutan ramai lantaran aktif sebagai dramatis.
Meskipun dilihat sudah bertapak kukuh dalam bidang lakonan, tetapi Nur Fathia menjelaskan pembabitannya sebagai seorang pelakon sebenarnya sekadar minat dan hobinya sahaja.
Ujarnya, dia sendiri tidak pernah terfikir untuk bergelar seorang pelakon sebelum ini, sehinggalah dia terbabit dalam sebuah iklan komersial syampu beberapa tahun lalu.
“Berlakon adalah salah satu minat saya selain fesyen sejak dari dahulu lagi. Cuma buat masa sekarang ini pelajaran tetap menjadi keutamaan dan tidak terlalu serius dalam lakonan.
“Saya akui semakin banyak tawaran yang diterima semenjak kebelakangan ini, namun ada yang terpaksa ditolak kerana bertembung dengan jadual kuliah saya,” ujarnya.
Dia menambah, biasanya kebanyakan drama yang dilakonkannya itu menjalani penggambaran ketika dia sedang berada dalam cuti semester pengajian.
Namun begitu, Fathia tetap meluahkan rasa gembira dan syukurnya kerana semakin diterima penonton meskipun pada mulanya dia dikecam apabila membawa watak berpeluk-pelukan dan bersentuh-sentuhan dengan pelakon lelaki dalam beberapa drama.
Sementara itu, ketika ditanya adakah dia tidak bimbang apabila terpaksa bersaing dengan pelakon-pelakon baru yang lain, dia menjelaskan tidak ada apa yang perlu dibimbangi kerana dia menjadikan lakonan sebagai pendapatan sampingan sahaja.
“Saya sedar yang industri lakonan tempatan sememangnya tidak pernah ketandusan bakat-bakat baru. Malah, saya sudah bersedia sekiranya tidak diterima dalam industri ini lagi,” luahnya.
Pengajaran
Berbanding dengan Nur Fathia yang setakat ini tidak pernah lagi dilanda sebarang kontroversi hangat, berlainan pula dengan nasib yang telah menimpa Miera baru-baru ini.
Gara-gara memakai baju yang terlalu seksi hingga mendedahkan bahagian tepi payu dara hasil rekaan Wan Huzairil Wan Hussein, namanya tiba-tiba meletup sehingga menerima kritikan ramai pihak.
Mengulas mengenai perkara tersebut, dia menjelaskan bukan sengaja untuk mencetuskan kontroversi dan semata-mata mahu meraih populariti segera. Sebaliknya apa yang berlaku adalah di luar jangkaannya sama sekali.
“Biarpun saya masih lagi agak baru dalam bidang ini, tetapi tidak pernah terlintas di fikiran saya dengan melakukan perbuatan sebegitu untuk mencari publisiti murahan.
“Dalam perkara ini, saya tidak menyalahkan sesiapa pun. Segala apa yang berlaku itu menjadi pengajaran berguna buat diri saya dan menjadi iktibar supaya lebih berhati-hati selepas ini,” jelasnya.
Menurut Miera lagi, sebagai seorang perempuan, dia turut melahirkan rasa malu apabila gambarnya tersebar di Internet dan mendapat cemuhan daripada orang ramai.
Bagaimanapun, untuk acara Anugerah Bintang Popular yang akan berlangsung pada 3 April ini, dia masih menggunakan khidmat pereka Wan Huzairil untuk mereka pakaiannya nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: