Thursday, March 31, 2011

Air kering pada tahun 2020?


RAKYAT Malaysia didapati melakukan pembaziran air bersih apabila menggunakannya secara berlebihan.


AIR atau istilah sains H2O merupakan sebatian kimia yang berada dalam bentuk cecair pada tekanan biasa dan pada suhu bilik. Bahkan, ia meliputi 70 peratus daripada permukaan bumi.

Biarpun peratusannya dalam julat yang besar, dunia sebenarnya mempunyai bekalan air bersih yang terhad di permukaan bumi, atmosfera dan dalam tanah.

Masyarakat kadangkala tersalah anggap bahawa lautan adalah sumber air sedia ada tetapi mereka tidak memahami jumlah tenaga yang diperlukan untuk menukar air masin kepada air bersih masih lagi sesuatu yang sukar dilakukan.

Di Malaysia, rakyat sepatutnya berasa bertuah kerana kita mempunyai sumber air tawar yang banyak memandangkan kedudukan negara di garisan khatulistiwa.

Malah, kita turut dikurniakan hujan sepanjang tahun dengan jumlah lebih daripada 2,000 milimeter (mm) manakala bahagian pantai timur sebanyak 5,000 mm setahun.

Dalam pada itu, sungai di negara ini membekalkan kira-kira 97 peratus bekalan air mentah yang diperlukan untuk pertanian, penggunaan domestik dan industri.

Punca air tawar lain seperti tasik, dataran banjir serta muara sungai menyediakan pelbagai sumber dan keperluan kepada manusia, haiwan dan tumbuhan.

Namun, semua itu tidak menjamin bekalan air bersih di negara ini kekal buat selama-lamanya kerana sumber keperluan bagi kegunaan manusia dianggarkan semakin berkurangan akibat pencemaran dan permintaan yang semakin meningkat.

Malah, krisis air bersih menyebabkan manusia bersikap tamak dan mementingkan diri pada masa akan datang sekiranya isu-isu itu tidak ditangani dengan cermat.

Justeru, bagi melahirkan kesedaran secara berterusan dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dengan kerjasama Coca-Cola Malaysia menganjurkan WATER! 2011 sempena Hari Air Sedunia baru-baru ini.

Persoalan paling hangat sudah tentunya, adakah sumber air bersih bakal habis pada tahun 2020? Persoalan itu dibincangkan dan mendapat pelbagai reaksi peserta yang disertai pelbagai negara.

Menurut Presiden MNS, Profesor Maketab Mohamed, teka-teki berkenaan isu tersebut seharusnya ditujukan kembali kepada masyarakat bagaimana kaedah menguruskan air secara efektif.

Penggunaan air


BANYAK negara dunia ketiga kini berdepan dengan krisis air bersih.


Maketab memberitahu, disebabkan sumber air bersih di negara ini agak murah, rakyat menggunakan air secara berlebihan berbanding negara maju malah mudahnya seperti benda jatuh daripada langit.

“Realitinya di Malaysia, purata rakyat kita menggunakan air adalah sebanyak 200 liter seorang setiap hari berbanding negara lain terutama negara maju menggunakan 150 liter seorang.

“Itu semua adalah untuk kegunaan harian seperti mandi dan sebagainya manakala kegunaan secara tidak langsung banyak lagi terutama kegunaan industri,” dedahnya.

Hampir 400 remaja menyertai WATER! 2011 yang diadakan di Universiti Putra Malaysia dengan harapan corak pemikiran baru dapat disemai agar mereka bertindak sebagai penjaga air serta mencari kaedah menguruskan sumber yang semakin meruncing dengan lebih baik.

Dalam pada itu, jelas beliau, melalui kajian yang dilakukan oleh pihak tertentu, pembaziran air di negara ini antara 35 hingga 40 peratus dan ia terlalu besar.

Di sebalik semua itu, kos pengurusan dan rawatan air meningkat setiap tahun dan ini memerlukan tenaga kerja mahir bagi mencipta teknologi untuk merawat air tercemar serta mencari sumber lain sebagai jalan penyelesaian.

“Kebanyakan sumber air tanpa rawatan kita sekarang adalah kelas tiga atau mungkin menghampiri kelas empat dan itu agak teruk,” ujarnya.

Tambah Maketab, sesetengah NGO berpendapat, jika masyarakat dapat mengurangkan pembaziran air, penduduk sekitar Lembah Klang tidak memerlukan bekalan air dari Pahang.

“Jika kita pergi ke Indonesia atau Thailand keadaannya turut sama macam kita. Tetapi di Singapura situasinya berlainan kerana air sangat bernilai bagi mereka.

“Jadi, kita perlu meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menghindari pembaziran air di kalangan pengguna daripada berterusan,” tuturnya.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: