Wednesday, March 30, 2011

Pelajar AF9 hilang privasi?



Buat pertama kalinya dalam sejarah Akademi Fantasia, peminat boleh melihat setiap gerak geri pelajar secara langsung kerana mereka akan ditempatkan di dalam sebuah rumah kaca di ruang legar Jusco AEON, Setiawangsa.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, pemilihan lokasi dilakukan secara terbuka kerana mahu memberikan peluang peminat menonton sesi pembelajaran 12 pelajar Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) lebih dekat.

“Kami merasakan sesuai untuk menempatkan pelajar dan tenaga pengajar bermula waktu pagi hingga petang setiap Isnin hingga Jumaat, dalam rumah lut sinar.

"Namun, pelajar akan ditempatkan di suatu lokasi lain untuk tidur pada waktu malam.

“Bagaimanapun, pelajar tidak bebas untuk keluar dan masuk dari rumah terbabit kerana sepanjang masa mereka perlu dikurung untuk belajar melainkan boleh keluar untuk solat dan ke tandas,” katanya ketika sidang media AF9 di Restoran Sakura, Jusco AEON Setiawangsa, kelmarin.

Program Diari AF9 akan turut dirakamkan dan akan disiarkan bermula 4 April ini, setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 9 hingga 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104).

Sebelum itu, Astro memperkenalkan 12 pelajar bersama lima barisan tenaga pengajar termasuk dua muka baru.

Pelajar lelaki kali ini adalah Ahmad Afif Tirmizie (Afif-Selangor), 25, Mohamad Azri Abdullah, 24, (Azri-Selangor), Nur Khaidir Muhid, 22, (Kay-Kuala Lumpur), Fahrur Raqib Abdul Majid, 21, (Raqib-Melaka), Khairul Najmuddin Abu Samah, 20, (Erul-Kuala Lumpur) dan Mohamad Amirullah Jahari, 19, (Amir-Sarawak).

Manakala pelajar perempuan terdiri Roshammizah Rosli, 28, (Miza-Selangor), Zulaika Zahari, 22, (Laika-Selangor), Nur Atiqah Shariffudin, 22, (Eka-Kuala Lumpur), Lenaber Haidir, 21, (Lena-Sabah), Nur Suhada Jebat, 19, (Aida-Melaka) dan Queennera Francine Francis, 19, (Nera-Sabah).

Tenaga pengajar baru pula adalah Adlin Aman Ramli sebagai guru seni persembahan dan Ning Baizura (guru vokal persembahan). Sementara tenaga pengajar lain termasuklah Fatimah Abu Bakar (kaunselor motivasi dan guru bahasa Inggeris) yang memasuki tahun ke-8 bersama AF kecuali AF4, Syafizawati Sharif (guru vokal teknikal) dan A. Aris A Kadir (guru tarian).

Juara AF9 bakal membawa pulang wang tunai RM200,000 serta hadiah sampingan yang akan diumumkan kemudian.

Selain itu, musim terakhir ini juga menyaksikan kepulangan pengacara tersohor yang begitu sinonim dengan keluarga AF iaitu Aznil Nawawi untuk mengendalikan Tirai AF, Kenangan Afnil, Diari AF dan Konsert AF.

Pengumuman pengetua AF9 bakal diumumkan di Tirai AF pada 2 April ini, secara langsung pada jam 9 malam dari Jusco AEON Setiawangsa, manakala Konsert AF (setiap Sabtu, jam 9 malam mulai 9 April) dan Kenangan Afnil (setiap Sabtu, jam 8.30 malam bermula 2 April ini).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: