RAMPAS...anggota polis merampas set komputer yang dijadikan mesin judi.
KUALA LUMPUR: Enam pelanggan yang asyik berjudi dalam talian termasuk seorang wanita bagi mendapatkan pertaruhan RM200,000 terkejut apabila lima premis perjudian haram dalam Kompleks Damai, di sini, diserbu pagi semalam.
Serbuan kira-kira jam 11 pagi secara serentak di lima pusat judi tanpa lesen itu berjaya merampas 65 set komputer yang dijadikan mesin judi.
Pegawai Turus D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Azman Mohd Isa, berkata dalam serbuan itu lima penjaga premis terbabit termasuk seorang wanita berusia 22 tahun ditahan.
Katanya, pihaknya merampas RM2,000 dipercayai dijadikan wang pertaruhan.
“Semua premis itu tidak mempunyai lesen, tetapi giat membuka pertaruhan kepada pelanggan dengan menawarkan wang kemenangan ratusan ribu ringgit.
“Ia juga beroperasi 24 jam dan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran polis,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas serbuan itu, semalam.Serbuan selama dua jam itu disertai 25 anggota dan tiga pegawai D7 dari IPK.
Katanya, serbuan itu tidak dapat dikesan penjaga premis berkenaan kerana pihaknya menyamar pelanggan kononnya mahu bertaruh.“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 4A Akta Judi Terbuka,” katanya yang masih mengesan pemilik terbabit.
Sementara itu, Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan, Datuk Roslan Dahaman, berkata lebih 1,000 pusat judi haram dikesan wujud di bandar raya ini yang menarik pelajar bawah umur dan warga tua mempertaruhkan sebahagian wang mereka di meja judi.
Katanya, golongan berkenaan penyumbang utama kepada pendapatan pusat judi haram yang menawarkan hadiah lumayan hingga menyebabkan golongan ini hidup susah kerana sering kalah bertaruh.
“Dalam tempoh dua tahun ini, lebih 100 laporan dibuat isteri dan ibu yang mengadu suami serta anak mereka ketagih judi.
“Ekoran sikap itu, mereka hidup susah dan merempat selepas kehabisan wang,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Pekida, semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: