Wednesday, March 30, 2011

Jelajah kebajikan Perkim, Kuis


Mahasiswa dan penduduk kampung merakamkan kenangan di akhir program jelajah kebajikan di Melaka, baru-baru ini.


Pelbagai cara boleh dilakukan untuk membuktikan kasih sayang. Bukan setakat wang ringgit tetapi juga dengan melakukan amal kebajikan juga mampu melahirkan rasa prihatin sesama insan.

Seramai 44 ahli Kelab Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) mengadakan Program Jelajah Kebajikan ke Negeri Melaka, baru-baru ini.

Ia dengan kerjasama Perkim Kebangsaan dan Perkim Bahagian Negeri Melaka.

Menurut Pengarah Program, Muhammad Asyraf Zainal, program ini bertujuan mendekatkan lagi pendakwah-pendakwah muda dengan masyarakat supaya mereka bersedia untuk menyampaikan dakwah kepada pelbagai khalayak apabila mereka sudah berkerja atau berada dalam persekitaran awam yang penuh mencabar.

Katanya, ia juga dapat mengeratkan hubungan dua hala dalam menjana kesepaduan ummah dan langkah mewujudkan hubungan baik dengan pelbagai pihak.

"Ini selaras dengan dakwah Islamiah serta dapat melahirkan para pendakwah muda di kalangan mahasiswa," katanya.

Program ini adalah jelajah kebajikan kali ketiga di mana Melaka dipilih sebagai lokasinya.

Perasmiannya pada malam 25 Februari lalu di Pejabat Perkim Bahagian Melaka dilakukan oleh Setiausaha Kehormat Perkim, Datuk Abdul Wahab Abdul Jalil.

Ia diserikan dengan bacaan doa dan persembahan tayangan sejarah, pengenalan, visi dan misi Kelab Perkim Kuis.

Selain itu, mahasiswa mengadakan lawatan ke Pusat Jagaan Harian Warga Emas Bukit Pulau. Pusat ini adalah tempat bagi warga emas menjalankan aktiviti-aktiviti seperti membaca al-Quran, nazam, memasak, menyulam, senaman gim, kelas pengajian dan sebagainya.

Kemesraan terserlah pada apabila mahasiswa menghidangkan makanan, menyampaikan sumbangan hamper makanan dan risalah Kuis serta sesi gotong-royong membersihkan rumah tersebut sepanjang program berlangsung.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Bukit Katil, Datuk Mohd. Yunus Hussin.

Seterusnya mahasiswa berkunjung ke Masjid Kampung Hulu yang diiktiraf sebagai warisan kebangsaan oleh Jabatan Warisan Negara.

Ia adalah salah sebuah masjid kedua tertua di Melaka yang dipenuhi dengan sejarah dan warisan serta mempunyai pelbagai keunikan hasil seni bina campuran Cina, Melayu dan Kepulauan Sumatera.

Antara ciri bangunannya, ia berbentuk segi empat dengan tiga lapisan bumbung, kubah yang diperbuat daripada ukiran batu karang dan dilengkapkan sebuah menara.

Masjid itu adalah salah satu tumpuan para ulama dari pelosok dunia zaman dahulu. Di situ juga terdapat makam Sheikh Abdullah al-Hadad seorang wali Allah yang banyak berjasa dalam menyebarkan ilmu Islam pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Mahasiswa kemudiannya menunaikan solat zuhur berjemaah di masjid itu dan Pegawai Masjid Kampung Hulu, Abdullah Abd. Kadir menyampaikan wakaf beberapa naskhah Al-Quran, sejadah dan surah Yasin kepada Kelab Perkim Kuis untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Mahasiswa diberi kesempatan mengadakan sesi motivasi slot keyakinan diri, pemfokusan dan tumpuan kepada kanak-kanak. Ia diadakan menerusi Rumahku Syurgaku (RKSK), Bukit Katil.

Selain itu, diadakan bacaan tahlil dan lawatan ke pusat kraftangan RKSK untuk melihat hasil tembikar, anyaman, sulaman berjahit aksesori wanita seperti beg, dompet dan lain-lain bagi menambahkan sumber pendapatan penduduk kampung.

Dalam kesempatan itu, mahasiswa turut berkunjung ke Muzium Negeri Melaka, A Famosa, Menara Taming Sari, Hutan Rekreasi Air Keroh, Taman Botanikal Malaysia dan sekitar kawasan bandar raya Melaka sebagai aktiviti rehlah bagi mengakhiri aktiviti penjelajahan mereka.

Turut hadir, Pengelola Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (Mampu), Suariza Hidayah Muhammad, Pegawai Perkim Bahagian Melaka, Murad Ahmat dan Naib Yang Dipertua Kelab Perkim Kuis, Siti Nur Fariha Ahmad Kaidir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: