Thursday, March 31, 2011

Nenek tujuh cucu dihukum mati


MARIAH menutup muka ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Seorang nenek yang mempunyai tujuh cucu dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi dekat sini semalam selepas didapati bersalah mengedar 92.68 gram dadah jenis heroin pada 2009.

Tertuduh, Mariah Hamad, 49, yang memakai baju kurung dan bertudung kelihatan tenang ketika Hakim, Datuk Mohd. Yazid Mustafa membacakan hukuman tersebut.

Hakim memberitahu, pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah berhubung tuduhan ke atas wanita itu yang mengedar dadah jenis heroin pada 3 Ogos 2009.

Mengikut fakta kes, Mariah didakwa melakukan kesalahan pada tarikh tersebut kira-kira 3.45 petang di pekarangan Masjid Padang Nenas dekat sini dengan membawa satu bungkusan berwarna hitam.

Bungkusan tersebut mengandungi 100 botol plastik yang berisi dadah jenis heroin dengan berat keseluruhan sebanyak 92.68 gram.

Atas kesalahan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama iaitu gantung sampai mati.

Menurut Mohd. Yazid, keterangan tertuduh bahawa dia tidak tahu kandungan bungkusan yang diambilnya daripada seorang wanita dikenali sebagai Ida di Stesen Minyak Petronas Rantau Panjang pada hari kejadian adalah tidak benar.

“Mengikut keterangan saksi ketika tertuduh ditangkap dia berada di dalam keadaan terkejut, takut dan pucat,” katanya yang menguatkan tuduhan bahawa tertuduh tahu kandungan di dalam bungkusan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: