Wednesday, March 30, 2011

Siapkan hidangan sambil menari




BAGI mereka yang pertama kali ke Pulau Pinang, kunjungan tidak akan lengkap jika tidak menjejakkan kaki ke Persiaran Gurney.

Merupakan kawasan popular untuk beriadah, beli-belah dan mencuba pelbagai hidangan lazat, Persiaran Gurney yang turut dikenali sebagai Padang Kota Baru sememangnya syurga makanan bagi pelancong tempatan mahupun dari luar negara.

Salah satu daripada menu yang sering menjadi pilihan pelancong adalah pasembur. Ia merupakan salad India Malaysia yang terdiri daripada hirisan timun, sengkuang, ubi kentang, tauhu, taugeh, udang kering, ketam goreng berempah, sotong goreng dan lain-lain lagi yang dihidang bersama kuah kacang manis berempah.

Menyerupai konsep gado-gado, istilah pasembur khusus digunakan di bahagian utara Semenanjung Malaysia. Kalau di bahagian lain Malaysia, istilah rojak mamak lebih biasa digunakan.

Di Pulau Pinang, pasembur lebih popular sebagai makanan yang wajib dinikmati setiap pelancong dan ia boleh didapati di sekitar Padang Kota Lama, tapak penjaja sementara di Jelutong dan Persiaran Gurney.

Kosmo! mendekati keunikan tarikan yang terdapat di sebuah gerai menjual pasembur bernombor 61 di medan penjaja yang dinamakan Anjung Selera di situ. Bukan sahaja menyajikan pasembur dengan harga yang berpatutan, pengusahanya turut menghiburkan pengunjung dan pelanggannya dengan menari sambil melaungkan ‘Rojak! Rojak!’ mengikut irama lagu yang berkumandang.

Sewaktu berkunjung ke gerainya, dari jauh lagi sudah terdengar lagu InsyaAllah nyanyian Maher Zain yang dipasang kuat. Menariknya, lagu itu diiringi lenggok tubuh seorang lelaki yang bersahaja memotong bahan pasembur mengikut irama lagu tersebut.

Bukan sesuatu yang janggal bagi yang sudah biasa mengunjungi gerainya, namun bagi mereka yang kali pertama menyaksikan adegan itu tentunya terpaku melihat gelagat pekerja kedai itu yang tanpa segan-silu bergelek perlahan-lahan di hadapan ramai pelanggan.

Kendali sendiri


MEMILIH sekali lalu tidak puas. Para pelanggan mungkin mengambil masa yang lama untuk membuat pilihan di gerai Ayub.


Hakikatnya, itulah rutin harian yang dilakukan oleh pengusaha gerai pasembur itu sendiri, Ayub Khan, 40. Aksinya memang mencuit hati, apatah lagi ketika waktu puncak iaitu sekitar pukul 6 hingga 8 malam apabila pelanggan setianya tidak putus-putus datang.

Walaupun mempunyai dua orang pembantu, Ayub lebih suka untuk memotong sendiri keropok dan bahan-bahan lain yang dipilih pelanggan seterusnya menuang kuah pekat itu mengikut gaya tersendiri.

Ayub yang sudah 15 tahun berniaga pasembur berkata, kelainan yang ditampilkannya itu antara sebab gerainya menjadi pilihan pelanggan.

“Sebenarnya, sejak dahulu lagi trademark kedai ini ialah memotong bahan pasembur dengan cara sedemikian. Kemudian saya tambah pula dengan bergelek sedikit sambil melaungkan ‘Rojak! Rojak!’.

“Saya bukan sahaja mementingkan rasa yang lazat malah ia dijual pada harga berpatutan mengikut saiz. Ia antara yang termurah dalam kalangan peniaga pasembur,” katanya yang turut memiliki sebuah lagi gerai pasembur yang diuruskan oleh abangnya, Mydin Khan, 55.

Lagu disko

Menurut ceritanya, idea menghiburkan pelanggan itu timbul setelah salah seorang pembantunya, Kalinder Mydin menari sambil menuang kuah pasembur dengan iringan lagu disko yang dipasangnya beberapa tahun lepas.

“Sejurus mendengar lagu, Kalinder mula melaungkan ‘Rojak!, Rojak!’ mengikut rentak muzik dan gelagatnya itu membuatkan kebanyakan pelanggan tersenyum dan akhirnya memberikan tepukan gemuruh kerana aksi spontannya yang menghiburkan itu.


AYUB menunjukkan salah satu saiz hidangan pasembur mengikut bahan yang dipilih pelanggannya.


“Kejadian tidak disengajakan itu memberi idea kepada saya untuk meneruskannya. Sejak itu, gelaran Ayub Disko Rojak mula disebut-sebut dan mendapat sambutan memberangsangkan daripada pelanggan yang kadangkala turut sama menari,” ujarnya yang berasal dari India dan telah menetap di Pulau Pinang sejak kecil.

Tambah Ayub, walaupun harga bagi pelbagai bahan makanan meningkat, namun dia masih mengekalkan harga seperti dahulu iaitu harga cucur udang hanya RM3 sekeping, isi ketam dan udang goreng tepung di antara RM5 hingga RM8 bergantung pada saiz.

Sebaliknya, bagi pelanggan yang inginkan bahan tambahan, terdapat lebih 20 jenis pilihan isi pasembur lain disediakan termasuk bebola ikan, isi ketam, udang dan sosej.

Ayub tidak mahu menaikkan harga jualannya untuk mengaut lebih keuntungan kerana apa yang paling penting baginya adalah untuk memenuhi kepuasan pelanggan.

“Saya juga tidak mengurangkan sedikit pun sukatan kuantiti campuran untuk membuat keropok, cucur udang mahupun kuahnya kerana mahu mengekalkan rasanya.

“Sebenarnya tiada rahsia untuk membuat kuah pasembur yang pekat dan lazat. Saya hanya menggunakan kacang, gula merah, ubi kentang, asam dan cili mengikut sukatan yang betul,” katanya yang turut berbangga apabila gerai kecilnya itu pernah mendapat liputan media asing.

Turut difahamkan oleh seorang pembantunya, Ayub pernah dijemput untuk mengadakan demonstrasi resipi pasembur istimewa kedainya di Korea Selatan, namun terpaksa ditolak kerana dia tidak sanggup meninggalkan gerai serta pelanggannya di Pulau Mutiara.

Pelanggan teruja

Sementara itu, seorang pelancong dari Medan, Indonesia, Therzsia Bu Jhon, 60, yang ke gerai itu untuk kali kedua berkata gaya unik itu telah menambat perhatiannya untuk ke gerai Ayub.

“Semalam saya datang, hari ini pun nak tengok lagi. Seronok tengok gelagat dia hiburkan pelanggan,” katanya teruja.


PARA pelanggan tidak putus datang ke gerai Ayub, sama ada untuk makan di situ atau bungkus untuk dibawa balik.


Bagi warga tempatan, Fairuzah Hanis Mohamad Mydin, 16, dia memilih pasembur air tangan Ayub kerana rasanya yang enak dan harganya yang berpatutan.

“Walaupun di sini banyak gerai pasembur, tapi keluarga saya suka datang ke gerai ini untuk menjamu selera dalam sesi berkumpul beramai-ramai,” terang Fairuzah mengenai gerai yang khabarnya pernah menerima sekitar 2,000 orang pelanggan sehari ketika musim cuti persekolahan itu.

Ayub turut mempunyai cawangan di Padang Kota Lama dan Gelugor namun dia mengakui bahawa gerai di Persiaran Gurney itu paling banyak mendapat sambutan.

“Saya tidak kisah dan tidak malu menari sambil melaungkan ‘Rojak! Rojak!’ sepanjang hari sekiranya ia mampu menarik lebih ramai pelanggan kerana yang penting adalah mereka mendapat kepuasan maksimum,” kata Ayub yang membuka gerainya bermula pukul 4 petang hingga 12 tengah malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: