SIBUK...suasana di belakang pentas yang dipenuhi barisan model ternama Malaysia.
"JANGANLAH risau. Tak apa, semuanya ok!" Ringkas saja bunyinya yang keluar daripada bibir Jurusolek Acara Khas bagi Mac Cosmetics Malaysia, Shahrum Mohd Nor, kala penulis mengajukan soalan sama ada barisan jurusoleknya memerlukan bantuan ketika menjayakan pertunjukan fesyen sempena Karnival/Konsert Terima Kasih Meraikan Ulang Tahun Ke-20 Harian Metro di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.
Dengan cuaca panas membahang di luar khemah persalinan kami, selain insiden kecil yang berlaku beberapa jam sebelum ketibaan pereka serta model mereka, pasukan jurusolek Mac yang ditunjangi Shahrum nyata tenang dan fokus dalam memberikan hasil solekan terbaik untuk pertunjukan fesyen yang julung kali dianjurkan Harian Metro ini.
Seperti dijanjikan, Shahrum tiba di Dataran Merdeka tepat jam 1 tengah hari bersama Denise Khan, Emily Leong dan Eling Wong sambil masing-masing mengusung bagasi yang dipenuhi senjata solekan mereka.
Sejurus menetapkan stesen solekan masing-masing di belakang pentas, Shahrum lantas membuka lembaran kanvasnya untuk melakar solekan diingini pereka 5 Star - Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat, Zery Zamry, Nik Erwan Roseli dan Hazwani Osman - yang memilih gaya smokey dramatik untuk riasan mata dan terang bagi olesan di bibir.
Laksana si panglima yang menyusun strategi peperangan, Shahrum serius berbincang dengan Denise, Emily dan Eling mengenai lakaran solekan itu dan mereka saling berkongsi pendapat mengenai pilihan rona yang sesuai.
Segala kelengkapan solekan mula diatur dan mereka hanya menantikan saat untuk merias wajah barisan model popular tanah air antaranya Tengku Azura, Eryna, Mathini, Diana J dan Fadzlun tatkala seorang demi seorang mula memenuhi khemah itu."Seperti apa yang dipersetujui antara Mac dan pereka itu, kami memilih smokey dengan warna seperti Carbon (hitam pekat), Espresso (perang) dan Vanilla (highlight) bagi kawasan mata sementara merah terang untuk bibir.
"Solekan ini (smokey dan merah terang) bukan saja mampu mencetuskan unsur dramatik tetapi turut menjurus kepada pop klasik yang sesuai untuk majlis makan malam, gaya jalanan dan majlis siang.
"Solekan smokey sememangnya sering menjadi pilihan di pentas peragaan antarabangsa untuk setiap musim kerana sifatnya yang tidak lapuk ditelan zaman. Ia lambang elegan dan versatil tetapi pada masa sama memperlihatkan gaya funky yang lebih menyerlah," kata Shahrum.Tambahnya, solekan smokey tidak hanya bertumpu kepada warna hitam atau biru gelap kerana hampir semua rona boleh dijadikan riasan smokey.
"Bagi sesetengah orang, mereka mendefinisikan smokey sebagai solekan warna hitam, biru pekat atau perang gelap sedangkan sebenarnya wujud banyak jenis smokey iaitu semula jadi, berat dan pelbagai warna.
"Untuk pertunjukan fesyen ini, Mac cuba mencipta ilusi ton berbeza iaitu daripada gelap (Carbon), sederhana (Espresso) ke mode terang (Vanilla)," katanya yang berpengalaman menyolekkan model antarabangsa pada Minggu Fesyen New Zealand 2008.
Beralih ke riasan bibir, kuartet ini memilih Russian Red, iaitu rona merah terang yang digunakan secara meluas di butik Mac seluruh dunia.
"Dalam solekan, biasanya kami fokus kepada satu bahagian wajah, misalnya hanya mata yang dirias tebal berbanding bibir dan pipi.
"Tetapi untuk solekan dalam pertunjukan fesyen ini, pereka memilih untuk menyerlahkan mata dan bibir jadi solekan di pipi agak minimum agar riasan keseluruhan tidak terlalu padat dengan warna," tegasnya.
Sama seperti smokey, bibir bergincu merah turut dianggap klasik dan ia kerap menjadi pilihan di pentas peragaan dunia.
"Bibir merah sering dikaitkan dengan elemen seksi, justeru setiap wanita perlu ada sekurang-kurangnya sebatang gincu merah terang dalam koleksi solekan mereka.
"Ia bukan setakat klasik malah bibir merah terang dianggap mampu menyerlahkan keyakinan diri seseorang wanita.
"Ramai beranggapan ia hanya sesuai dipadankan dengan gaun adi busana tetapi ia boleh digunakan untuk solekan siang dengan dilapisi pengilat bibir untuk mengelakkannya tampak terlalu 'menjerit'," ujarnya.
Selain bertanggungjawab menyolek 10 model ternama Malaysia termasuk dua model lelaki, Shahrum, Denise, Emily dan Eling turut menata rias anggun barisan selebriti seperti Amyza Adnan, Intan Ladyana, Alyah dan Miera Liyana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: