Wednesday, March 30, 2011

‘Kehilangan wang’ libatkan kakitangan bank kes terpencil?

KEJADIAN wang lesap secara tiba-tiba dari akaun simpanan milik individu tanpa disedari pemilik akaun atau melibatkan kecuaian pihak bank disifatkan sebagai kejadian terpencil.

Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Asisten Komisioner Kamarudin Md Din berkata, laporan melibatkan pecah amanah kakitangan bank yang memindahkan wang ke akaun lain dengan niat jahat juga diklasifikasikan sebagai jarang dilaporkan kepada pihak polis.

Kamarudin berkata, kejadian seperti ini jarang berlaku kerana sistem perbankan yang sistematik dan dikawal ketat menyebabkan kes seumpama itu dapat dikesan dengan cepat sekiranya dilaporkan.

“Kes-kes melibatkan kecuaian pihak bank dan melibatkan pecah amanah kakitangan mereka boleh dikatakan kes terpencil kerana sistem perbankan yang begitu ketat dan sistematik. Jadi dengan mudah kegiatan kecuaian atau pemindahan wang melibatkan kakitangan mereka akan cepat dikesan,” katanya ketika ditemui Mingguan mStar baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurutnya pihaknya ada menerima dua atau tiga kes melibatkan kecuaian pihak bank yang melibatkan kakitangan bank dan kesemua kes sama ada telah didakwa di mahkamah atau masih dalam siasatan pihak polis.

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, jenayah siber menggunakan kaedah phishing iaitu maklumat perbankan milik individu dicuri secara online yang mana suspek akan mewujudkan satu laman web palsu bagi mendapatkan maklumat peribadi perbankan mangsa antara banyak dilaporkan.

“Modus operandi ini antara banyak dilaporkan dan kebanyakan mangsa tidak menyedari mereka telah tertipu dengan janji palsu sindiket yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan dan menyerahkan maklumat perbankan mereka,” katanya.

Malah katanya, walaupun pelbagai usaha dijalankan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, statistik dari 2008 hingga 2010 menunjukkan peningkatan ketara dari 32 kes pada 2008, 75 kes pada 2009 dan meningkat kepada 353 kes pada 2010 dengan jumlah kerugian mencecah RM1.2 juta.

“Kebanyakan mangsa akan terus menyalahkan pihak bank kerana panik wang simpanan mereka telah lesap. Tetapi setelah disiasat oleh pihak polis melalui bantuan pihak bank penglibatan sindiket sering menjadi punca kehilangan wang mereka,” katanya.

Sementara itu, Kamarudin berkata setiap laporan akan disiasat di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 walaupun kes tersebut disebabkan kecuaian individu yang memberikan maklumat perbankan kepada pihak ketiga dan seterusnya menyebabkan mereka mengalami kecurian wang.

Menurutnya, Akta itu boleh digunakan kerana dalam apa jua situasi, perbuatan pihak ketiga mengambil wang mangsa tanpa kebenaran adalah salah dan boleh didakwa jika disabit kesalahan. Atas dasar tersebut juga, pihak polis katanya terutama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sentiasa bergerak aktif dalam memberi pesanan kepada pengguna supaya terus berhati-hati dalam mendedahkan maklumat peribadi dan perbankan kepada pihak lain.

Terbaru katanya, selain giat memberi kesedaran kepada pengguna sama ada melalui media cetak dan elektronik, pihaknya juga telah mewujudkan PDRM Security E-mail yang berfungsi sebagai satu langkah untuk mendedahkan masyarakat mengenai bahaya penyebaran maklumat perbankan kepada pihak lain.

“Jika sindiket tidak bertanggungjawab ini boleh menghantar e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada mangsa untuk memperdayakan mereka, kita juga akan lakukan perkara sama,” ujarnya.

Beliau juga berkata, sistem perbankan dalam talian di negara ini juga selamat digunakan tetapi mesti mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak bank.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: