KELETIHAN yang dirasakan selepas mengikuti penerbangan selama 18 jam dari Kuala lumpur ke Cape Town, Afrika Selatan terubat serta-merta sebaik sahaja pesawat mendarat di bandar raya itu apabila pandangan penulis disajikan dengan pemandangan indah di sekitar kawasan lapangan terbang.
Keindahan bandar raya Cape Town sesungguhnya memukau dengan suasana sangat tenang dan pesat membangun. Pemandangan indah berlatar belakangkan Table Mountains yang berbentuk seperti meja memang sangat mengagumkan!
Bangunan-bangunan kolonial cukup menawan dan satu perkara menarik mengenai landskap bandar ini adalah pembangunannya teratur dan sistematik.
Sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Cape Town ke hotel penginapan, di kiri kanan lebuh raya kelihatan ribuan rumah setinggan yang dibina dengan teratur, lengkap dengan sistem air dan elektrik yang dibekalkan oleh kerajaan.
Sempat berbual-bual dengan pemandu yang membawa penulis ke hotel, dia berkata, kawasan setinggan itu wujud ketika kehangatan Piala Dunia 2010 yang berlangsung tahun lalu.
Rata-rata yang mendiami kawasan itu adalah pendatang dari negara-negara Afrika lain seperti Somalia, Zambia malah Congo dan selepas Piala Dunia berakhir mereka terus menetap di situ dan dibantu kerajaan dengan menyalurkan kemudahan asas kepada mereka.
Di sepanjang perjalanan juga kelihatan anak-anak muda yang tidak mempunyai pekerjaan berpeleseran di tepi jalan sambil menari seperti tidak mahu memikirkan nasib malang yang menimpa mereka.
Waterfront menjadi tumpuan pengunjung
Bagaimanapun penulis agak ralat kerana tidak banyak tempat yang dapat dilawati lantaran terikat dengan jadual yang agak padat disusun oleh pihak BMW selaku penganjur perjalanan.
Menginap di Hotel One and Only yang berdekatan dengan Waterfront bagaimanapun membolehkan penulis dan tiga lagi wartawan dari Malaysia mencuri masa untuk berjalan-jalan di sekitar kawasan itu.
Waterfront yang pada asalnya adalah sebuah pelabuhan utama di Cape Town kini menjadi tumpuan utama pengunjung ketika berada di sini memandangkan terdapat pelbagai kemudahan seperti hotel, pusat membeli-belah dan kedai cenderamata.
Kebanyakan bangunan yang terdapat di situ dibina sejak zaman kolonial dan masih dipertahankan artistik aslinya untuk pengunjung.
Satu perkara yang menarik perhatian penulis adalah penduduk di sini selain mesra mereka amat menggemari muzik dan meraikan budaya dengan berpesta.
Tidak hairan lambakan pemuzik jalanan memenuhi kawasan Waterfront dengan pelbagai aksi untuk menghiburkan pengunjung dan mengajak sama untuk menari mengikut rentak lagu.
Restoran berkonsepkan terbuka atau alfresco juga menjadi satu trend di Waterfront, masing-masing menhidangkan pelbagai jenis masakan terutamanya makanan laut.
Di kawasan ini juga terdapat patung Nelson Mandela, Desmond Tutu serta F.W. de Klerk sempena memperingati jasa tiga tokoh negarawan yang memainkan peranan penting dalam sejarah moden Afrika Selatan dan merupakan pemenang bersama Hadiah Nobel Keamanan. Malah penulis juga berpeluang bergambar di situ sebagai kenang-kenangan.
Ketika berjalan-jalan di tepi pelabuhan itu, pengunjung berpeluang melihat pelbagai aksi menarik anjing laut yang sedang berenang atau berjemur santai.
Keindahan pantai memukau
Cape Town yang terletak di bahagian barat daya benua benua Afrika menghadap ke Lautan Atlantik mempunyai pantai yang sungguh cantik dengan air laut berwarna biru dan pasirnya putih bersih menjadikan pantainya sebagai tarikan pengunjung.
Walaupun tidak dapat singgah ke kawasan pantai, penulis yang berkunjung ke bandar raya itu sempena pelancaran model terbaru BMW, sempat mengelilingi kawasan pantai menggunakan BMW Convertible Siri 6.
Semasa memandu, sekilas pemandangan Camps Bay yang cukup popular di kalangan pelancong segera mengingatkan kita kepada foto poskad yang memaparkan keindahan kawasan laut seperti di Monte Carlo, Maldives dan sebagainya.
Pemandangan terindah kota ini dapat dilihat dari Chapman’s Peak Drive, dan pemanduan ke sana juga agak mencabar kerana jalannya agak sempit dengan ketinggian 500 meter dari permukaan laut.
Jalannya yang berbelok-belok dan curam, namun berbaloi kerana pemandangan dari kawasan itu cukup memukau dan pengunjung dapat melihat keindahan dan keajaiban ciptaan Tuhan.
Sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, kami sempat juga menikmati hidangan tengah hari di sebuah ladang anggur dan apa yang boleh dikatakan itu adalah saat-saat paling indah.
Kembara ke sana meninggalkan satu pengalaman indah walaupun dalam masa dan waktu yang singkat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: