Thursday, March 31, 2011

Tenunan, sulaman kemahiran wanita Laos


Nang ketika diwawancara sambil diterjemah oleh pemandu pelancong ketika di Luang Prabang, Laos.


SEBAGAIMANA negara-negara lain di dunia, golongan wanita luar bandar di Laos turut bekerja bagi menjana ekonomi menerusi pelbagai kemahiran yang dimiliki setanding dengan kelulusan.

Begitu juga di daerah Luang Prabang, Laos yang mana 90 peratus daripada golongan wanitanya membantu mengukuhkan ekonomi keluarga menerusi kraf tangan yang dilakukan di rumah sepenuh masa.

Sedang golongan lelaki melakukan kerja-kerja lebih berat membanting tulang di sawah, pembinaan dan pertanian, golongan wanita di rumah tidak hanya berpeluk tubuh.

Mereka yang berkemahiran melakukan pelbagai kerja tangan termasuk menenun, menjahit, menyulam, membuat arak daripada nasi dan berniaga di pasar malam, pagi dan petang.

Sesekali mereka akan ke sungai menangkap ikan yang akan dijual di pasar pagi.

Di sebuah perkampungan yang dinamakan SA Paper Handicraft Village, golongan wanitanya melakukan pekerjaan membuat kertas daripada pokok malberi.

Pokok malberi yang banyak ditemui di sekitar perkampungan ini tidak dipersia-siakan oleh penduduk. Mereka menggunakan pokok ini untuk dibuat kertas, buku, cenderamata dan sebagainya.

Setelah pokok malberi ditebang, mereka akan merendam batang pokok ini selama dua malam sebelum merebusnya selama enam jam.

Setelah direbus, pokok ini akan ditumbuk lumat dengan penukul kayu kemudian direndam di dalam air dengan diletakkan hiasan di atasnya.

Apabila acuan ini diangkat dari air, akan tertinggal saki-baki kertas di atas acuan tadi yang kemudiannya akan dikeringkan seminggu sebelum boleh dijual.

Selain kraf tangan yang diperbuat daripada kertas malberi, seorang suri rumah, Nang, 35, melakukan tenunan skaf sepenuh masa untuk menyara ibunya, anak perempuan dan keluarganya.

Manakala Chanch Thone, 52, dan Khamphiew, 68, pula menenun sutera sejak empat tahun lalu apabila suami masing-masing meninggal dunia. Bagi Thone dia menenun untuk menyara empat orang anak-anaknya manakala Khampiew pula untuk menyara diri sendiri yang hidup sebatang kara.

''Kami mendapatkan benang tenunan sutera daripada si penjual yang masuk ke kampung seminggu sekali," jelas Thone.

Begitu juga dengan Ban Xang Khong, 57, yang menenun benang kapas untuk dijadikan selendang. Selain itu dia juga membuat kertas daripada pokok pisang dan tahi gajah.

Menariknya, bagi meneruskan kesinambungan golongan wanita dalam bidang kemahiran kraf tangan, perkampungan khas disediakan kerajaan untuk mereka.

Uniknya, rumah-rumah kediaman mereka dijadikan kawasan untuk menjual barangan kraf tangan secara terus dari kawasan pembuatan secara borong.

Ucapan 'sabaidi' (ucapan selamat) kedengaran ketika menyapa pelancong yang berkunjung ke rumah mereka.

Justeru, perkampungan seperti ini bukan sahaja dibina untuk menjana kehidupan, malah dijadikan tempat menarik untuk pelancong berkunjung.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: