TERTIPU...Yasmin menunjukkan laporan polis yang dibuatnya dan salinan kad pengenalan milik Edi.
KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal tidak menyangka urusan jual beli sebuah Honda Accord menyebabkannya kerugian RM92,000 selain dihantui perasaan takut akibat diugut seorang anggota geng tarik kereta yang menjual kereta itu.
Difahamkan, anggota geng tarik kereta terbabit yang aktif di Shah Alam dan dikenali sebagai Edi, 26, berasal dari Kuala Terengganu kini menetap bersama isterinya yang baru dikahwini di Putrajaya.
Mangsa yang dikenali sebagai Yasmin, 39, berkata dia mengenali Edi melalui seorang lelaki yang mempunyai syarikat menjual kenderaan di Bangi dikenali sebagai Anuar, 40, Oktober tahun lalu.
Menurutnya, Anuar yang turut menawarkan penjualan kereta melalui Internet itu didatangi Edi yang ingin menjual Honda Accord yang didakwa miliknya dengan segera akibat masalah kewangan untuk melangsungkan perkahwinannya.
Katanya, dia yang menjalankan urus niaga jual beli dan sewa kenderaan itu ternampak iklan Anuar mengenai kenderaan Edi itu dalam laman webnya dan membayar wang pendahuluan RM27,000 kepada Edi yang menyamar sebagai pemilik kereta selepas membuat perjanjian sambung bayar dengan disaksikan Anuar.
Beliau berkata, dia menjual kenderaan itu pula kepada seorang lelaki warga Nigeria dikenali sebagai Kilo, 20-an.“Penipuan pertama Edi diketahui selepas saya membuat pemeriksaan di bank yang mendapati bayaran ansuran kenderaan itu mempunyai tunggakan dua bulan dan saya terpaksa menjelaskannya bagi mengelak tindakan undang-undang.
“Seminggu selepas pembayaran wang pendahuluan itu, Edi bersama tiga rakannya memintas kereta dipandu Kilo di kawasan Seri Kembangan dan mengugutnya dengan besi sambil mendakwa kereta itu mempunyai tunggakan empat bulan dan akan ditarik,” katanya ketika ditemui, semalam.Yasmin berkata, Kilo menghubunginya dan dia menyelesaikan perkara itu dengan bayaran RM5,000 sebagai wang cagaran.
Namun, ugutan Edi tidak berhenti di situ, malah mengulanginya dua hari kemudian dan kali ini, dia datang bersama seorang rakannya untuk menuntut RM15,000 di hadapan rumahnya, tetapi Yasmin tidak melayan.
Bagaimanapun, lima hari kemudian, mereka mengulangi tindakan sama di Serdang dan cuba merampas kunci kereta daripada Kilo, tetapi dia melarikan diri dan menyerahkan kunci keretanya di Balai Polis Serdang.
“Kami berunding dengannya untuk membayar keseluruhan ansuran berjumlah RM75,000 kepada bank keesokan hari dan meminta jangan mengganggu Kilo, tetapi Edi mengambil balik kereta itu dan berjanji akan membayar RM5,000 yang saya bayar kepadanya pada hari sama.
“Namun, situasi di balai polis juga tidak memihak kami apabila Edi membuat laporan yang mendakwa dia pemilik asal kereta berkenaan sejak 2009 dan mendakwa dia mengambil semula kereta itu kerana saya gagal membayar ansuran bulanan kereta sejak empat bulan lalu,” katanya.
Katanya, polis Edi menyerahkan kenderaan itu kepada Edi dan barangan milik Kilo termasuk sebuah komputer riba, barangan kemas dilarikan bersama kereta itu.
Yasmin berkata, Edi juga tidak membayar RM5,000 dan dia tidak dapat dihubungi selepas itu.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas geran kereta itu mendapati ia milik bersama adik lelaki dan kakak Edi dan Edi hanya menyamar pemilik untuk mengaut keuntungan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: