Tuesday, March 29, 2011

Memori indah di Klang

  • Foto

  • Foto

    SEBAHAGIAN artis yang menjayakan siri jelajah bergambar bersama peminat.

Sebahagian finalis ABPBH 2010 yang hadir di Klang Parade menghadiahkan barangan peribadi sebagai cendera mata kepada peminat

JAM tangan, baju T, cakera padat (CD), poster malahan wang tunai RM200 adalah antara cendera mata istimewa daripada beberapa finalis kepada peminat yang memenuhi ruang legar Klang Parade, Klang sempena dengan siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2010).Ia dilihat sebagai tanda terima kasih sebahagian artis di atas sokongan peminat yang sentiasa teruja dengan program sempena ABPBH2010 yang acara kemuncaknya di Arena Of Star, Genting Highlands pada 3 April nanti. Acara yang berprestij dan ditunggu-tunggu ini juga turut disiarkan secara langsung di TV3 dan radio HotFM.
Bercakap mengenai sifat murah hati, dua penyanyi terkenal iaitu Black dan Faizal Tahir menghadiahkan peminat dengan barangan peribadi mereka. Riuh seketika di Klang Parade ini apabila Faizal membuka baju namun rupa-rupanya tindakan spontan penyanyi yang popular dengan lagu Selamat Malam itu adalah kerana mahu menjadikan baju kemeja T miliknya itu sebagai cenderahati buat mereka.

Jika Faizal menghadiahkan baju, Black terus mengekalkan sifat pemurah kepada peminat apabila menghadiah tali pinggang, baju, jam tangan serta cakera padat (CD). Begitulah sayangnya Faizal dan Black buat peminat yang selama ini tidak pernah jemu-jemu menyokong perjalanan karier seni mereka.

Bukan mudah mengumpulkan finalis terbabit untuk siri promosi seperti ini. Dengan jadual harian yang padat, kalau diikutkan agak mustahil untuk mereka meluangkan masa. Namun menyedari ini adalah satu-satunya platform berkempen paling meriah dan berkesan, sesibuk manapun, mereka cuba untuk memenuhi undangan, lebih-lebih lagi mengetahui bahawa ini adalah siri promosi ABPBH2010 yang terakhir sebelum semua keputusan diumumkan pada malam kemuncak yang akan berlangsung Ahad ini.

Finalis atau Top 5 ABPBH2010 yang turut meluangkan masa menyertai acara itu termasuklah Aizat, Alyah, Ana Raffali, Lisa Surihani, Zizan, Rabbani, Nabil, Diana Danielle, Mirwana, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan 6ixth Sense.
Turut membuat kemunculan istimewa ialah pelakon yang mula dikenali menerusi drama Nur Kasih,Tiz Zaqyah, Aaron Aziz, Didie Alias, Fizz Fairuz, Nurul Syuhaida (Dottie) dan Sharifah Shahira.

Manakala Along Raja Lawak serta dua penyampai Hot FM, Kieran dan Leya bertindak sebagai pengacara. Pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah istimewa daripada penaja utama ABPBH2010, Celom selain diberi layanan istimewa iaitu menaiki kenderaan bersama artis terpilih dalam kereta Nissan Grand Livina dan Nissan Teana, kedua-duanya tajaan Edaran Tan Chong Sdn Bhd.

Bukan calang-calang orang diberi keistimewaan seumpama itu dan dan pengalaman itu hanya boleh diperolehi dalam siri jelajah promosi ABPBH. Bagi mereka yang gemar mengumpul cenderahati, barangan ekslusif keluaran Berita Harian seperti kemeja T, payung, mug turut dijual di gerai berdekatan.

Sebelum acara berakhir sekitar jam 7 malam, penonton dihiburkan dengan persembahan Meet Uncle Hussain dan kesempatan itu juga digunakan penganjur untuk menyambut ulang tahun ketua kumpulan itu iaitu Taja.

Jumpa lagi tahun depan

BERAKHIR sudah siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) yang memulakan kembaranya lebih sebulan lalu. Sepanjang tempoh itu, lima lokasi terpilih dikunjungi dan untuk destinasi terakhir ini, buat kesekian kalinya pusat membeli-belah Klang Parade, Klang Selangor menjadi pilihan penganjur.

Mengulangi sejarah yang pernah dicipta oleh ABPBH 2009, kali ini jumlah penonton yang hadir menyamai dengan jumlah yang diperoleh tahun lalu iaitu hampir enam ribu penonton hadir memberikan sokongan.

Justeru tidak hairanlah mengapa lokasi ini menjadi kegemaran penganjur untuk tiga tahun berturut-turut. Sebelum sesi persembahan bermula, pengunjung terlebih dulu disajikan dengan acara kemuncak pertandingan akhir Bintang Idola Berita Harian (BIBH) yang menyaksikan perunding sambilan di sebuah institusi kewangan, Mohd Azhar Osman dinobatkan sebagai juara.

Suasana tenang selepas pertandingan akhir BIBH selesai kembali bergegar sebaik saja pengacara, Along Raja Lawak mengambil alih pentas sekali gus menandakan bahawa acara yang ditunggu-tunggu bakal bermula.

Jelas tergambar keseronokan peminat apabila dipelawa naik ke pentas, mereka sentiasa berebut-rebut mahu menyertai acara bersama artis pujaan walaupun mengetahui akan dikenakan di pentas. Ada saja permainan, idea kreatif dan kuiz dilakukan. Tabik 'spring' buat pengunjung daripada pelbagai peringkat umur di Klang Parade yang memang `sporting' kerana tidak keberatan untuk menyertai pelbagai aktiviti bersama artis di atas pentas.

Bukan sahaja di Klang, tetapi siri jelajah ABPBH2010 di SACC Mall, Shah Alam; Kuantan Parade, Kuantan; The Mall, Kuala Lumpur; Village Mall, Sungai Petani dan Kompleks Bandar Baru Pasir Gudang, Johor pastinya meninggalkan kenangan manis bukan sahaja kepada artis tetapi juga peminat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: