Tuesday, March 29, 2011

Peluang dekati peminat

TUMPUAN...Vee diserbu peminat yang ingin bergambar dengannya.
TUMPUAN...Vee diserbu peminat yang ingin bergambar dengannya.

MUNGKIN peminat jarang melihat kelibat artis popular Diana Danielle tanpa sebarang solekan di wajahnya. Apatah lagi, bergaya dengan hanya mengenakan kemeja-T untuk menjayakan mana-mana majlis.

Namun, tanpa sebarang solekan pun, kemunculan bintang muda berdarah kacukan Melayu-Amerika ini tetap mencuri perhatian pengunjung ketika menjayakan aktiviti tarian senamrobik, poco-poco sempena sambutan 20 Tahun Harian Metro yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.


Selain Diana, kehadiran pelakon dan pengacara Nona, Vanidah Imran atau lebih mesra disapa Vee juga menarik perhatian barisan pengunjung yang hadir.

Acara poco-poco juga disemarakkan dengan pembabitan barisan penyampai radio daripada lima stesen iaitu Suria FM, Sinar FM, Hot FM, Era FM dan KL FM yang turut mengambil bahagian seperti Tuah, DJ Lin, Halim Othman (Suria FM), Abby Fana, Nila Kurnia (Sinar FM), Suraya (Hot FM), Dina Malaysian Idol dan Adi Fashla (Era FM).

Tarian senamrobik poco-poco adalah pengisian menarik pada hari kedua sambutan yang dikendalikan koreografer terkenal, Papa J atau nama sebenarnya, Jamal Manap.

  • Foto

  • Foto

    MESRA...Diana dan Vee bergambar bersama salah seorang peminat di gerai Harian Metro.

Tepat jam 9 pagi, Papa J mula mengajak lebih 1,000 pengunjung supaya hadir ke depan pentas utama untuk berlatih terlebih dulu tarian berkenaan sebelum acara bermula.


Selepas menukar kemeja-T warna biru Harian Metro, Diana dan Vee terus mengambil tempat di barisan depan pentas bersama-sama Papa J untuk memulakan acara tarian pada pagi itu.


Komitmen yang ditunjukkan barisan artis dan peminat setia Harian Metro itu wajar dipuji kerana sanggup berkampung di Dataran Merdeka seawal jam 8 pagi semata-mata untuk menjayakan lagi acara berkenaan.Selain poco-poco, pengunjung juga berpeluang menari dua lagi tarian iaitu tarian zapin dan samba untuk memeriahkan lagi suasana pada acara yang julung kalinya dianjurkan Harian Metro itu.

Selepas acara poco-poco selesai, artis terbabit juga melawat gerai Harian Metro dan Rap untuk bergambar dengan peminat mereka dengan bayaran RM5 sekeping.

Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson berkata, dia mula diperkenalkan dengan tarian poco-poco oleh pelakon Halimah Jongang, Sheera Iskandar.


"Sheera jugalah yang mula-mula mengajar saya menari tarian ini. Saya juga makin serasi dengan tarian ini dan menari dalam pelbagai majlis keramaian termasuk perkahwinan.

"Saya juga menari poco-poco dengan gaya sendiri. Saya juga memang suka semua cabang seni termasuk menari. Tarian ini juga mudah untuk dipelajari oleh sesiapa saja termasuk golongan muda mahupun warga emas," katanya.Diana yang sudah enam tahun berkecimpung dalam bidang seni berkata, dia juga menggunakan peluang keemasan menjayakan aktiviti yang sihat itu untuk mendekatkan diri dengan peminatnya.


"Berbanding penyanyi, pelakon seperti kami susah hendak berjumpa dengan peminat kerana masa kami banyak dihabiskan di lokasi penggambaran drama mahupun filem.


"Sebab itu, saya menggunakan peluang yang ada dengan sebaik mungkin untuk mendekati peminat di luar sana. Inilah masanya saya beramah mesra dengan peminat serta melayan mereka untuk bergambar," katanya.

Sementara Vee yang juga pengacara Nona berkata, dia juga berharap Harian Metro akan menjadikan poco-poco sebagai acara tahunan iaitu tiga atau empat bulan sekali seperti konsert Jom Heboh di TV3.


"Saya juga berharap poco-poco menjadi acara yang membabitkan komuniti di setiap negeri di negara ini. Ia bukan sekadar tarian yang menyeronokkan kerana yang lebih penting ia baik untuk kesihatan terutama jantung kita.


"Warga emas yang ada masalah obesiti dan tidak ada masa hendak bersenam boleh menari poco-poco kerana gerak tarinya juga mudah untuk dipelajari semua golongan masyarakat di negara ini," katanya.

Juara Sehati Berdansa musim pertama bersama suami, Rashidi Ishak mengakui seronok dapat mengambil bahagian dalam tarian poco-poco anjuran akhbar nombor satu Harian Metro itu.


"Saya juga dapat belajar gerak tari yang baru daripada ahli poco-poco kawasan Setapak yang turut sama menjayakan aktiviti senamrobik pada Ahad lalu.

"Saya memang tidak ingin melepaskan peluang untuk apa saja aktiviti berkaitan kesihatan seperti poco-poco ini. Sebagai artis, saya juga harap acara ini akan diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Bagi Dj Lin, dia juga tidak ingin melepaskan peluang menjayakan tarian poco-poco itu. Baginya, ia bukan saja baik untuk kesihatan malah menjadikannya sebagai medan untuk memperkenalkan lagi Suria FM.


"Saya dan rakan penyampai lain mengambil peluang turun padang kerana ini juga satu cara untuk mempromosikan lagi stesen radio kami melalui gerai yang disediakan. Pada masa sama, saya juga menjual baju kemeja-T kelab DJ Lin Cinta Mania di booth Suria FM," katanya.

Sementara itu papa J berkata, dia berasa puas kerana acara senamrobik itu berjaya mendapat sambutan hangat daripada pengunjung pada pembukaan terakhir karnival berkenaan.


"Tarian ini juga lebih sesuai dipanggil tari dansa daripada poco-poco. Pada masa sama, saya juga tampilkan tarian zapin dalam acara ini untuk mengangkat tarian tradisional kita.

"Apa yang penting, tarian ini bagus untuk kesihatan dan melancarkan peredaran darah. Selain dua artis popular, Diana dan Vee, orang ramai yang mengambil bahagian juga memberikan kerjasama terbaik sepanjang ia berlangsung," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: