|
|
WALAUPUN sering diberikan watak wanita baik yang teraniaya dan dirundung malang, bagi aktres Eira Syazira drama bersiri Kemboja Putih tetap mempunyai cabarannya tersendiri.
Malah, Eira sendiri mengakui dia berasa tertekan membawakan watak Kemboja yang disifatkannya sebagai watak yang cukup mencabar emosinya sebagai seorang aktres.
"Mana tidaknya. Inilah juga kali pertama saya membawakan watak roh yang mempunyai sifat dendam dan menyimpan amarah yang cukup mendalam kepada orang yang telah menyebabkan kematiannya.
"Hampir sebahagian besar adegan dalam drama Kemboja Putih ini memerlukan saya menangis. Memang benar sebelum ini saya sudah biasa dengan watak air mata tetapi kali ini ia berbeza.
"Kalau sebelum ini tangisan saya adalah kerana sedih tetapi untuk Kemboja Putih, saya menangis kerana terlalu marah dan ia memerlukan saya untuk bermain dengan emosi dalaman," ujar Eira terus-terang ketika ditanya tentang pengalaman membintangi drama 20 episod itu.
Eira atau nama sebenarnya, Syazira Shuhaimi berkata demikian usai majlis pelancaran drama tersebut di Petaling Jaya baru-baru ini.
Turut hadir, pengarah Kemboja Putih iaitu Haris Fadzilah dan barisan pelakon lain seperti Fauzi Nawawi, Ezany Nizariff, Rahhim Omar, Idris Md. Diah, Fadhilah Mansor dan ramai lagi.
Menyambung bicara, Eira menjelaskan untuk mendapatkan penghayatan bagi watak Kemboja, dia sendiri telah menonton filem popular Thailand, Nang Nak bagi mendapatkan gambaran sebenar terutama ekspresi wajah seorang yang pendendam.
Dalam cabarannya itu juga, jelas Eira, ada juga senangnya membawakan watak Kemboja apabila dia tidak perlu menyalin busana yang banyak serta wajahnya tidak perlu ditata rias dengan solekan yang berlebihan.
"Saya hanya perlu memakai busana dengan tata rias yang serupa dari episod lima hingga ke episod ke-20.
"Jujurnya, ia memberikan pengalaman baru untuk saya sepanjang bergelar aktres," kata Eira yang akan menginjak usia 27 tahun pada 19 Julai ini.
Mengenai keserasiannya bersama Fauzi yang memegang watak sebagai suaminya bernama Amar dalam Kemboja Putih, tanpa selindung Eira memberitahu dia tidak berdepan dengan sebarang masalah untuk mencipta keserasian.
Apatah lagi pernah membintangi beberapa buah drama sebelum ini, keserasian itu sudah tercipta lebih awal dan jelas Eira, apa yang dia dan Fauzi lakukan hanyalah berbincang sebelum penggambaran untuk mendalami watak masing-masing.
Membintangi drama yang memiliki elemen mistikal seperti Kemboja Putih, Eira memberitahu dia juga pernah berdepan dengan pengalaman seram apabila berlakon di sebuah rumah lama di Hulu Langat, Selangor sebagai lokasi utama.
Semuanya gara-gara kerana dia tidak meminta izin terlebih dahulu sebelum menggunakan pinggan yang ada di rumah tersebut dan dia menyangka jurusolek artis sudah pun berbuat demikian.
"Akibatnya, saya sering jatuh sakit sehingga menyebabkan penggambaran diberhentikan selama dua hari. Apabila ke doktor untuk membuat pemeriksaan, semuanya dalam keadaan baik tetapi saya tetap tidak berpuas hati.
"Lalu, saya pergi ke pusat perubatan tradisional dan diberitahu ada sesuatu di badan saya yang menyebabkan saya sakit.
"Alhamdulillah, saya sudah pulih sepenuhnya sekarang. Saya diberitahu rumah berkenaan sedikit keras kerana tuan rumahnya meninggal dunia di sana. Apa yang berlaku saya jadikan pengalaman untuk lebih berhati-hati selepas ini," ceritanya sambil ketawa kecil.
Sementara itu, Haris yang ditemui pula berkata, dia cukup kagum dengan skrip Kemboja Putih yang ditulis oleh dramatis popular, Rozie Rashid.
Walaupun dia tidak menafikan jalan cerita tersebut mempunyai persamaan dengan filem Nang Nak namun Haris menggarapnya mengikut acuan tempatan.
"Selain jalan ceritanya, saya amat menitik beratkan soal lakonan dan saya amat berpuas hati dengan komitmen semua pelakon dalam Kemboja Putih. Adalah juga saya membuat sedikit perubahan dengan restu daripada Rozie," katanya yang kali pertama mengarahkan drama bersiri untuk slot Lagenda.
Kemboja Putih mula menjalani penggambaran sejak Januari lalu selama 54 hari dan mengambil lokasi di Hulu Langat dan Kuang, Selangor serta kawasan sekitar Lembah Kelang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: