Tuesday, March 29, 2011

Pengorbanan Fauzi kini berbalas


PADA usia 38 tahun, Fauzi masih lagi mahu meneroka watak-watak yang dapat memantapkan lagi kredibilitinya sebagai seorang aktor versatil.


PERJALANAN seninya barangkali boleh dianggap sebagai laluan yang penuh berliku dan tidak semudah seperti mana yang dikecapi oleh pelakon muda zaman ini.

Segala pahit maung dan sepak terajang dunia seni sudah dirasai oleh Mohd. Fauzi Mohd. Nawawi atau lebih dikenali sebagai Fauzi Nawawi sebelum mampu menempatkan dirinya pada kedudukan seperti hari ini.

Bermula sebagai pelakon tambahan untuk watak-watak sampingan dalam drama tempatan pada tahun 1996, perlahan-lahan Fauzi merangkak mencari dahan untuk berpaut sebelum dapat berdiri dan seterusnya berlari mengecapi kenikmatan populariti seorang aktor.

Sehinggalah pada tahun 1998, dia diberi peluang untuk menjadi pelakon lagak ngeri dan kemudian memperolehi kepercayaan produser untuk menawarkan peluang berlakon kepadanya.

"Namakan apa sahaja, semua saya sudah rasai. Bukan mudah untuk saya menjadi seorang pelakon seperti mana yang anda dapat lihat hari ini. Semuanya memerlukan pengorbanan dan apa yang penting adalah minat dalam setiap pekerjaan yang saya lakukan.

"Saya percaya dengan adanya dua kombinasi ini termasuk kerja keras, tidak mustahil kejayaan akan berpihak kepada kita walaupun ia mengambil masa yang lama.

"Alhamdulillah, apa yang saya impikan selama ini untuk berdiri sama tinggi bersama barisan aktor hebat negara kini sudah tercapai. Saya akan terus berlakon selagi kudrat dan tenaga saya mengizinkan," demikian luahan jujur Fauzi saat diminta mengulas tentang kedudukannya selepas menjulang dua trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin 2010 dan Anugerah Seri Angkasa 2010, baru-baru ini.

Pelakon berusia 38 tahun itu ditemui pada majlis ramah mesra drama bersiri, Kemboja Putih yang diadakan di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Kemboja Putih arahan Haris Fadzilah itu menggandingkan Fauzi bersama Eira Syazira, Ezany Nizariff, Rahhim Omar, Fadhilah Mansor dan ramai lagi.

Fauzi yang merupakan anak kelahiran Pantai Remis, Perak dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik dalam dua acara anugerah berprestij berkenaan menerusi drama Sebelum Akhirat arahan Murali Abdullah.

Apabila memperkatakan tentang kredibiliti Fauzi sebagai seorang aktor, memang agak mustahil untuk menidakkan realiti itu kerana Fauzi memang jarang mengecewakan audiens tempatan menerusi lakonannya.

Berikanlah apa sahaja watak kepadanya, dia akan mewarnakannya dengan bijak dan kreatif sekali terutama watak antagonis sehingga mampu menimbulkan perasaan benci kepada penonton.

Tidak henti mengucapkan syukur ke hadrat Allah, Fauzi memberitahu dua kemenangannya sebagai Pelakon Lelaki Terbaik telah membuka jalan yang lebih luas untuknya meneroka pelbagai watak lain sekali gus mencabar dirinya sebagai seorang pelakon.

Katanya, kini dia banyak ditawarkan dengan watak komedi dan Fauzi menyifatkannya sebagai satu peluang yang cukup baik buat dirinya. Setidak-tidaknya kata Fauzi, khalayak tidak akan lagi melabelkannya sebagai pelakon stereotaip dengan watak antagonis terutamanya.

"Dengan pengiktirafan yang saya terima, ia turut menguji kemampuan seseorang produser dalam menilai dan menguji kebolehan saya dalam mencuba pelbagai watak yang lari daripada apa yang telah saya bawakan sebelum ini.

"Namun, saya tidak mahu menjadi seorang yang tamak dan lebih selesa untuk menerima tawaran satu demi satu kerana apabila menang anugerah, ia juga bukan satu tiket untuk kita berbuat demikian.

"Saya tidak suka menyusahkan orang lain dan adalah lebih baik untuk saya berlakon dalam satu-satu masa walaupun tawaran kini semakin mencurah-curah," ujarnya yang masih mempertahankan prinsip hidupnya yang dipegang sejak menceburi bidang seni.

Sudah menjadi resmi, setiap pelakon yang diiktiraf dengan anugerah pasti akan ditebak dengan soalan tentang kenaikan harga dan bertemu dengan Fauzi, soalan itu tidak terlepas daripada ditanyakan kepadanya.

Kata Fauzi, dia tidak akan menaikkan harga sewenang-wenangnya kerana semuanya bergantung kepada tawaran yang diterimanya.

"Saya kena lihat sama ada berbaloi atau tidak jika saya menaikkan harga untuk setiap tawaran yang diterima. Jika ia menuntut masa kerja yang lebih, memang saya akan naikkan sedikit.

"Saya masih lagi rasional dan boleh dibawa berbincang. Ada juga penerbit yang sendiri sudah meletakkan harga untuk saya," jelasnya tanpa selindung.

Seperkara lagi adalah tentang isu pelakon yang memilih watak dan skrip sebaik sahaja mereka memenangi anugerah yang sering ditanyakan kepada mereka.

Mengulas situasi itu, Fauzi ternyata mempunyai justifikasi sendiri apabila dia memberitahu soal selektif itu amat perlu dalam meletakkan satu standard untuk seorang aktor sepertinya.

"Apabila memperkatakan tentang isu selektif ini, saya teringat kembali beberapa orang pelakon terdahulu yang berpegang teguh kepada soal kualiti lakonan dengan menjadi begitu memilih dalam berkarya.

"Sekarang baru saya tahu mengapa mereka berbuat demikian kerana pelbagai aspek perlu diambil kira. Kadang-kala skrip itu bagus dan kita sebagai aktor sudah memberikan yang terbaik, tetapi mungkin aspek teknikalnya gagal menyerlahkan kualiti drama itu.

"Jadi, sebagai seorang aktor kita harus memikirkan semua aspek agar karier kita sendiri tidak akan terjejas. Saya lebih selesa untuk berlakon jika saya rasa saya mampu melakukannya dan berasa puas," ujar Fauzi yang pernah membintangi filem Anak Halal dan Orang Minyak itu panjang lebar.

Katanya lagi, setiap kali berlakon dalam sesebuah drama dia langsung tidak memikirkan soal kemenangan kerana dia percaya setiap yang dilakukan dengan penuh jujur dan keikhlasan, pasti akan ada insentif yang menanti kelak.

Seboleh-bolehnya, dia mahu bekerja keras dan sedaya upaya untuk meninggalkan kesan kepada penonton menerusi lakonannya.

"Kalau ditempatkan dalam senarai lima yang terbaik pun, ia sudah memadai untuk saya kerana setidak-tidaknya bakat saya dipandang dan diterima.

"Ia juga satu pengiktirafan untuk pihak produksi berkenaan," kata Fauzi lagi yang turut mempunyai perniagaannya sendiri, Glam Beauty Studio di Melawati, Kuala Lumpur, yang baru lima bulan beroperasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: