Wednesday, March 30, 2011

Setaraf lokasi terkemuka dunia




SUDAH lebih lima minit lelaki itu berdiri di kawasan kaki lima lokasi yang paling sibuk di ibu negara, Jalan Bukit Bintang.

Pembawaan dirinya tampak ganjil. Mukanya diwarnakan dengan warna biru, malah dia juga memakai kot, kasut, seluar, topi dan sarung tangan dengan warna yang serupa.

Gelagatnya umpama patung bernyawa mengundang perhatian orang ramai yang lalu lalang. Bagaimanapun, Ong Lai Huat tidak ambil pusing, dia tetap meneruskan aksi itu tanpa jemu.

Di hadapan lelaki berusia 45 tahun itu, terdapat sebuah bekas aluminium tertera perkataan RM2 per photos.

Seorang pelancong dilihat memasukkan dua keping wang kertas RM1 ke dalam bekas berkenaan lantas berdiri di sebelahnya.

Rakan pelancong itu yang berada beberapa langkah di hadapan seakan bersedia merakamkan aksi mereka berdua.

“1, 2, 3... Say Cheese,” katanya sambil menekan butang kamera. Dengan wajah keriangan, kedua-dua pelancong itu akhirnya berlalu pergi.

Bagi Lai Huat atau lebih dikenali sebagai Blue Man, itulah rutinnya hariannya sejak bergelar busker atau penghibur jalanan kira-kira dua bulan lalu. Tepat pukul 6 petang dia akan berada di kawasan kaki lima laluan itu menghiburkan orang ramai.

“Sekali imbas, ia nampak mudah, namun membuat pergerakan kaku selama berjam-jam pastinya memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang tinggi.

“Hanya setiap lima minit atau 10 minit barulah saya berpeluang mengubah posisi tubuh kecuali jika diminta untuk bergambar, jika terlalu banyak pergerakan ia akanmencacatkan persembahan,” katanya yang berasal dari Banting, Selangor.


SALAH satu laluan di Bukit Bintang menjadi lokasi kepada Ahmad Shakirin mencari rezeki.


Ujarnya, Jalan Bukit Bintang dipilih untuk persembahannya kerana kawasan itu sentiasa menjadi tumpuan pengunjung dan pelancong dari dalam dan luar negara.

Ceritanya, sebelum menjadi Blue Man dia pernah bekerja sebagai pembantu gerai di Pasar Borong Selayang tetapi pendapatan yang diperoleh tidak seberapa.

“Saya tidak berpendidikan tinggi, sebab itu saya rela menjadi busker bagi meneruskan kelangsungan hidup di bandar raya ini.

“Biarpun malu pada mulanya, namun perasaan itu hilang apabila melihat kepuasan di wajah pengunjung yang datang. Sekurang-kurangnya bakat saya kini dihargai dan menjadi daya penarik di kawasan ini,” jelasnya yang memperoleh pendapatan antara RM50 hingga RM100 sehari, khususnya pada cuti umum dan hujung minggu.

Sekitar tahun 1950-an dan 60-an dahulu, BB Park cukup terkenal dengan perempuan joget dan tempat hiburan, hari ini Jalan Bukit Bintang yang terletak di kawasan segi tiga emas menjadi lambang kemajuan bagi warga kota.

Sejak lima tahun lalu, banyak perubahan dapat dilihat di laluan 1.5 kilometer (km) itu yang bermula dari Kedutaan Kuwait berhampiran Jalan Tun Razak sehingga ke persimpangan Jalan Pudu.

Kewujudan laluan pejalan kaki yang beraneka corak, penggunaan lampu hiasan yang unik dan kawasan sekitarnya dipenuhi dengan pokok-pokok hiasan memberikan suasana nyaman.

Ia turut diserikan dengan kewujudan kafe-kafe ala Eropah. Menikmati minuman ekspresso dan cappucino, pasta dan menikmati aiskrim di tepi jalan memberikan gaya santai kepada pelanggan.

Kemudahan penginapan


KUNJUNGAN ke Jalan Bukit Bintang tidak lengkap jika tidak mencuba aiskrim yang dijual Celal.


Pada masa yang sama, kehadiran gedung-gedung terkenal seperti Sungei Wang Plaza, BB Plaza, Starhill Gallery, Lot 10, Berjaya Times Square dan Pavilion Kuala Lumpur menjadikannya setaraf dengan kawasan perniagaan terkemuka di dunia seperti Ginza di Tokyo, Oxford Street di London atau Orchard Street di Singapura.

Tidak cukup dengan itu, kehadiran hotel-hotel mewah dan bajet menambah daya tarikan kepada pelancong yang mahu menginap dan melihat wajah Kuala Lumpur dengan lebih dekat.

Aspek sejarah juga tidak dilupakan. Pengunjung masih boleh melihat banyak bangunan lama telah dibaik pulih dan kekal ke hari ini.

Salah sebuah bangunan yang banyak memberi makna kepada sejarah negara ialah Hotel Federal yang diilhamkan oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Ia dibuka tiga hari sebelum pengisytiharan merdeka pada tahun 1957.

Populariti Jalan Bukit Bintang turut membuka pintu rezeki kepada peniaga kecil yang menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan di sekitarnya.

Salah seorang daripadanya ialah Aishah Abdullah. Sejak lima tahun lalu dia dan suaminya giat mengusahakan perkhidmatan urut tradisional di kawasan kaki lima.

Katanya, kedudukan Bukit Bintang yang strategik menyebabkan perniagaannya sering menjadi tumpuan orang ramai yang ingin melepaskan penat lelah selepas seharian berjalan dan membeli-belah.

Kadar bayaran yang dikenakan agak berpatutan iaitu di antara RM10 hingga RM60 sejam bergantung kepada anggota tubuh yang diurut.

Berbekalkan beberapa buah kerusi malas dan minyak urut, dia dan suaminya bergilir-gilir mengurut pelanggan yang datang bermula dari pukul 10 malam hingga pukul 5 pagi.

“Sambil mengurut saya suka berbual-bual dengan pelanggan, khususnya pelancong asing. Dari situ saya cuba membantu mereka mengenali negara ini, budaya dan masyarakatnya dengan lebih dekat,” jelasnya yang fasih berbahasa Inggeris dan Hindi.


KELIBAT beberapa remaja yang bermain peralatan yang dikenali sebagai mad hag ini boleh dilihat pada hujung minggu.


Wanita berusia 57 tahun itu berkata, biarpun pendapatan yang diperoleh tidak tetap namun ia sudah cukup untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.

“Persaingan memang banyak memandangkan kebanyakan pusat refleksologi di Jalan Bukit Bintang terletak di dalam premis yang selesa, mempunyai tukang urut yang lebih ramai di samping lebih privasi.

“Bagaimanapun, terpulang kepada cita rasa masing-masing, ada yang lebih gemar suasana terbuka sebegini kerana lebih santai. Halangannya cuma cuaca, tetapi setakat ini saya bersyukur masih ramai yang masih mahu mendapatkan khidmat kami,” jelasnya.

Peluang perniagaan yang terbuka luas di Jalan Bukit Bintang tidak terhad kepada masyarakat tempatan semata-mata, malah tempiasnnya turut dirasai warga asing.

Antaranya ialah Celal Aksos, warga Turki yang berasal dari Ankara yang mengusahakan perniagaan A La Turka dondurma (Aiskrim Turki) di hadapan kompleks BB Plaza sejak empat tahun lalu.

Celal bukan sekadar menjual aiskrim, malah dia turut menghiburkan pelangan-pelanggannya dengan nyanyian dan tarian.

Menariknya, kesemua aiskrim itu dihasilkan menggunakan resipi asli Turki dan dijual pada harga RM3 hingga RM5 bagi setiap kon.

Sebaik mengambil pesanan dia akan mula menyanyi dan mengetuk loceng di belakangnya menggunakan sebatang kayu panjang yang digunakan untuk menceduk aiskrim.

Tatkala mahu menghulurkan kon aiskrim, dia akan berpura-pura menjatuhkannya. Perbuatan itu pasti menimbulkan reaksi panik dan mengejutkan pelanggan, namun ia hanyalah gurauan mesra yang lazim dilakukan oleh Celal untuk menghiburkan pelanggan.


AISHAH (kiri) menawarkan khidmat mengurut kaki di Jalan Bukit Bintang sejak lima tahun lalu.


Menurutnya, menghiburkan pelanggan dengan pelbagai aksi lucu dan spontan merupakan perkara biasa yang dilakukan oleh para peniaga aiskrim di Turki.

“Sesetengah peniaga akan menari mengikut rentak muzik, membuat silap mata dan sebagainya untuk menarik perhatian pelanggan ke gerai masing-masing. Itulah yang menjadikan aiskrim Turki begitu unik dan istimewa,” katanya yang kurang fasih berbahasa Inggeris.

Sebagai kawasan tumpuan, laluan itu tidak dapat lari daripada aktiviti golongan remaja yang lazim diadakan pada hujung minggu. Antaranya ialah persembahan gaya bebas bola (freestyler), hip hop, break dance, mime dan sebagainya.

Bagi Patrick Tee Wen Xiong, 20, jika ada kelapangan dia dan rakan-rakannya dari kumpulan PC Freestyler akan berkumpul dan membuat persembahan di situ.

“Kami melakukannya sekadar suka-suka sahaja. Ia juga merupakan satu latihan untuk kami lebih yakin apabila membuat persembahan di khalayak nanti.

“Pada masa yang sama, kami juga mahu mempopularkan freestyler di kalangan generasi muda di sini. Jika ada yang berminat kami bersedia memberi tunjuk ajar kepada mereka,” katanya yang lebih setahun terlibat dalam aktiviti berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: