Wednesday, March 30, 2011

Persandingan kayangan Kris, Raul


RAUL Lemos menyampaikan ucapan terima kasih buat tetamu ditemani isterinya, Kris Dayanti.


KETIKA ini, Kris Dayanti sedang menikmati musim-musim indah dalam hidupnya. Sudah lebih seminggu dia menjadi isteri kepada usahawan Raul Lemos.

Majlis pernikahan dan persandingannya selamat dilangsungkan tanpa sebarang cela. Tumpuan media juga sudah berkurangan.

Pasangan sehati sejiwa itu juga harus berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan mahligai yang dibina bersandarkan cinta dan kasih.

Rasa cinta dan kasih itu kata mereka, lahir daripada ketulusan hati tanpa sedikit pun rasa syak wasangka biarpun sebelum itu banyak suara-suara sumbang yang mendakwa hubungan intim Kris dan Raul tidak akan ke mana.

Pada majlis persandingan yang berlangsung hujung minggu di Hotel Mulia, Jakarta, Indonesia menjadi manifestasi cantuman dua jiwa.

Mereka diraikan dalam suasana penuh gemilang. Ballroom hotel dihias serba indah bak kayangan. Kris pula mengenakan gaun pengantin mewah rekaan pereka tersohor dunia, Vera Wang.

Juadah makan malam yang dihidang kepada 3,000 tetamu pada malam itu juga enak-enak belaka. Kek bertingkat dipotong, acara tari menari juga diadakan di penghujung majlis.

Pendek kata, majlis perkahwinan pasangan kontroversi yang saling tidak ubah seperti majlis persandingan artis Hollywood berlangsung penuh warna-warni.

Barisan artis yang diundang pula bukan sembarangan. Daripada artis baru sehingga ke legenda industri hiburan Indonesia, turut menghadirinya.

Kelibat Luna Maya, Titiek Puspa, Rossa, Titi DJ, Camelia Malik, Afghan, Bunga Citra Lestari dan ramai lagi hadir menceriakan Kris dan Raul.

Begitu juga dengan teman karib Kris, Datuk Siti Nurhaliza turut meraikan pengantin pada malam itu. Siti Nurhaliza hadir ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa, abangnya, Ayie dan kakak iparnya, Rozi Abd. Razak.

Namun, kehadiran bekas suami Kris, Anang Hermansyah bersama kekasihnya, Ashanty menarik perhatian tetamu.

Anang tidak sekadar hadir memberi ucapan tahniah, sebaliknya, turut mengadakan persembahan buat wanita yang pernah hadir dalam hidupnya selama 13 tahun.

Ashanty yang menemani Anang mengakui, suasana majlis persandingan Kris dan Raul dijentik penuh emosi sebaik Anang menatap wajah Kris serta berpelukan erat dengan Raul. Para tetamu pula bertepuk tangan melihat kedua lelaki tersebut berpelukan.

"Aku harus menghormati undangan. Inilah yang aku sebut Yanti (panggilan buat Kris) sudah bahagia dengan cinta barunya," ucap Anang.

Malam itu, Anang menghadiahkan Kris dua buah lagu iaitu Jodohku dan Tanpa Bintang.

Perkahwinan Anang dengan Kris pada 22 Ogos 1996 melahirkan dua orang anak, Titania Aurelie Nurhermansyah, dan Azriel Akbar Hermansyah. Mereka disahkan bercerai pada November 2009.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: