Thursday, March 31, 2011

Apabila kereta berlakon teater


LEBIH 2,000 orang pekerja bertungkus-lumus dalam tempoh tiga bulan untuk menyiapkan semua kenderaan bagi melengkapkan kehendak produksi.


MANUSIA berlakon di pentas teater menerusi pelbagai karakter adalah suatu perkara biasa dalam dunia seni persembahan. Namun, bagaimana pula jika benda yang tidak bernyawa seperti kereta diberikan ‘nyawa’ untuk menjadi pelakon teater?

Bukan sekadar menjadi prop pementasan yang kaku, ia benar-benar boleh berkata-kata, mengenyitkan mata, malah melompat. Dalam erti kata lain ia hidup!

Selamat datang ke dunia pementasan bertaraf global Disney On Ice - World of Fantasy yang dalam rangka mengadakan pementasan bergerak ke 70 buah negara di seluruh dunia.

Pementasan tersebut bakal berlangsung di Kuala Lumpur bermula esok, 1 April hingga 3 April ini di Stadium Tertutup Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pementasan yang menampilkan karakter-karakter popular Disney itu kali ini bakal menampilkan buat pertama kalinya di atas pentas, karakter-karakter popular yang diangkat daripada filem animasi pecah panggung, The Cars.

Ini bermakna karakter-karakter The Cars seperti Lightning McQueen, Mater, Doc Hudson, Sally Carrera, Luigi dan Ramone akan berkongsi pentas Disney On Ice: World Of Fantasy bersama karakter Disney yang juga pertama kali muncul menerusi pementasan Disney On Ice iaitu Tinker Bell.

Pementasan itu turut disertai karakter-karakter dari filem animasi The Lion King dan The Little Mermaid yang pernah muncul menerusi siri pementasan Disney On Ice sebelum ini.


KEPETAHAN dan aksi watak Lightning McQueen pasti mencuit hati penonton.


Namun, apa yang unik ialah cara penerbit teater ini, Feld Entertainment yang berjaya membina jasad hidup Lightning McQueen dan rakan-rakannya itu untuk dijelmakan sebagai pelakon teater tersebut.

Berbanding di layar perak yang menyaksikan karakter-karakter tersebut muncul dalam bentuk animasi, di pentas teater tersebut pula, kesemua karakter yang dimaksudkan hadir dalam bentuk binaan kereta.

Ia adalah hasil kerja yang dilakukan oleh kira-kira 2,000 orang pekerja yang berjaya menyiapkannya dalam tempoh tiga bulan.

Mulut getah

Antara ciri-ciri yang dibina bagi memberi ‘nyawa’ kepada setiap binaan kereta tersebut termasuklah bahagian mulut yang boleh berkata-kata yang dierbuat daripada getah.

“Disebabkan setiap binaan kereta itu diprogramkan dengan sistem animatronics yang dibina hasil gabungan teknologi robotik dan elektronik, maka ia boleh melakukan aksi melompat, mengenyitkan mata dan bergerak ke hadapan serta mengundur,” ujar Naib Presiden Elemen Babak Pentas Feld Entertainment, Rick Papineau.

“Pergerakan binaan kereta tersebut diprogramkan dalam komputer sebelum dimuat turun ke dalam kotak kawalan yang dibina dalam setiap kereta itu. Kotak kawalan itu digerakkan oleh alat kawalan tanpa wayar,” jelasnya lagi.

Tambahnya, setiap kereta tersebut berkebolehan bergerak selaju 64 kilometer per jam tetapi atas sebab-sebab keselamatan, ia telah diprogramkan supaya tidak bergerak melebihi 24 kilometer per jam.

“Apa yang pasti, pementasan Disney On Ice - World of Fantasy bakal menyajikan suatu kelainan apabila karakter-karakter The Cars itu menunjukkan ‘bakat’ lakonan masing-masing di pentas,” ujar Papineau.

Mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan tentang Disney On Ice - World of Fantasy, boleh menghubungi talian 03-7493 3010/7880 7999 atau melayari laman web www.prworldwidelive.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: