AGAK pelik bunyinya apabila mendengar masih terdapat penggemar fotografi menggunakan kamera analog tatkala dunia digital yang canggih menguasai pasaran dunia fotografi.
Pengendalian kamera analog bukan sahaja melecehkan kerana memerlukan kesabaran dan penelitian daripada penggemar fotografi malah, terpaksa memproses filem terlebih dahulu untuk melihat hasil karya rakaman mereka.
Bagaimanapun, cabaran tersebut yang menjadikan peranti itu begitu unik dan menarik di persada dunia seni fotografi sehingga ia masih diminati ke hari ini.
Salah seorang penggemar kamera analog, Lee Hong Sing, 31, sanggup membuka sebuah kedai kamera, Lokomotiv Checkpoint pada tahun 2010 di bandar Sunway, Selangor bersama rakannya semata-mata kerana minat mendalam terhadap seni fotografi analog.
“Walaupun terdapat banyak kamera digital di pasaran, kamera analog masih lagi diminati dan mempunyai peminat tersendiri di dalam dan luar negara malah, ia sudah menjadi seperti satu komuniti serta budaya terkini.
“Selain daripada meminati peranti ini, saya ingin mengekalkan legasi kamera analog kerana ada juga penggemar fotografi terutamanya mereka yang baru berkecimpung dalam bidang ini tidak pernah melihat kamera analog,” katanya kepada Kosmo!.
Mengimbas kembali gelagat seorang pelanggan muda yang mengunjungi kedainya, Hong Sing memberitahu, apabila melihat kamera analog pemuda tersebut menyangka ia adalah kamera baru.
Ujarnya, pemuda tersebut berfikiran sedemikian kerana tidak pernah melihat kamera analog yang menggunakan filem sebelum ini.
Senario tersebut telah membuatkan dia lebih bersemangat memberi pendedahan dan mengekalkan kamera analog itu.
Sambil membelek-belek model kamera lomografi Diana F+ yang kelihatan agak klasik dan trendy, dia memberitahu, kamera tersebut merupakan antara kamera analog yang menjadi pilihan penggemar fotografi kedainya.
Kamera lomografi atau Lomo adalah singkatan dari Leningradskoye Optiko Mechanichesckoye Obyedinenie (Penggabungan Mekanisme Optik Leningrad).
Kata Hong Sing, model kamera yang menggunakan negatif filem 120 tersebut menjadi pilihan pengguna kerana ia ringan, mudah dikendalikan dan mempunyai enam pilihan menukar lensa untuk merakam hasil karya mereka.
“Lomografi merupakan nama yang tidak asing dalam dunia fotografi analog kerana telah mengeluarkan beberapa model untuk dijadikan pilihan pengguna.
“Model kamera lomografi bukan sahaja mempunyai reka bentuk menarik tetapi, didatangkan dengan pelbagai warna menceriakan mengikuti trend terkini,” katanya yang meminati peranti tersebut sejak 10 tahun lalu.
Seleksi kamera analog
Antara model yang terkenal termasuk Lomo LC-A+, Spinner 360, Oktomat, Horizon Kompakt dan banyak lagi.
Ujar Hong Sing, kelebihan kamera lomografi adalah ia dapat merealisasikan impian pengguna dalam menjelmakan hasil karya seni menarik dan mengujakan penggemar fotografi.
Sebagai contoh, katanya model Spinner 360 dapat merakam imej dalam perspektif baru kerana ia boleh berpusing sehingga 360 darjah.
“Pengguna yang ingin mencari kelainan dalam rakaman mereka model Supersampler adalah jawapannya kerana ia didatangkan bersama empat lensa.
“Ia dapat merakam imej secara jujukan untuk memberi panorama dan dimensi baru dalam imej dirakam pengguna,” ujarnya lagi.
Tambah Hong Sing, pengguna juga boleh memilih pelbagai negatif filem yang memberi efek menarik kepada hasil rakaman imej seperti 35 milimeter (mm) berwarna, 35 mm redscale, 120 hitam putih dan banyak lagi.
“Kita turut menjual pelbagai aksesori kamera analog untuk melengkapkan daya kreativiti pengguna yang ingin mencari kelainan dalam rakaman imej mereka.
“Dengan menggunakan kamera analog, pengguna dapat mempelajari teknik fotografi dan mempunyai keyakinan diri dalam merakam imej mereka kerana perlu teliti serta mempunyai perspektif dalam menghasilkan karya mereka,” ujarnya lagi.
Sementara itu Penyelia Lokomotiv Checkpoint, Kelvin Yap, 33, memberitahu, kedai tersebut turut menjual jenama lain seperti Superheadz, Fuji Film dan banyak lagi.
“Kamera jenama Fuji Film merupakan kamera polaroid yang mudah dikendalikan pengguna.
“Ia dapat memberi pilihan kepada pengguna merakam imej kenangan abadi mereka lebih mudah kerana dapat melihat hasil rakaman dengan pantas,” katanya.
Kelvin menambah, penggunaan kamera polaroid juga secara perlahan-lahan telah berkembang menjadi trend golongan muda hari ini.
Katanya lagi, kebanyakan kamera yang terdapat di kedai tersebut dijual pada harga berpatutan dan mampu dimiliki terutamanya golongan muda.
“Dalam pada itu, kamera analog yang terdapat di Lokomotiv Point didatangkan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Jepun, Hong Kong, Rusia, China dan banyak lagi,” ujarnya.
Ketika sedang rancak bercerita mengenai kamera analog, Kelvin membawa keluar beberapa buah kamera klasik yang didatangkan khas dari Rusia.
Hong Sing memberitahu kamera tersebut turut dijual kepada mereka yang meminati kamera klasik.
Katanya, dia mempunyai seorang rakan di Rusia yang akan membantu mencari kamera klasik tersebut.
“Pada kebiasaannya, saya akan memastikan kamera tersebut boleh beroperasi terlebih dahulu sebelum membelinya kerana pelanggan ingin menggunakannya.
“Kadangkala pelanggan akan membuat tempahan terlebih dahulu dan saya cuba mencari untuk mereka,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai perancangan masa hadapan, Hong Sing memberitahu, dia akan menjadikan Lokomotiv Point sebagai lokasi penggemar fotografi berkumpul berkongsi pengalaman mereka menggunakan kamera analog.
Ia adalah satu usaha dalam memastikan kamera analog tidak akan terkubur buat selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: