Wednesday, March 30, 2011

Serasi ketika berlakon teater Natrah...Maya dan Remy

BERBAKAT...Maya dan Remy memberikan lakonan mantap. Begitu juga Nadia Nisa.
BERBAKAT...Maya dan Remy memberikan lakonan mantap. Begitu juga Nadia Nisa.

GOSIP percintaan antara Maya Karin Roelcke, 32, dengan hero filem tempatan semakin popular, Remy Ishak bukan sesuatu yang baru. Ia hangat diperkatakan sewaktu kedua-duanya mula ditemukan dalam teater Natrah arahan Erma Fatima. Apabila ditanya mengenai pengesahan berita itu, kedua-duanya dari dulu lagi tetap menafikannya.

Sekarang Remy dikatakan sedang bercinta dengan dramatis semakin mencipta nama, Tiz Zaqyah. Timbul cerita mereka mahu mengakhiri hubungan terjalin ke jenjang pelamin.


Bagaimanapun, sebaik saja filem Cun! arahan Osman Ali mula dipromosikan, gosip cinta antara Remy dan Maya terbit kembali. Semuanya gara-gara ayat yang tertera pada poster filem itu yang berbunyi Filem Komedi Osman Ali yang 'menjodohkan' Remy Ishak dan Maya Karin.

  • Foto

    MANIS...Maya tidak kisah bercinta dengan pemuda kampung asal wujud keserasian.

  • Foto

    POPULAR...Maya pegang watak pengacara Luna Latisya dalam Cun!

Meletakkan perkataan menjodohkan dengan tanda koma di atas pasti dibaca peminat dengan pengertian berbeza. Mungkin juga produser Cun! iaitu Tayangan Unggul Sdn Bhd cuba mengesahkan mengenai gosip yang tersebar mengenai Maya dan Remy sebelum ini.


Bagi wakil media, mereka berpendapat, produksi filem itu menggunakan gosip cinta membabitkan bintang utama filem itu sebagai senjata promosi Cun! Tidak dinafikan, kisah cinta mereka itu menjadi antara tarikan untuk ke panggung apabila ia ditayangkan.


Ditemui sewaktu sesi fotografi khas bersama sisipan Rap, Maya hanya menggelengkan kepala apabila ditanya mengenai 'tagline' yang tertera pada poster berkenaan. Sambil tersenyum, dia menganggap apa yang dilakukan Tayangan Unggul Sdn Bhd dan Nuansa Sdn Bhd itu sekadar menonjolkan keunikan Cun!

"Saya anggap 'tagline' itu agak nakal tapi ia mencerminkan filem yang saya hasilkan itu adalah komedi. Apabila difikirkan kembali, ia kedengaran sangat comel. Pertama kali membacanya, saya hanya mampu tergelak," katanya.Kali kedua berlakon di bawah arahan Osman Ali, Maya rasa bertuah kerana projek filem yang dirancang penggambarannya pada September 2009 akhirnya terlaksana juga selepas berhadapan dengan pelbagai halangan. Paling utama apabila kali pertama ditemukan dengan Remy, mereka tidak mempunyai keserasian.


"Selepas Remy menarik diri, pengarah dan penerbit Cun! cuba mencari pengganti tapi tidak bertemu. Kebanyakan mereka tidak sesuai untuk memegang watak pemuda kampung. Ia terhenti buat seketika sehinggalah saya dan Remy sekali lagi dipertemukan dalam teater Natrah. Waktu itu saya katakan kepada Osman mengapa tidak projek Cun! diteruskan dan watak utama diberikan kembali kepada Remy. Teater Natrah dijadikan medan untuk kami mencari keserasian. Osman waktu itu terus setuju dengan cadangan saya."Memang benar sebelum itu Remy agak kekok dengan saya. Sehinggalah Erma Fatima mahu gandingkan kami dalam Natrah. Sebelum latihan pementasan bermula, saya sendiri menghubungi Remy. Pada awalnya dia terkejut seperti tidak percaya saya sendiri akan menghubunginya.


"Saya memujuk Remy untuk kembali berlakon dalam Cun! dan cuba menjadikan teater Natrah sebagai tempat untuk kami mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Remy setuju selepas diberitahu Osman juga bersedia menunggu kami memulakan projek Natrah. Selepas itu barulah kerja penggambaran Cun! dimulakan," katanya.


Ternyata apa yang dirancang Maya dan Osman membuahkan hasil apabila sewaktu previu filem itu diadakan, ramai wakil media hadir memuji Cun! Lawaknya bersahaja dan tidak slapstik. Tidak menghairankan bagi mereka yang menonton filem itu nanti akan menyatakan ada 'ikatan hati' di antara Maya dan Remy kerana keserasian antara mereka sangat terserlah.


Selain itu, lakonan pelakon lain yang turut menjayakan Cun! seperti Faezah Elai dan Nadia Nisa juga pelakon berpengalaman iaitu Kartina Aziz, Ning Baizura dan Jehan Miskin turut berjaya memantapkan lagi jalan cerita dengan penghayatan watak yang begitu realistik.


Maya Karin memegang watak Luna Latisya, seorang pengacara terkenal, bercinta dengan Ryan Hidayat (lakonan Jehan Miskin), seorang pelakon. Program yang dihoskannya, Meletops, memerlukan beliau menerjah kehidupan peribadi selebriti tanah air. Yang terkini, kru Meletops ke rumah Hidayat untuk kejutan hari lahirnya. Namun lain pula yang terjadi apabila Ryan ditemui bersekedudukan dengan seorang artis baru, Siti Senjakala. Luna berang lalu terus memandu kereta ke luar kota dengan Tom, pembantu peribadinya.


Tom kemudian membawa Luna ke kampung halamannya di Kedah dan bertemu Atan (Remy Ishak) sepupu Tom, seorang petani. Di sana Luna melihat satu kehidupan sangat berbeza, penuh dengan kasih sayang dan gelak ketawa. Secara perlahan-lahan dia mula jatuh cinta dengan kampung halaman Tom, keluarganya dan paling utama, Atan.


Membayangkan apa yang dilalui Luna boleh berlaku kepada Maya dalam kehidupan sebenar, jelas pelakon kelahiran Jerman-Melayu itu, ia tidak mustahil tetapi dugaan bakal dilalui pasti besar kerana perbezaan latar hidup.


"Mengambil dialog yang saya ungkapkan dalam Cun! mungkinkah sawah padi dan menara berkembar KLCC bersatu? Pada saya ia tidak mustahil untuk saya mencintai seorang lelaki kampung kerana cinta tidak pernah mengenal, rupa, harta benda mahupun darjat. Cuma dalam hal ini, kita perlu realistik, ibarat mengukur baju di badan sendiri. Mampukah kita berdepan dengan kehidupan yang berbeza? Apatah lagi kerjaya seperti saya. Bolehkah lelaki itu menerimanya dan faham akan kehidupan yang saya lalui," katanya.


Begitupun tegas Maya, sekiranya satu-satu pasangan itu benar-benar mencintai antara satu sama lain, perbezaan budaya dan latar hidup bukan masalah. Kedua-dua pihak harus berusaha ke arah itu dan cuba memberikan yang terbaik dalam perhubungan. Sekiranya perkara itu dapat dilaksanakan, nescaya segala dugaan datang dapat dilalui dengan baik.


Bagusnya Maya sebagai pelakon, dia turut bertanggungjawab melaksanakan segala tugas pemasaran dan perhubungan awam semata-mata bagi memastikan filem dihasilkan diterima umum. Tidak semua pelakon berfikiran mahupun bertindak sepertinya.


"Saya sudah biasa melakukannya sejak membintangi filem Pontianak Harum Sundal Malam. Minat saya dalam dunia perfileman bukan saya di depan kamera tetapi juga di belakang. Pada saya, kalau ada produksi meminta idea dan buah fikiran bagaimana hendak memasarkan filem ini, saya akan membantu.


"Seperti Cun! pembabitan saya dari awal pembikinan dan apabila sudah siap sudah menjadi sebahagian tanggungjawab saya untuk menjayakan promosi. Sayangkan kalau sudah penat bekerja dan melaburkan sejumlah wang, promosi pula tidak dilakukan.


"Ini sekali gus berjaya menarik penonton ke pawagam dan produser akan dapat untung. Ini bermakna kelangsungan kami sebagai pelakon akan berterusan. Sebab apabila untung, produser akan menghasilkan pula filem baru dan secara tidak langsung peluang untuk pelakon sentiasa ada," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: