Tuesday, March 15, 2011

Aktif 5 gameshow berilmu


Peserta dan penonton
di studio turut dihiburkan oleh artis undangan, Haiza.


SETIAP stesen televisyen memerlukan sebuah program yang mantap bagi menarik minat penonton untuk menonton rancangan terbitan mereka.

Sesebuah program itu haruslah berkualiti agar penonton tidak berganjak dari hadapan kaca televisyen dan setia menontonnya hingga ke penghujung rancangan.

Bagi menambat hati penonton setia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini tampil dengan gameshow terbaru yang begitu gamat dan meriah dengan keletah serta gelagat pesertanya.

Program yang dinamakan Aktif 5 itu merupakan sebuah rancangan yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 pada setiap hari Ahad, pukul 9 malam.

Menyelitkan unsur jenaka dan pengetahuan, program yang berpaksikan elemen muzik itu menumpukan kepada bakat peserta selain mementingkan perwatakan riang dan bersahaja.

Pada sesi siaran langsung yang memasuki episod keenam baru-baru ini, penerbitnya, Azman Hashim ketika ditemui berkata, kalangan peserta dipilih adalah mereka yang merupakan siswa dan siswi institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS).

Menjelaskan maksud di sebalik judul program itu, Azman berkata, ia membabitkan lima peserta yang berentap untuk merebut kejuaraan dalam lima segmen yang ditampilkan.

Lima segmen yang dimaksudkan ialah Irama & Lagu, Rentap Berentap, Tukang Muzik, Ajuk Sakan dan Satu-Satunya.

"Aktif 5 diterbitkan untuk meneruskan penghasilan program-program bermutu oleh RTM selain bertujuan menghiburkan penonton.

"Dalam masa yang sama, ia menjana pemikiran kreatif peserta di samping mendekatkan peserta dengan artis yang turut sama menjayakan program itu," jelasnya.

Menurut Azman lagi, meskipun tanpa interaksi secara langsung dengan penonton di rumah, mereka juga boleh memenangi hadiah yang ditawarkan dengan menyertai kuiz penonton di rumah.

Kata Azman, peserta akan diuji kemahiran mereka dalam segmen pertama iaitu Irama & Lagu di mana mereka diminta untuk menyanyikan lirik lagu tanpa tajuk yang diberikan oleh hos Aktif 5, Ahdan Salleh.

"Kelima-lima peserta akan mara ke pusingan seterusnya, Rentap Berentap. Mereka dikehendaki menari mengikut gerak tarian yang dipersembahkan oleh kumpulan penari profesional.

"Segmen Tukang Muzik pula akan menguji kreativiti empat peserta terbaik mengalunkan irama menggunakan pelbagai alatan yang disediakan.

"Peserta juga akan menunjukkan kebolehan mereka sebagai konduktor muzik. Kemudian, dua peserta terakhir akan beradu bakat masing-masing di pusingan akhir, Satu-Satunya," jelas Azman menceritakan secara terperinci butiran yang terdapat dalam segmen yang ditampilkan.

Sementara itu, Ahdan yang merupakan bekas peserta Gangstarz dan Pilih Kasih berharap, program itu mampu dijadikan sebagai platform untuk mencari tapak sebagai anak seni tanah air.

"Ini adalah program pertama yang dikendalikan secara langsung dan saya begitu teruja serta seronok dapat melihat gelagat peserta yang sporting.

"Sejak ia mula disiarkan, saya diberitahu, ia telah berjaya menggamit 800,000 penonton. Semoga, ia semakin bertambah seterusnya membuktikan RTM sebagai salah satu stesen yang unggul di negara ini," katanya yang merupakan bekas anggota kumpulan Flava itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: