Wednesday, March 30, 2011

Tahfiz al-Quran popular


Penuntut tahfiz kini turut mengikuti pengajian bidang sains dan teknologi supaya menjadi para huffaz yang serba boleh.


SALAH satu program Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) peringkat kebangsaan dan bersifat tahunan adalah Majlis Menghafaz al-Quran. Pada tahun ini ia akan diadakan di Kuantan, Pahang bermula pada 4 hingga 8 April ini.

Tahun ini merupakan kali ke-32 majlis itu dianjurkan yang mana ia telah melahirkan ramai juara menghafaz al-Quran.

Secara telusnya, peserta yang mewakili setiap negeri telah melalui proses pemilihan bermula dari peringkat daerah.

Seterusnya pihak jabatan agama negeri akan melakukan ujian saringan dan jika ramai peserta yang mendaftar ujian saringan kedua akan diadakan sebelum diuji pada ujian terakhir.

Peserta dalam menghafaz ini perlu menghafaz al-Quran dan mengingatinya dengan baik. Ini kerana mereka dikehendaki menjawab dengan membaca ayat al-Quran secara hafazan tanpa melihat mushaf mengikut tempoh yang ditetapkan.

Objektif penganjuran majlis ini adalah untuk mendekatkan masyarakat Islam dengan al-Quran dan mencintai kitab suci itu.

Di saat kemajuan teknologi dan globalisasi yang mencabar ketika ini, masyarakat Islam amat digalakkan mengikutinya tanpa mengabai al-Quran dengan menjadikan bacaannya rutin harian.

Sesungguhnya ramai yang terpegun apabila melihat peserta mampu menjawab keseluruhan soalan tanpa kesalahan.

Setiap tahun kualiti peserta juga meningkat dengan mereka mampu mempersembahkan hafalan dengan alunan suara mengikut seni tarannum al-Quran.

Secara positifnya, paradigma pemikiran telah berlaku dalam masyarakat tentang menghafaz al-Quran.

Satu masa dahulu jika disebut menghafaz al-Quran terbayang kepada kita orang yang menghafaz al-Quran itu adalah buta, tua, nakal atau yang tidak lulus dalam persekolahan.

Namun ketika ini, ibu bapa berlumba-lumba mendaftar anak mereka yang lulus dengan baik dalam peperiksaan di pusat tahfiz al-Quran.

Lebih menarik, terdapat pusat tahfiz yang menggabungkan hafalan al-Quran dengan aliran sains.

Menghafaz al-Quran adalah satu tugas yang amat berat dan susah. Untuk merealisasikannya, penghafal al-Quran mestilah mempunyai minat yang tinggi, menghafaz dengan ikhlas hanya kepada Allah, disiplin masa dan istiqamah.

Semua ciri tersebut memungkinkan mereka mengingati al-Quran.

Kesusahan menghafaz al-Quran hanya bersifat sementara iaitu di peringkat permulaan.

Apabila sudah mempunyai pengalaman, mereka mampu menghafalnya dengan mudah dalam tempoh yang singkat.

Menurut Tafsir Jalalain, kehebatan al-Quran dan kecanggihannya adalah ia merupakan satu-satunya kitab samawi yang dihafal.

Ini tidak berlaku pada kitab taurat, injil atau zabur. Allah SWT telah memberi satu jaminan: Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan al-Quran untuk peringatan dan pengajaran maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (al-Qamar: 22)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: