Tuesday, March 29, 2011

Anuar Zain belum jumpa wanita idaman


Menaip dan menyanyi di depan komputer sewaktu program Jom Chat Bersama...Anuar Zain melalui Utusan Online.


DARI kejauhan sesekali terdengar suara merdu Anuar Zain mendendangkan beberapa rangkap lagu popularnya seperti Lelaki Ini, Sedetik Lebih, Keabadian Cinta dan Bila Resah.

Selain menyanyi, sesekali terdengar juga tawa kecil Anuar yang turut ditemani segelas Nescafe, minuman kegemarannya tanpa menghiraukan orang sekeliling yang leka melihat.

Begitu asyik sekali Anuar melayani pertanyaan peminat daripada pelbagai peringkat usia ketika menjayakan program Jom Chat Bersama...Anuar Zain yang disiarkan di TV Utusan secara langsung melalui Utusan Online di ibu pejabat Utusan Melayu, baru-baru ini.

Ketika program berlangsung, kira-kira 1,200 orang melayari laman web berkenaan dan lebih 500 soalan diajukan kepada penyanyi tersebut.

Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Annuar Zain, 41, yang ditemani pengurus, Rohila Tahir berada di ibu pejabat Utusan Melayu daripada pukul 8.30 malam sehingga 12 malam.

Boleh dikatakan ramai petugas terutama kakitangan wanita yang tidak sabar menantinya untuk bertanya segala soalan yang terpendam secara langsung dan bergambar kenangan dengan penyanyi kacak itu.

Walaupun beliau perlu bergegas pulang ke Shah Alam, Anuar tetap melayan permintaan peminat yang ingin mendapatkan tandatangannya selain melakukan sesi foto di studio pada tengah malam.

Ke mana sahaja Anuar pergi, pasti soalan bila hendak berumah tangga diajukan kepadanya dan entah berapa ribu kali beliau perlu menjawab soalan yang sama daripada pelbagai orang di tempat yang berbeza.

"Siapa yang tidak mahu kahwin. Kalau sudah ada yang sesuai pasti saya tidak menolak. Masalahnya, sekarang ini saya belum jumpa lagi wanita idaman," katanya terus terang.

Ekoran status solo itulah, bila Anuar mengadakan persembahan terutama pada Minggu Setiausaha, peminat wanita tidak segan silu memeluknya secara spontan sebagai tanda teruja.

Anuar secara jujur berkata, beliau tidak dapat mengelak perbuatan spontan peminat kerana ingin menjaga air muka mereka.

Namun sebagai lelaki budiman, Anuar tidak pernah mengambil kesempatan dan menganggap reaksi itu sebagai sebahagian daripada asam garam kerjaya seni.

"Saya akan cuba melayan semua permintaan peminat selagi terdaya kerana tanpa sokongan mereka, siapalah saya. Mungkin mereka sendiri bukan sengaja nak berperangai begitu.

"Apa pun saya amat berterima kasih pada mereka yang sehingga kini tidak henti menyokong saya," katanya yang mula menyanyi pada usia 13 tahun.

Anuar yang menghasilkan tiga album solo dengan judul nama sendiri dalam tempoh 13 tahun mengaku beliau amat cerewet dalam proses pemilihan dan pembikinan album.

Katanya, untuk menyiapkan lima buah lagu sahaja beliau mengambil masa kira-kira dua tahun lebih demi kualiti.

"Ramai yang tanya kenapa tidak hasilkan album setiap tahun dan mengapa mengambil masa yang lama. Bagi saya setiap lagu yang dimuatkan dalam album mempunyai keistimewaan tersendiri.

"Saya mengambil masa lama kerana selepas menghasilkan satu album, saya akan lihat reaksi pendengar untuk mengetahui jenis lagu dan muzik yang digemari. Bila sudah pasti trend lagu, barulah saya cari komposer untuk buat rakaman," ceritanya yang lebih senang berambut pendek itu.

Anuar yang satu ketika dulu pernah berambut panjang berkata, biarlah imej itu menjadi sejarah dalam kerjaya.

"Setiap orang ada keinginan dan ketika itu saya teringin berambut panjang, bila sudah cuba dan saya dapati ada kebaikan dan keburukannya, maka saya lebih senang berambut pendek seperti sekarang," akuinya.

Selain itu katanya, dalam usia yang semakin meningkat beliau banyak mengamalkan pengambilan vitamin dan makanan tambahan bagi menjaga kesihatan.

Beliau yang bercadang untuk menjayakan konsert solo secara besar-besaran bagi menghargai sokongan peminat, bagaimanapun tidak dapat menjayakan impian kerana kerana kekangan bajet.

Kata Anuar, untuk menghasilkan konsert 'sempurna' pada tontonan dan pe konsert, sudah pasti saya tidak menolak. Entahlah buat masa sekarang, saya masih lagi mencari penaja yang sudi untuk merealisasikan hasrat saya dan sekali gus impian peminat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: