SEREMBAN: Penduduk di Taman Matahari Heights, di sini bimbang dengan keadaan Kolam Takungan Taman Matahari Heights di kawasan berhampiran yang tidak diselenggara sejak setahun lalu dan dipercayai boleh menjadi tempat haiwan berbisa dan nyamuk Aedes membiak.Tinjauan Sentral mendapati kolam milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu kini dipenuhi pokok kiambang, manakala kawasan sekitar yang sebelum ini dijadikan tempat rekreasi, dipenuhi lalang.
JPS juga meletakkan papan tanda melarang orang awam mandi atau memancing di kolam itu.
Peniaga, Zawiyah Yaakob, 54, berkata kali terakhir kolam itu diselenggara JPS pada awal tahun lalu apabila banyak sampah dari kolam itu dikeluarkan.
Namun, katanya, selepas itu, kolam itu tidak lagi diselenggara, namun dalam tempoh itu, ada pihak yang datang memotong rumput dan lalang yang tumbuh meliar di kawasan berkenaan.
"Sudah lama rumput tidak dipotong menyebabkan kawasan itu tidak terurus. Saya bimbang jika keadaan ini berterusan, boleh menyebabkan nyamuk Aedes membiak, sekali gus kes demam denggi meningkat.
"Selepas kolam ini diselenggara setahun lalu, ada penduduk datang berjoging dan riadah di sini kerana ada beberapa kemudahan disediakan termasuk batu refleksologi, tetapi selepas tiada pihak menguruskannya, penduduk pun tidak berani datang kerana bimbang ada haiwan berbisa atau nyamuk Aedes," katanya ketika ditemui di sini.
Nor Hayati Ibrahim, 50, berkata sejak tinggal di taman itu lebih dua tahun lalu, kolam itu sudah wujud dan pada tahun pertama ia dijaga dengan baik oleh JPS.
Namun, katanya, sejak tahun lalu, kolam itu dibiarkan kotor hingga membimbangkan penduduk setempat selain memburukkan pemandangan.
"Saya tidak mahu nanti apabila ada penduduk yang meninggal kerana demam denggi baru pihak berkenaan mahu mengambil tindakan. Sepatutnya tindakan mencegah perlu dilakukan dari sekarang.
"Ketika itu mungkin ada pihak yang menuding jari sesama sendiri dan boleh jadi lebih ramai penduduk akan berpindah kerana tidak sanggup tinggal di kawasan ini akibat kewujudan kolam yang boleh menyebabkan penyakit dan memburukkan pemandangan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: