Pelakon Anjasmara Prasetya sudah empat tahun tidak muncul dalam drama baru. Dia bukan bersara sebaliknya fokus kepada penerbitan drama dan rancangan TV. Malah dia sendiri hot dengan program berkonsep kuiz, 1 vs 100 (satu lawan seratus) terbitan syarikatnya sendiri. Hasilnya Anjasmara memenangi anugerah pengacara program kuiz pilihan dalam Panasonic Gobel Awards 2011 di Jakarta, Indonesia minggu lalu. Kejayaan itu membuatkan dia semakin bersemangat untuk kembali aktif di layar kaca. "Alhamdulillah saya menjadi pilihan peminat kali ini setelah empat tahun saya menyepi," kata Anjasmara kepada Mangga Online saat ditemui usai acara tersebut.Anjasmara, 35, pernah mencipta nama di Malaysia sekitar 15 tahun lalu menerusi drama bersiri kerjasama Malaysia dan Indonesia, Kolej yang mendapat sambutan hangat penonton, khususnya golongan remaja pada masa itu. "Saya akan kembali berlakon drama selepas ini," kata Anjasmara yang absen kerana kesibukannya sebagai penerbit drama bersiri komedi Islam KTP yang sedang ditayangkan di stesen SCTV sekarang. Sebagai penerbit, Anjasmara sudah mendapat hasilnya apabila terbitannya mendapat sambutan hangat. Antaranya Suami-suami Takut Isteri yang bertahan sehingga lebih 600 episod sejak ditayangkan pada 2007. Malah Islam KTP menduduki tangga pertama drama bersiri di negaranya. Anjasmara bekerjasama dengan Metrovision Plus menerbitkannya. Ternyata Anjasmara tidak main-main bila mahu beralih ke bangku penerbit. Dia tidak berlakon kerana mahu fokus kepada produk yang diterbitkannya. Di Indonesia hari ini sesebuah drama yang diterima ramai menjalani penggambaran sehingga saat-saat akhir demi mengejar rating. Malah ada drama yang disiapkan beberapa jam sebelum waktu tayangan kerana tidak mahu kalah dengan drama yang ditayangkan pada waktu sama di stesen lain. Anjasmara juga menggunakan pengalaman sebagai pelakon untuk urusan tugas-tugas seorang penerbit. Kalau pelakon memerlukan bakat yang besar untuk berjaya, seseorang penerbit pula harus ada daya kreativiti yang tinggi. "Kita harus fokus, pandai melihat situasi dan belajar pada bila-bila masa," sambungnya yang berazam mahu meningkat satu demi satu langkah. Manalah tahu suatu hari nanti dia akan memegang stesen TV pula. |
Thursday, March 31, 2011
Anjasmara kembali berlakon
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: