Thursday, March 31, 2011

Teknologi mudahkan pemanduan


CAHAYA infra merah pada lampu kenderaan membantu mengelakkan ia menyilaukan pandangan mata pemandu lain.


SERINGKALI gajet digital dikaitkan dengan golongan muda atau setidaknya golongan yang mahu kelihatan sentiasa muda. Pada hakikatnya, ia sebenarnya membawa faedah kepada semua golongan termasuk warga emas.

Sebahagian daripada hasil inovasi teknologi adalah untuk tujuan hiburan tetapi bagi golongan senior, sebahagian daripada kecanggihan itu sebenarnya dapat membantu mereka dalam melakukan sesuatu kerja dengan mudah dan pantas.

Salah satu masalah yang sering dihadapi golongan itu adalah ketika memandu. Penglihatan yang agak terbatas serta tindakan refleks yang secara relatifnya agak perlahan berbanding golongan muda mungkin menjadi salah satu faktor mengapa golongan tersebut lebih suka menaiki kereta sebagai penumpang berbanding memandu kenderaan sendiri.

Bagaimanapun hari ini, terdapat pelbagai aplikasi teknologi dibangunkan bagi membantu pelbagai golongan termasuk warga emas yang dapat membantu mereka ketika memandu.

Antara aplikasi teknologi tersebut adalah sistem navigasi bagi mengelak daripada tersesat. Sistem yang membolehkan mereka melihat pejalan kaki atau kenderaan lain yang mungkin berada pada titik buta sesebuah kenderaan.

Contoh aplikasi teknologi lain adalah butang kawalan pada stereng untuk mengawal operasi sistem stereo dan suhu penghawa dingin bagi memastikan tangan pemandu kekal di stereng dan tumpuan mata tetap pada jalan raya.

Ia dapat menghindar tumpuan pemandu daripada hilang kerana terpaksa memanjangkan tangan pada konsol kawalan di bahagian tengah untuk melakukan tugasan sama.

Sebagai tambahan kepada memastikan fokus mata kekal pada jalan raya ketika pemanduan, butang kawalan pada sisi kerusi pemandu juga membantu golongan veteran untuk menyelaraskan postur ketika duduk, menambah atau mengurangkan ketinggian kerusi atau mengubah kedudukan kerusi bagi memudahkan mereka keluar dari kereta.

Dalam pada itu terdapat juga pengeluar automobil yang melengkapkan kereta mereka dengan sensor bagi membantu meluaskan pandangan pemandu.

Sensor itu akan memaklumkan sekiranya terdapat kereta lain pada titik buta atau sekiranya terdapat objek yang berdekatan dengan kereta. Terdapat juga kenderaan mewah dilengkapi sistem kamera di bahagian belakang dan juga hadapan bagi membantu mereka ketika mengundur kenderaan atau memasuki lot parkir dengan tepat.


SISTEM navigasi GPS memudahkan lagi pemanduan.


Mudahkan parkir

Pengeluar kereta mewah seperti BMW merupakan antara pengeluar yang banyak melakukan penyelidikan dan pembangunan bagi memberikan pengalaman pemanduan lebih baik kepada pemilik kereta keluaran mereka.

Antara inovasi mereka adalah sistem bantuan parkir yang terdapat pada model terpilih kereta keluaran Jerman itu. Teknologi tersebut boleh mengenal pasti sama ada ruang itu boleh memuatkan kereta tersebut dan terus memasukkan kereta secara automatik ke dalam kotak parkir.

BMW Night Vision pula membolehkan pemanduan pada waktu malam lebih selamat. Teknologi berkenaan melebarkan lagi pandangan sewaktu pemanduan menggunakan kamera infra merah yang sensitif pada haba.

Pada pemanduan biasa pula, kita mungkin memerlukan lampu tinggi jika memandu di kawasan gelap tetapi, ia boleh menyebabkan pemandu dari arah bertentangan berang kerana cahaya lampu tinggi kita yang menyilaukan pandangan mereka.

Ini tidak berlaku pada sistem pandangan malam kerana cahaya infra merah tidak boleh dilihat pada mata biasa sekali gus tidak mengakibatkan silauan pada mata pemandu lain.

Lebih menarik, sistem itu dapat mengenal pasti pejalan kaki dan penunggang basikal atau motosikal serta haiwan berbanding objek lain yang tidak bernyawa kerana ia dapat mengesan haba dikeluarkan makhluk hidup.

Sistem kedudukan global (GPS) dan perkhidmatan komunikasi pada kenderaan juga boleh meningkatkan tahap keselamatan kereta anda.

GPS bukan sahaja dapat membantu pemandu dari sudut navigasi untuk ke sesuatu tempat tanpa memerlukan peta konvensional tetapi ia dapat membantu menjejak kenderaan apabila dicuri.

Perkhidmatan komunikasi pada kenderaan mungkin belum popular di Malaysia, tetapi telah lama terdapat di negara seperti Amerika Syarikat dan kebanyakan negara Eropah.

Sistem itu membolehkan pemandu menghubungi penyedia perkhidmatan sekiranya berlaku sebarang kecemasan. Penyedia khidmat itu akan mengaturkan segala bantuan yang diperlukan termasuk menghantar trak penunda atau bantuan ambulans, dalam sesuatu kemalangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: