Wednesday, March 30, 2011

L'Oreal martabatkan saintis wanita


Tay Ai Leen (tengah) bersama dua saintis wanita yang pernah meraih anugerah L'Oreal Dr. Liong Min-Tze (kiri) dan Dr. Zainovia Lockman.


DAYA usaha L'Oreal Malaysia selaku pengasas yang memperkenalkan Anugerah L'Oreal Malaysia Fellowship untuk Wanita Dalam Sains sejak lima tahun lalu tidak sia-sia.

Ini kerana anugerah yang mendapat kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) setakat ini telah memilih 15 saintis wanita Malaysia yang cemerlang.

Secara tidak langsung ini menunjukkan kesungguhan L'Oreal sebagai satu-satunya badan korporat di negara ini yang menggalakkan saintis muda wanita Malaysia menjalankan kajian ilmiah menerusi pemberian dana.

Dua dari 15 penerima anugerah yang lalu iaitu Prof. Madya, Dr. Zainovia Lockman dari Jabatan Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Universiti Sains Malaysia (USM) (2009) dan Prof. Madya, Dr. Liong Min-Tze dari Jabatan Industri Teknologi USM (2007) turut berkongsi pengalaman dengan hasil penyelidikan yang dijalankan.

Sememangnya kredibiliti kedua wanita ini sebagai pemenang anugerah ini cukup terserlah kerana bukan sahaja memiliki kepintaran dalam bidang masing-masing malah mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

Dr. Zainovia, 35, memberitahu, dia menjalankan projek penyelidikan mengenai pembentukan Tungstern Oxide dalam nanotiub dan nanorod iaitu bahan bagi menghasilkan 'Tingkap Pintar Elektrokomik'.

Jelasnya, tingkap pintar itu akan menggalakkan tenaga berkesan apabila elektrik yang digunakan untuk lampu dan penghawa dingin dapat dikurangkan.

Tambahnya, projek itu juga dapat menyumbangkan pembangunan terhadap teknologi hijau dan mewujudkan pengekalan untuk generasi masa hadapan.

Manakala Dr. Liong Min-Tze, 33, pula menceritakan penyelidikan nanofiber daripada okara iaitu sisa kulit kacang soya yang digunakan untuk membuat susu dan juga tauhu.

Katanya, nanofiber ini mempunyai sesuai untuk digunakan dalam makanan dan juga ubat-ubatan.

Sementara itu, Pengarah Perhubungan Media Komunikasi Korporat L'Oreal Malaysia, Tay Ai Leen berharap dua saintis ini menjadi sumber inspirasi kepada saintis wanita muda lain di seluruh negara supaya merebut peluang yang disediakan.

''Setiap tahun tiga saintis wanita sahaja akan dipilih untuk menerima menjadi penerima anugerah ini dengan pemberian dana RM20,000 seorang bagi menjalankan penyelidikan masing-masing,'' katanya pada sidang akhbar Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, anugerah itu yang turut mendapat kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pengajian Tinggi dan Akademi Sains Malaysia diharap akan dapat merealisasikan falsafah 'Dunia perlukan sains dan sains perlukan wanita'.

Sehubungan itu, katanya sekali lagi pada tahun ini, L'oreal selaku pengasas program ini mempelawa wanita Malaysia yang berusia 35 tahun ke bawah serta memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan kini sedang menjalankan kajian penyelidikan dalam bidang Sains supaya menghantar permohonan masing-masing.

Katanya, pendaftaran dibuka mulai 24 Mac hingga 31 Julai depan.

Tambahnya, setiap permohonan mesti disertakan dengan cadangan kajian dan borang permohonan yang boleh didapati dari Sekretariat Suruhanjaya Negara di bawah UNESCO.

Katanya, keputusan pemenang akan diumumkan pada majlis penganugerahan November depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: