EMPAT pingat emas. Itulah jangkaan yang dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan menjelang 487 hari Sukan Olimpik 2012 di London biarpun sedar ia bukan perkara mudah untuk dilakukan.
Namun menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek amat optimis untuk mengintai peluang meraih empat pingat emas selain meneruskan sasaran satu pingat emas pertama negara pada temasya Olimpik menerusi jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.
Melalui Program Road To London 2012 yang telah dilancarkan secara rasmi pada 16 Februari 2009, Ahmad Shabery yakin jangkaan ini mampu dilaksanakan sekiranya semua atlet serta pihak yang terlibat lebih bekerja keras serta memberi fokus sepenuhnya kerana ia bukan angan-angan kosong, tetapi segalanya boleh berlaku.
Ahmad Shabery berkata, pihaknya memang menyasarkan satu pingat emas yang diharapkan menerusi Chong Wei, tetapi apabila melihatkan pencapaian dan rekod semasa dalam tujuh acara yang akan ke temasya sukan berprestij itu, skuad negara mampu meraih lebih daripada satu emas.
“Saya tidak menyasarkan empat pingat emas, tetapi senarai ini berada dalam jangkaan kita. Misi emas sememangnya diharapkan kepada Chong Wei kerana kita percaya kerana dia bukan sahaja pemain nombor satu dunia, malah dia juga boleh dikatakan sebagai pemain terbaik dunia, lebih-lebih lagi selepas berjaya menundukkan seteru utamanya dari China, Lin Dan pada akhir Seluruh England baru-baru ini.
“Acara beregu badminton juga berada dalam jangkaan emas dengan gandingan Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong yang mempunyai harapan cerah untuk meraih emas biarpun mereka ini gagal menjuarai kejohanan Seluruh England tahun ini.
“Namun berdasarkan pencapaian dan persembahan mereka sebelum ini saya yakin mereka boleh memberi aksi yang lebih baik lagi pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Detik 500 Hari Program Road To London baru-baru ini.
Sementara itu Ahmad Shabery berkata, dua lagi emas yang berada dalam senarai jangkaan adalah melalui acara berbasikal yang pastinya jaguh keirin negara, Mohd Azizulhasni Awang menjadi perhatian.
“Pencapaian Azizul tidak boleh dipertikaikan lagi. Dia adalah prospek kejayaan negara dalam sukan lumba basikal kerana telah banyak mencipta nama dengan mengalahkan ramai jaguh dunia yang lain.
“Dan satu lagi adalah Pandelela Rinong yang kini merupakan jaguh terjun yang disegani. Dia telah mengharumkan nama negara dengan meraih pingat perak pada Sukan Remaja Olimpik sebelum ini dan kini berada di belakang jaguh dunia dari China dan turut meraih pingat pada Sukan Asia tahun lalu.
“Secara jelasnya, kami realistik dalam memberi sasaran emas, tetapi dalam beberapa acara, saya yakin peluang untuk meraih emas itu ada.
“Kita tidak mahu pergi ke Olimpik sekadar menghantar penyertaan tetapi kita ada sasaran tersendiri dan apa yang kita lakukan ini berdasarkan realiti.
“Tetapi apa yang penting ialah kita perlu melakukan persiapan rapi dari segi mental dan fizikal,” katanya.
Antara tujuh acara dalam Program Road To London ialah acara badminton, memanah, menembak, hoki, bola sepak, terjun dan acara trek berbasikal.
Program Road To London 2012 tercetus setelah kejayaan kontinjen negara memenangi satu perak menerusi Chong Wei dalam acara perseorangan lelaki badminton Sukan Olimpik Beijing 2008 yang lalu. Misi utamanya adalah untuk memenangi pingat emas pertama di dalam temasya yang terbesar dan berprestij ini pada tahun 2012 nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: