LATIH...mendidik si kecil menghargai alam sekitar menerusi selaman dan lukisan.
PERSEKITARAN mengajar pelbagai perkara misalnya kolaborasi antara bidang selaman skuba dan lukisan.
Justeru, pelukis Zuzila Zain mengambil ruang mengajar kanak-kanak menyelam dan pada masa sama, turut menghasilkan lukisan di dasar laut.
"Segala ilmu mengenai lukisan dizahirkan pada mereka dengan harapan mereka memanfaatkan sesuatu daripada persekitaran alam, laut dan manusia sebagai sumber kekuatan dalam berkarya," katanya.
Pelajarnya terdiri daripada kanak-kanak berusia antara lapan hingga 13 tahun. Dibantu seorang pelatih profesional di Kids Scuba, dia sentiasa berfikiran kreatif untuk kumpulan sasarannya itu.
Menikmati hujung minggu, ruang itu sering terisi dengan aktiviti berfaedah sama ada membawa kumpulan kanak-kanak itu ke pusat renang, pantai atau laut yang menjadi pilihan.
Saat paling tidak dapat dilupakan apabila berpeluang mengajar kanak-kanak terutama anak orang kenamaan namun apa yang pasti, kebanyakan anak golongan kenamaan diberi bimbingan sama dengan kanak-kanak lain.
Sejujurnya, ketika mencurahkan ilmu melukis sambil menyelam bersama kanak-kanak itu dia lupa kesedihan yang pernah dilalui apabila kehilangan suami tercinta, Ahmad Fazmi Shamsuddin.Reda dengan ketentuan Ilahi nyata memotivasikan dirinya supaya kuat dengan ujian itu.
"Tidak dinafikan saya teruja apabila berkarya bersama kanak-kanak ini. Sifat mereka yang ceria, jujur dan lurus memang membahagiakan."Sekurang-kurangnya perasaan saya sendiri terubat dengan kehadiran mereka apatah lagi selama perkahwinan bersama arwah suami, kami tidak dikurniakan cahaya mata," katanya.
Minat mendalam dalam bidang lukisan di samping aktiviti lasak memberi kelebihan berganda kepada wanita berusia 41 tahun ini.
"Saya suka aktiviti lasak seperti memanjat gunung dan gemar melancong.
"Daripada situ, saya menghalusi sesuatu yang boleh dimanfaatkan daripada persekitaran misalnya kolaborasi antara bidang selaman skuba dan lukisan," katanya yang suatu ketika dulu pernah menolak tawaran belajar di menara gading semata-mata mahu mengejar impian bergelar pelukis.
Mahu membuktikan benar-benar serius, Zuzila pernah bertugas di galeri seni serta menjadi tenaga pengajar di sekolah muzik dengan mengajar subjek lukisan. Dia juga beberapa kali ke Negara Matahari Terbit demi mempelajari seni halus negara berkenaan.
Kini, dia nekad pula untuk merasai pengalaman melukis di negara beriklim sejuk.
"Saya ingin menggali pengalaman di lautan sejuk bagi mempelajari aspek lukisan serta menyelam dalam iklim begitu.
"Persediaan harus dilakukan sebaiknya daripada segi mental dan fizikal. Bagi saya, jika orang lain boleh berjaya, tidak salah saya mencuba," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: