Wednesday, March 30, 2011
Nasirah pilih kerjaya pereka kostum
Bidang perekaan kostum bukanlah pekerjaan yang semudah disangka. Cantik dan buruk seseorang pelakon mengenakan pakaian yang diberikan semasa di set penggambaran adalah idea pereka kostum itu sendiri.
Nasirah Ramlan yang juga seorang pereka kostum yang terkenal dalam kalangan penggiat seni perfileman negara berkata, tidak hanya perlu menyediakan kostum, seorang pereka kostum perlu mengetahui jalan cerita sesebuah filem dan pelakonnya.
Ini katanya, akan memudahkan pereka kostum mencari pakaian sesuai dengan warna kulit dan bentuk badan.
“Ia bukan tangkap muat sahaja. Benang dan jarum memang tak pernah tinggallah. Kadang-kadang baju terkoyak, terbesar atau terkecil. Semuanya perlu dibuat dengan kadar segera,” katanya.
Memulakan karier pada tahun 1995, Nasirah yang mendapat pendidikan di Institut Seni Media diberi kepercayaan untuk membuat pakaian untuk filem Sayang Salmah.
“Itulah filem pertama saya. orang cakap kalau buat filem lama memang mudah sahaja nak cari material. Tapi, tidak semestinya.
“Saya perlu mencari pakaian lama. Untuk kuantiti yang banyak, saya perlu menjahit pakaian itu semula. Itulah antara tugas sebagai pereka kostum.
“Bukan hanya pakaian, malah aksesori di badan juga perlu saya siapkan. Banyak kerja sebenarnya. Ada yang cakap kerja ini leceh. Tapi kalau ada minat dan kesungguhan, ia akan jadi seronok,” katanya.
Nasirah ditemui sewaktu penggambaran filem terbaru Tayangan Unggul iaitu Aku, Kau & Dia arahan Pierre Andre.
Selepas Sayang Salmah, Nasirah terus mendapat peluang dari pengarah Erma Fatima untuk membuat kostum untuk drama episod iaitu Haryati.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: