Tuesday, March 29, 2011

Persatuan pertingkat ekonomi wanita

CURI TUMPUAN...sebahagian perwakilan Simposium Tekstil Tradisional Asean Ketiga tertarik melihat proses menghasilkan kain tenun.
CURI TUMPUAN...sebahagian perwakilan Simposium Tekstil Tradisional Asean Ketiga tertarik melihat proses menghasilkan kain tenun.

AHLI Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Pahang boleh berbangga apabila pertubuhan itu bukan saja melakar imej yang cemerlang, malah usaha mereka selama ini turut menjadi model dan ikutan persatuan wanita di rantau Asia Tenggara dan Timur Jauh.

Pengerusi WI Pahang, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, pihaknya sudah berusaha untuk melakukan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin dan warga WI Pahang seharusnya bangga dengan pengiktirafan yang diberikan persatuan lain termasuk di luar negara.


Aktiviti utama WI adalah berlandasan objektif untuk memimpin golongan wanita menjadi insan berguna selain berusaha memelihara keharmonian keluarga.

  • Foto

    AKTIVITI MENARIK...lawatan Tunku Azizah Aminah Maimunah bersama perwakilan simposium di Pusat Tenun Diraja Pahang Kampung Pulau Keladi, Pekan.

  • Foto

    TURUT SERTA...sebahagian ahli WI Pahang yang menyertai mesyuarat pertubuhan, baru-baru ini.

Tanggungjawab lain yang dipikul termasuk meningkatkan taraf ekonomi, keagamaan, mengeratkan perhubungan di kalangan ahli dengan masyarakat selain aktiviti amal dan kebajikan.


"Sebagai persatuan induk, WI Pahang mampu menjadi penanda aras kepada ahli WI di kalangan 14 negara Asia lain yang turut bercita-cita untuk menaikkan imej golongan wanita di negara masing-masing.


"Pencapaian cemerlang WI Pahang memberi kelebihan kepada saya untuk dilantik sebagai presiden WI kawasan Asia yang bertanggungjawab mengawasi gadis dan wanita di Indonesia, Filipina, Korea, Jepun, Mongolia, Singapura dan Brunei."Saya akan pastikan imej WI Pahang terus cemerlang dan tanggungjawab berkenaan akan dipikul sebaik mungkin dalam usaha menjaga amanah di peringkat lebih tinggi," titahnya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung WI Pahang ke-58 di Indera Sempurna Resort, Kuantan, baru-baru ini.


Tunku Azizah bertitah, untuk memastikan imej WI Pahang terus cemerlang, semua pemimpin pertubuhan di peringkat cawangan dan daerah perlu memanfaatkan jawatan yang disandang sebagai perkara utama untuk memimpin ke arah pembaikan dan bukan untuk tujuan peribadi."Saya berharap kerjasama erat yang dipupuk selama ini dapat terus dikekalkan sampai bila-bila demi kebaikan ahli, seterusnya masyarakat.


"Saya yakin semua pertubuhan WI di negeri ini dapat memikul tugas dan tanggungjawab diamanahkan dalam usaha mencapai matlamat persatuan dan kemajuan ahli," titahnya.


Pada majlis itu, Tunku Azizah berkenan melancarkan projek Roof A Thon bagi mengutip dana untuk membina bangunan bersama WI negeri dan Persatuan Pandu Puteri Malaysia cawangan Pahang di Taman Gelora, Kuantan.


Veteran WI negeri, Hamidah Hassan, 75, berkata, pendekatan ke arah kemajuan yang dilakukan Tunku Azizah berjaya meletakkan WI negeri pada kedudukan terbaik dan membanggakan.


"Aktiviti kelas jahitan, memasak, jualan, ceramah motivasi dan aktiviti agama antara kegiatan yang diusahakan WI negeri termasuk daerah dan cawangan.


"Program yang dianjurkan tidak hanya membabitkan golongan dewasa tetapi disertai remaja dan pelajar sekolah yang berminat dengan aktiviti seumpama itu," katanya.


Jatuh bangun sesebuah persatuan banyak bergantung kepada pengerusi dan peranan yang dipikul akan menentukan setiap aktiviti untuk kepentingan ahli seterusnya masyarakat.


Katanya, pengalaman lebih 25 tahun memimpin WI cawangan Temerloh memberi kelebihan kepadanya untuk berkongsi pandangan dengan golongan generasi muda.


Bagi Naib Pengerusi WI cawangan Tanah Putih Baru, Kuantan, Nurani Harun, 58, pembabitan wanita dalam persatuan dapat membuka lebih peluang untuk menceburi bidang perniagaan.


"Saya mengusahakan perusahaan membuat kek, kuih ubi dan pau goreng yang dipasarkan di sekitar kawasan perumahan selain turut menerima tempahan.


"Pengalaman bertugas sebagai jururawat juga memberi peluang kepada saya untuk memberi perkhidmatan mengurut wanita lepas bersalin," katanya yang lebih 10 tahun menjadi ahli WI.


Rakannya, Samsuri Abdullah, 49, yang menganggotai WI Kuala Lipis berkata, apa yang diharapkan lebih ramai wanita di peringkat daerah menjadi ahli WI.


"WI Kuala Lipis kini mempunyai 780 ahli, selain ekonomi, aktiviti lain yang dilakukan membabitkan program agama seperti ceramah, kelas al-Quran dan tahlil.


"Kami sentiasa menjalinkan kerjasama di kalangan ahli terutama membabitkan perniagaan kerana ia membuka peluang untuk lebih maju dan berkembang," katanya yang lebih 12 tahun menjadi ahli WI Kuala Lipis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: