TASIK KENYIR yang terletak di Terengganu sememangnya tidak asing sebagai lokasi percutian yang kaya dengan keindahan alam semula jadinya yang unik dan mempesona. Meliputi kawasan seluas 260,000 hektar, Tasik Kenyir merupakan tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara.
Dikelilingi 340 pulau, 14 air terjun dan beberapa jeram dan batang sungai, tidak hairanlah ia sentiasa menerima kunjungan ribuan pelancong dari dalam dan luar negara yang mahu menyaksikan pelbagai keajaiban yang terdapat di dalamnya.
Malah, ia juga menjadi tumpuan golongan kaki pancing yang ghairah memburu pelbagai spesies ikan air tawar yang hidup bebas di situ.
Bagaimanapun, bermula 9 hingga 10 April nanti, Tasik Kenyir bakal menjadi tumpuan atlet tempatan dan antarabangsa sempena penganjuran Triathlon Antarabangsa Tasik Kenyir 2011 (KLIT 2011).
Pertandingan memasuki edisi ketujuh itu dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan kerjasama Triportz Event Management sebagai salah satu acara pelancongan sukan yang tersenarai dalam Acara Teras Kalendar Pelancongan Negeri 2011.
Pengarah pertandingan, Chan Chee Seng berkata, penganjuran KLIT 2011 menggunakan format pertandingan antarabangsa.
|
|
Katanya, kesemua peserta akan mengharungi tiga disiplin utama iaitu berenang sejauh 1.5 kilometer (km), berbasikal (40km) dan berlari (10km).
“Secara keseluruhan sebanyak 10 kategori bakal dipertandingkan membabitkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM55,000.
“Menariknya, KLIT 2011 akan mempunyai trek baru untuk acara berbasikal dan berlari. Ia pastinya menjanjikan cabaran kepada peserta-peserta,” jelasnya.
Sehingga kini, seramai 237 peserta telah mendaftar dan pihaknya menjangka ia bakal disertai lebih 400 peserta dari dalam dan luar negara.
Di antara beberapa peserta ternama yang telah mengesahkan penyertaan ialah Mathieu O’Halloran (juara tahun 2009) dan Emma Bishop dari Kanada serta peserta negara, Shahrom Abdullah dan Muhammad Hafiz Wong.
Sementara itu, Pengurus Besar Ketengah, Hamzah Ngah memberitahu acara itu bakal menjadi platform dalam mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama khususnya di Terengganu dan Malaysia, amnya.
“Keistimewaan KLIT 2011 adalah peserta-peserta akan berenang di tasik yang jernih, berbasikal dan berlari sambil menghirup udara bersih selain menikmati kehijauan flora serta fauna di sekelilingnya.
“Secara tidak langsung ia akan mempelbagaikan fungsi tasik ini, di samping menjadi destinasi pelancongan, ia juga sesuai dijadikan gelanggang pelbagai aktiviti sukan termasuk yang bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, KLIT 2011 agak berbeza berbanding sebelumnya kerana ia akan diadakan serentak dengan Festival Kenyir yang berlangsung pada 7 hingga 12 April nanti.
Katanya, festival yang bakal memasuki edisi ketiga penganjurannya itu diadakan sempena meraikan ulang tahun ke-38 Ketengah. Bagi tujuan itu, pihaknya sudah merangka pelbagai aktiviti menarik khusus untuk pengunjung-pengunjung.
“Antaranya ialah Karnival Usahawan, pertandingan ayam serama ASEAN, pertunjukan belon udara panas, pertandingan jet ski, pertandingan perahu naga serta pertandingan kereta dan motosikal.
“Kami berharap kesemua acara ini mendapat sambutan dan menarik pengunjung dan pelancong untuk mengenali Tasik Kenyir dengan lebih dekat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: