Tuesday, March 15, 2011

Mendekati peserta RL5, Maharaja Lawak


AKSI kesungguhan peserta Cabaran Raja Lawak.


MENDEKATKAN diri dengan peminat sememangnya langkah bijak diambil oleh pihak Astro Prima (saluran 105 Astro) dalam memperluaskan lagi pengaruh serta aura peserta Raja Lawak yang menjengah ke musih ke lima (RL5) tahun ini.

Buat pertama kalinya, peserta RL5 dan peserta program yang bakal menjadi tumpuan di saluran itu, Maharaja Lawak digabungkan dalam satu acara bersama hampir 1,000 peminat mereka.

Bertempat di taman tema air, Sunway Lagoon baru-baru ini mereka bergabung tenaga dalam Cabaran Raja Lawak yang diadakan secara santai dalam pencarian harta karun.

Menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, aktiviti tersebut sengaja diadakan bagi merapatkan hubungan para peserta Raja Lawak dan Maharaja Lawak dengan peminat-peminat setia mereka.

Bermula pukul 11 pagi, para peserta RL5 yang masih kekal iaitu Man, Nazmi, kumpulan R2 dan kumpulan Balas bersama para peserta RL5 yang telah tersingkir dibahagikan kepada 10 kumpulan yang dianggotai oleh 10 orang termasuk peminat dan peserta Maharaja Lawak.

Peserta RL5 tersingkir yang turut serta dalam cabaran tersebut ialah Epy, Kopi O, Kami, Lucky dan Pukaw.

Selain Jihan dan Taukeh, peserta Maharaja Lawak yang turut mengambil bahagian dalam cabaran yang dihoskan oleh Aril AF7 itu ialah Alex, Kecik dan XN3.

"Ini aktiviti luar yang pertama kami adakan dengan menggabungkan peserta dari dua program berbeza untuk sama-sama beramah mesra dengan para peminat mereka.

"Berbanding tahun lalu, kami hanya membawa peserta RL4 ke Uptown, Damansara untuk membuat persembahan secara terbuka tetapi kali ini peminat mempunyai lebih masa untuk lebih mengenali siapa peserta Raja Lawak yang mereka minati.

"Memang sambutan yang diberikan oleh penyokong mereka di luar jangkaan. Daripada 1,000 keping tiket yang kami edarkan sebanyak 960 orang hadir memberi sokongan. Ini tidak termasuk mereka yang hadir dengan membeli tiket sendiri," kata Nizam.

Melihat kepada sambutan padu yang diberikan oleh peminat setia rancangan itu, tambah Nizam, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengadakan aktiviti seumpama itu sekali lagi pada musim akan datang.

Kumpulan dibahagikan kepada warna-warna tertentu termasuk merah, biru gelap, biru muda, coklat, hitam, kuning dan oren.

Kesungguhan terpancar jelas di wajah mereka apabila menggunakan masa yang ada berbincang sambil merentasi tiga kawasan iaitu Wet Park, Dry Park dan Wildlife Park untuk mencari pelbagai klu dalam melengkapkan cabaran tersebut.

Menghabiskan masa hampir dua jam mencari pelbagai klu dalam cabaran tersebut, kumpulan Hijau Muda yang diketuai oleh Fendi (anggota kumpulan R2) dari RL5 muncul juara dalam cabaran tersebut.

Setiap daripada mereka memenangi pemain MP3 Sony berserta hadiah berkumpulan berupa tiga hamper bernilai RM100.

Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Biru Muda yang diketuai oleh Jihan RL3 yang juga merupakan peserta Maharaja Lawak.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan Pink yang diketuai oleh Taukeh RL2 yang juga merupakan salah seorang peserta Maharaja Lawak yang bakal bersiaran di Astro Prima tidak lama lagi.

Kedua-dua kumpulan itu menerima hadiah berkumpulan berupa tiga hamper bernilai RM80 setiap satu.

Rating RL5 atasi RL4

Bercerita tentang perkembangan penerimaan penonton terhadap rancangan yang bakal memahat nama seorang lagi juara baru seminggu sahaja lagi, kata Nizam, perkembangan positif jelas ketara saban minggu.

Ini kata Nizak terbukti apabila rating RL5 berjaya mengatasi rating yang diperolehi oleh RL4 tahun lalu.

"Alhamdulillah sehingga kini rating RL5 sudah melepasi rating yang pernah diperolehi oleh RL4 tahun lalu.

"Saya boleh katakan ia jumlah yang sangat tinggi dan semakin menampakkan peningkatan. Saya rasa kekuatan Raja Lawak pada tahun ini banyak dipengaruhi oleh para pesertanya," kata Nizam sebelum mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: