Monday, March 14, 2011
Yana jadi mualaf
Sejak memenangi trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23), wajah Norliana Samsudin atau Yana kerap menghiasi kaca televisyen. Terbaru, gadis manis ini membintangi drama Nurin Qistina menerusi slot Galeri Famili di TV2.
Menerusi drama itu, Yana menjayakan watak utama seorang mualaf bernama Nurin Qistina yang berdepan dengan cabaran setelah memeluk Islam.
Yana berkata, dia sendiri tidak menyangka lakonannya dalam drama Nurin Qistina mendapat reaksi positif penonton. Sementelah lagi ia adalah antara drama terawal lakonannya.
“Saya berlakon drama ini dua tahun lepas. Ketika itu, saya masih mencari-cari tapak dalam dunia lakonan. Risau kalau ada kekurangan ketara dan penonton akan membandingkan dengan mutu lakonan saya kini.
“Namun, penonton memberikan pujian terhadap lakonan saya itu, walaupun mereka tidak tahu itu adalah lakonan lama. Saya turut menonton kembali lakonan saya dan rasa berbangga dengan hasilnya,” katanya.
Drama Nurin Qistina menguji kemampuan Yana yang pertama kali membawa karakter serius dan bermain dengan pelbagai emosi.
Menurutnya, prinsipnya adalah berlakon dengan ikhlas dan sentiasa melakukan yang terbaik dalam setiap watak diberi.
“Walaupun saya sudah menang anugerah, saya masih seperti dahulu. Tidak terlintas untuk mengejar anugerah lebih besar kerana bimbang tiada keikhlasan dalam lakonan.
“Saya syukur kerana tawaran lakonan semakin mencurah-curah tahun ini,” katanya yang tidak pernah bersikap ‘demanding’ dengan setiap tawaran yang datang.
Dalam perkembangan lain, Yana baru selesai menjalani penggambaran filem Bini-biniku Gangster arahan Ismail Bob Hashim, di samping Shaheizy Sam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: