|
|
SERI ISKANDAR 8 Mac - Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini melakar sejarah apabila persembahan seni tariannya menjuarai Persembahan Terbaik dan Muzik Terbaik pada Festival of Colours of the World (Fesco) yang diadakan di Dewan Canselor, UTP di sini semalam.
Persembahan tarian bertemakan 1Malaysia yang mengangkat keunikan dan kehalusan pelbagai bangsa dan budaya berjaya menewaskan lima wakil institusi pengajian tinggi (IPT) lain termasuk dua universiti luar negara.
Pengurus projek Fesco, Abdul Hakim Naser berkata, festival itu bukan sahaja merupakan acara persembahan kebudayaan dan seni, tetapi turut dijadikan sebagai platform mewujudkan hubungan dan perkongsian bijak antara para peserta.
"Selain membantu para penuntut mendapatkan maklumat tepat mengenai kepelbagaian budaya dan seni di dalam dan luar negara," katanya ketika ditemui di sini.
Fesco 2011 yang bertemakan Creative Dance One Malaysia mendapat kerjasama Jabatan Pengajian Tinggi dan kumpulan seni persembahan Petronas.
Fesco merupakan acara besar tahunan UTP yang bertujuan menggalakkan dan mendidik penuntut universiti serta masyarakat untuk menghargai kehalusan seni budaya tempatan dan antarabangsa.
Abdul Hakim berharap festival itu dapat melahirkan perpaduan dan integriti melalui seni dan budaya.
Selain UTP, IPT lain yang mengambil bahagian adalah Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Kolej Universiti HELP, Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta dua universiti luar negara iaitu Walailak University mewakili Thailand dan Universitas Gadjah Mada dari Indonesia.
Walailak University yang mempersembahkan The Mask Dance memenangi anugerah Kostum Terbaik manakala Universitas Gadja Mada meraih anugerah Persembahan Antarabangsa Terbaik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: