|
|
KOTA BHARU 8 Mac - Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, menubuhkan Kelab Neurosains peringkat sekolah dalam usaha meningkatkan minat pelajar terhadap bidang sains.
Sebagai permulaan, kelab itu dianggotai oleh kira-kira 100 pelajar dari dua buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra dan Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 3.
Melalui penglibatan mereka dalam kelab tersebut, pelajar berkenaan akan didedahkan dengan pelbagai kegiatan melibatkan pembelajaran dan pengetahuan berkenaan fungsi otak.
Ketua Jabatan Neurosains PPSP, Prof. Dr. Jafri Malin Abdullah berkata, pada peringkat permulaan, pihaknya telah menyenaraikan beberapa program untuk dilaksanakan.
"Antaranya, lawatan ke PPSP untuk memberi peluang kepada ahli kelab melihat secara dekat kajian mengenai fungsi otak dan organ berkaitan," katanya pada Majlis Pra Pelancaran Kelab Neurosains Sekolah Menengah Sains Tengku Muhammad Faris Petra di sini, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengetua sekolah berkenaan, Kamaruddin Jaafar.
Menurut Dr. Jafri Malin, pelajar terlibat juga akan dilibatkan dalam program Minggu Kesedaran Otak Peringkat Kampus Kesihatan yang akan diadakan tidak lama lagi.
Beliau berkata, sempena program tersebut, sesi soal jawab mengenai fungsi otak akan turut diadakan dan ia dijangka menarik perhatian peserta terutama ahli-ahli kelab.
Tambahnya, pihak PPSP sedang melakukan pelbagai penyelidikan mengenai fungsi otak yang boleh dikongsi bersama ahli-ahli kelab untuk meningkatkan minat mereka dalam bidang sains terutama neuro.
"Kebanyakan pelajar yang menyertai kelab ini menunjukkan minat mendalam untuk mengetahui pelbagai persoalan melibatkan otak dan minda.
"Melalui kelab ini, mereka berpeluang mengemukakan soalan bagi dicari jawapannya bersama-sama penuntut perubatan USM," katanya.
Beliau berkata, jawapan kepada setiap persoalan yang dibangkitkan ahli kelab, akan dibincang semula secara bersama pada pertemuan yang akan diadakan setiap dua kali sebulan.
Dr. Jafri Malin yang juga Presiden Persatuan Neurosains Malaysia berkata, banyak usaha perlu dilakukan bagi meningkatkan kefahaman di kalangan pelajar mengenai fungsi dan peranan otak.
"Setakat ini, masih ramai pelajar kurang memilih bidang sains dan menjadikannya satu kerjaya.
"Justeru, langkah awal perlu dilakukan untuk menarik minat mereka melalui pelbagai program di peringkat sekolah. Usaha ini penting supaya matlamat menambah bilangan saintis negara tercapai," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: