|
|
PERNAHKAH anda terfikir untuk meredah hutan belantara dan menikmati keindahan alam semula jadi dengan menunggang gajah persis babak-babak dalam filem?
Percaya atau tidak, itulah keistimewaan dan tarikan terbaru yang ditawarkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang khusus buat pengunjung-pengunjung tempatan dan juga antarabangsa.
Jika sebelum ini, pengunjung hanya didedahkan dengan aktiviti memberi makan dan mandi bersama gajah selain menunggangnya dalam kawasan yang ditetapkan, kini pengunjung turut berpeluang menyusuri kawasan hutan sejauh 1.5 kilometer (km) bersama-sama mamalia darat terbesar itu.
Menurut Ketua Unit Gajah di pusat itu, Nasharuddin Othman, tarikan terbaru yang dikenali sebagai 'Denai Gajah' itu amat bersesuaian dalam memenuhi kehendak dan keperluan pelancong yang tidak puas bermesra dan bersahabat dengan mamalia tersebut menerusi ketiga-ketiga aktiviti eko-pelancongan sedia ada.
Bahkan, secara tidak langsung ia dapat menambahkan lagi pengetahuan, kesedaran dan sokongan umum mengenai kepentingan pemuliharaan haiwan liar yang sering menjadi mangsa ancaman manusia itu.
“Untuk makluman, laluan Denai Gajah itu sudah siap sepenuhnya namun ia masih lagi dalam proses penambahbaikan terakhir sebelum mula dibuka kepada orang ramai pada Jun nanti.
Pengembaraan ajaib
“Bagaimanapun, orang awam dibenarkan menggunakan laluan denai itu untuk aktiviti seperti jogging mahupun pemerhatian burung di sekitar kawasan Rezab Hidupan Liar Krau ini,” katanya sewaktu Program Kembara Bersama Media anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) di pusat pemuliharaan itu baru-baru ini.
Ibarat pengembaraan ajaib menjelajahi belantara, begitulah perasaan tatkala berada di atas badan mamalia itu. Paling mencabar, tiada sebarang alas atau lapik diletakkan pada badan setiap gajah-gajah tersebut.
Bukan sekadar menunggang gajah, pengunjung akan turut didedahkan dengan keistimewaan khazanah flora dan fauna oleh ‘mahut’ (pelatih gajah) yang bertugas sepanjang merentasi denai tersebut.
Lucunya, ada dikalangan petugas media yang terpaksa bersabar dengan kerenah gajah yang 'seronok' dan tidak henti mengunyah dan menikmati hidangan daun hijau kegemaran mereka di sepanjang perjalanan yang mengambil masa selama 15 ke 20 minit bergantung kepada kelajuan haiwan tersebut.
Sementara itu, program selama tiga hari yang membawa rombongan kira-kira 33 orang peserta dalam kalangan media dan kakitangan NRE itu turut mengadakan lawatan ke Institut Biodiversiti (IBD), melihat pelaksanaan proses taksidermi selain mengunjungi Taman Rusa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: