Saturday, March 12, 2011

Memupuk semangat keusahawanan


SUASANA di tapak bazar sempena Minggu Keusahawanan dan Bazar Niaga di Politeknik Kuching Sarawak, baru-baru ini.


KUCHING 8 Mac - Seramai 800 orang pelajar serta pensyarah Politeknik Kuching Sarawak (PKS) berganding bahu menjayakan Minggu Keusahawanan dan Bazar Niaga sesi Disember 2010 yang berlangsung selama tiga hari bermula 3 Mac lalu.

Program anjuran Unit Keusahawanan dan Kelab Perdagangan yang diadakan di Dewan Serbaguna dan Dataran Bumbung Hijau PKS itu bertujuan memupuk semangat keusahawanan di kalangan pelajar.

Penyelaras program, Izawati Anwar Sham Sun Anwar berkata, ia juga sejajar dengan agenda transformasi Kementerian Pengajian Tinggi untuk menghasilkan graduan berkualiti dan berdaya usahawan.

Sekali gus, ujarnya, program itu menyahut seruan kerajaan dalam merealisasikan Model Baru Ekonomi (MBE).

"Dasar kerajaan dalam meningkatkan bilangan graduan terlibat dalam bidang keusahawanan meletakkan peranan semua institusi pengajian tinggi untuk membekalkan modal insan yang pro aktif dan inovatif kepada ekonomi negara.

"Justeru, PKS mengambil inisiatif dengan menganjurkan program tersebut pada setiap semester supaya pelajar dapat meneroka peluang perniagaan melalui pendedahan dan pengalaman sepanjang program berlangsung," katanya di sini baru-baru ini.

Pada program berkenaan, sebanyak 46 buah gerai dibuka meliputi pelbagai jenis jualan seperti makanan, produk kraf, percetakan, pendidikan, pakaian, hartanah dan telekomunikasi.

Di samping itu, program bertemakan 'Era Tradisional' itu turut memperkenalkan pelbagai jenis permainan tradisional seperti main getah, pertandingan membuat wau, lastik botol, membuat kepala singa daripada kotak serta pertandingan tarian singa.

Turut diadakan ialah seminar keusahawanan bertajuk 'Biar Kecil Tapi Berhasil', 'Perhebatkan Diri', 'Pemasaran Kreatif' dan 'Refleksi Diri' serta demonstrasi seni mempertahankan diri Silat Cekak Hanafi.

Mengulas lanjut, Izawati berkata, melalui program itu juga tahap pemahaman pelajar mengenai ilmu yang telah dipelajari di dalam kelas akan dinilai.

Katanya, ia ibarat serampang dua mata program berkenaan turut memberi pendedahan kepada para pelajar untuk bersaing secara sihat dalam perniagaan dengan mensasarkan 30 peratus keuntungan daripada modal yang dilabur.

"Keusahawanan dan pendidikan adalah dua perkara yang perlu digabungkan untuk membolehkan PKS melahirkan modal insan berkualiti.

"Di samping itu, ia turut memberi impak positif terhadap kemahiran 'soft skills' para pelajar serta memberi peluang kepada mereka untuk terlibat secara aktif dalam program-program di peringkat Politeknik." katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: