Monday, March 7, 2011

UPM pulihara khazanah biodiversiti


SEBAHAGIAN pelajar UPM bersama masyarakat Orang Asli
di Tasik Temenggor, Ulu Belum, Gerik, Perak, baru-baru ini.


KELAB Kembara Kolej Kediaman Kelima Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini menganjurkan program penyelidikan biodiversiti dalam usaha memelihara dan mengekalkan alam sekitar di kawasan hutan simpanan kekal di negara ini.

Program penyelidikan itu telah diadakan di Tasik Temenggor, Ulu Belum, Gerik, Perak dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pengarah program, Fitri Azizul memberitahu, penyelidikan itu bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran mengenai pemuliharaan kepelbagaian biologi negara melalui pemupukan sikap kasih sayang dan pembangunan lestari sumber asli serta kepelbagaian biologi negara.

"Berdasarkan penilaian, program ini telah memberi kesan yang amat baik kerana berjaya memupuk semangat dan kesedaran untuk mempertahankan alam sekitar daripada dimusnahkan oleh aktiviti segelintir manusia sendiri," katanya

Fitri berkata, adalah tidak mustahil generasi akan datang mengalami penderitaan yang lebih serius akibat kelalaian manusia hari ini.

"Masyarakat juga kian akur bahawa cara hidup masa kini antara punca kenapa masalah alam sekitar.

"Bagaimanapun kemerosotan mutu alam sekitar boleh dipulihkan sekiranya masyarakat bertanggungjawab menangani masalah ini. Kita boleh mengubahnya dengan syarat ada kesedaran, keyakinan, optimis dan ikhlas.

"Kita tidak perlu mengubah cara hidup serta-merta, tetapi boleh melakukannya secara beransur-ansur dan melalui pendidikan di mana masyarakat boleh disedarkan tentang masalah alam dan kaedah-kaedah untuk menanganinya," kata beliau.

Menurut Fitri, perubahan positif untuk mengembalikan kualiti alam sekitar giat dijalankan bagi memastikan generasi akan datang juga dapat menikmati hidup dalam kesejahteraan.

Katanya, sebahagian besar kejayaan itu adalah hasil pendidikan alam sekitar bukan sahaja membuka mata masyarakat terhadap kemerosotan kualiti alam tetapi turut mendorong mereka menyumbang sesuatu untuk memulihkan semula alam sekitar.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program penyelidikan itu ialah taklimat Leave No Trace, ceramah Perhilitan, Ice-Breaking, lawatan ke bilik inteprestasi, jejak reflesia dan lain-lain.

Selain itu, aktiviti dalam air, berkayak, merentas tasik, aktiviti dalam kumpulan, blind trail, malam kebudayaan dan melawat perkampungan Orang Asli turut diadakan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: