
TEMERLOH 4 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerdau di sini menjadi sekolah keenam di negeri ini menerima tajaan akhbar Utusan Malaysia oleh Pasdec Corporation Berhad (Pasdec) untuk digunakan sebagai bahan pembelajaran di sekolah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Khairuddin Abdul Manan berkata, tajaan itu merupakan lanjutan sumbangan pihaknya terhadap sekolah-sekolah di negeri ini yang menerima penajaan akhbar tersebut untuk tujuan pembelajaran.
Menurut beliau, pihaknya memainkan peranan penting dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat khususnya meningkatkan kecemerlangan pelajar sekolah di negeri ini.
"Saya berharap sumbangan itu dapat memberi manfaat dan meningkatkan pemahaman pelajar dalam menggunakan akhbar tersebut sebagai alat bantuan pembelajaran," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan tajaan akhbar Utusan Malaysia di sekolah tersebut di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Mazlan Mohamad; Pengurus Kanan Pengedaran Jabatan Pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad, Hasmadi Hassan dan Pengetua SMK Kerdau, Mohammad Ripin Sedek.
Beliau juga menyeru para pelajar supaya tekun dalam pelajaran dan berusaha menjadi pelajar cemerlang sekali gus melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Dalam pada itu, Mazlan berkata, tajaan akhbar tersebut akan menjadi contoh kepada pihak lain khususnya syarikat korporat bagi meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini.
Tambahnya, penggunaan akhbar sebagai alat pembelajaran merupakan satu kaedah yang dapat meningkatkan pemahaman pelajar terhadap mata pelajaran tertentu.
"Di dalam akhbar Utusan Malaysia terdapat sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) mengandungi pelbagai sukatan mata pelajaran yang boleh dijadikan sebagai bahan ulang kaji pelajar.
"Justeru, para pelajar harus memanfaatkan sepenuhnya sisipan tersebut terutama mereka yang akan menduduki peperiksaan penting pada tahun ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: