Wednesday, March 9, 2011

Tujuh konsert ubat kecewa Ahmad Nawab


unggul... Dr. Ahmad Nawab masih unggul selepas 50 tahun terbabit dalam bidang muzik.


TAHUN 2006 menyaksikan komposer Datuk Dr. Ahmad Nawab menerima Anugerah Seniman Negara daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan atau sekarang ini dikenali sebagai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK).

Anugerah berprestij itu merupakan yang tertinggi bagi menghargai bakat, pencapaian dan sumbangan seseorang anak seni daripada pelbagai bidang termasuklah anak kelahiran Pulau Pinang terbabit.

Sayangnya, menurut Dr. Ahmad Nawab, dia berasa kecil hati kerana selepas menerima pengiktirafan itu banyak janji-janji manis ditaburkan kepadanya terutamanya bagi mengadakan beberapa persembahan tetapi semuanya hanya tinggal janji.

“Banyak pihak menjanjikan saya itu dan ini termasuklah mengadakan persembahan tetapi mereka hanya pandai berjanji sahaja. Buktinya pada 2006 itu saya hanya mengadakan dua persembahan sahaja iaitu di Perlis dan Johor.

“Saya sangat kecewa kerana jumlah persembahan itu tidak sepadan dengan gelaran saya sebagai Seniman Negara. Rasa kecewa saya itu terubat apabila saya berjumpa dengan Harun Salim Bachik pada tahun lepas.

“Dia (Harun) kata mahu mengadakan konsert bergerak untuk saya ke seluruh negara. Undangan itu amat berharga buat saya. Cara itu saya berpeluang bertemu peminat yang belum pernah melihat persembahan saya,” luahnya pada sidang akhbar Konsert Legenda Tour 2011 Datuk Dr. Ahmad Nawab di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Dr. Ahmad Nawab, Harun yang merupakan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) kini sedang merangka siri konsert bergeraknya di tujuh tempat seluruh negara yang akan bermula di Johor Bahru pada 15 April ini.

Selepas konsert di The Zone Hotel, Johor Bahru itu, konsert tersebut juga akan diteruskan di Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, Kuala Terengganu, Kuantan dan Kuala Lumpur.

Orang tidak nampak

Beliau turut menyatakan rasa kesalnya apabila ramai penganjur pertunjukan pentas ketika ini lebih mengutamakan artis-artis baru. Secara tidak langsung ia seolah-olah meminggirkan komposer sepertinya yang telah mencipta lebih 2,000 lagu sepanjang kariernya.

“Ramai penganjur konsert lebih memandang artis baru atau penyanyi sedangkan mereka lupa komposer merupakan orang yang bertanggungjawab menaikkan seseorang penyanyi dengan lagu-lagu yang sedap didengar.

“Kalau tidak ada lagu-lagu yang bagus seseorang penyanyi itu sukar untuk popular. Perkara yang macam ini orang tidak nampak. Ramai orang tidak tahu betapa sukarnya komposer mahu mencipta lagu sampaikan tidak tidur malam,” ujarnya.

Tambahnya, konsert anjuran Koperasi Seniman Kuala Lumpur Berhad dan Seniman dengan kerjasama Extreme Event & Entertainment itu akan menampilkan ramai penyanyi lama dan baru pada konsert yang mengenakan tiket RM200 seorang atau RM2,000 untuk satu meja.

Selain akan bermain trompet dan saksofon, Dr. Ahmad Nawab yang lebih menekankan konsep muzik Latin pada konsert itu turut diiringi ramai pemuzik berpengalaman serta penyanyi-penyanyi yang pernah berada di bawah bimbingannya.

“Saya akan menjemput ramai artis pada konsert itu di mana saya akan umumkan kemudian. Setiap penyanyi yang ditampilkan berbeza-beza di setiap tempat konsert saya itu diadakan. Bukannya senang mahu menjemput penyanyi-penyanyi dalam konsert saya.

“Malah, bagi saya kalau hendak menjaga harimau lebih mudah daripada menjaga artis. Ada juga artis yang meminta bayaran yang tinggi untuk terbabit dalam konsert ini mengalahkan bayaran yang sepatutnya saya sendiri terima,” katanya.

Sementara itu, Harun pula berkata, dia dan Seniman mengambil inisiatif menganjurkan konsert itu kerana mendapati Dr. Ahmad Nawab merupakan seniman terbilang yang harus diingati dan dihayati karya-karyanya menerusi persembahan eksklusif tersebut.

Katanya, itu merupakan kali kedua Seniman menganjurkan persembahan yang seumpamanya selepas Datuk Jamil Sulong pada tahun lalu di mana ia secara tidak langsung akan mengingatkan generasi muda terhadap sumbangan seniman seperti Dr. Ahmad Nawab dalam bidang muzik.

“Konsert ini adalah impian Seniman yang mahu melihat artis-artis lama terus dihargai. Kalau konsert ini berjaya, Seniman akan cuba menganjurkannya pula di luar negara seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei dan United Kingdom.

“Selepas konsert ini, Seniman juga akan menganjurkan konsert yang sama. Mungkin mengadakan konsert komposer S. Atan pula kerana dia juga mempunyai banyak lagu-lagu ciptaannya yang dipopularkan oleh ramai penyanyi tempatan,” jelasnya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Koperasi Seniman Kuala Lumpur Berhad, Yusof Kelana dan Pengarah Urusan Extreme Event & Entertainment, Jefri Khalid.

Serentak dengan konsert itu kata Jefri, pihaknya bersama Seniman juga akan menganjurkan Fiesta Seniman All Starz pada 15 hingga 17 April ini di perkarangan Stadium Majlis Perbadaran Johor Bahru di mana ia dibuka kepada orang ramai secara percuma.

“Pada fiesta itu kita akan membuka banyak gerai menjual pelbagai jenis barangan dan juga persembahan artis-artis popular secara percuma. Fiesta itu diadakan tiga hari berturut-turut pada hari tersebut bermula pukul 10 pagi hingga 11 malam,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: