Wednesday, March 9, 2011

Mengimbau perjalanan seni Jins Shamsuddin


Jins Shamsuddin memberi kejutan kepada penonton pada malam pertama persembahan konsert Imbauan 3 di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), baru-baru ini dengan mendendangkan lagu Dari Masa Hingga Masa.


SINONIM dengan filem-filem bertemakan 'esok' pejuang seni dan seniman ulung, Tan Sri Dr. Jins Shamsuddin sememangnya satu nama besar dalam industri perfileman Melayu sejak era hitam putih lagi.

Bukan hanya berbakat sebagai pelakon, beliau yang bakatnya dicungkil oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjaya menempatkan diri sebaris dengan nama-nama besar industri perfileman seawal usianya 21 tahun lagi.

Percaya dengan bakat yang ada pada dirinya, tanggal 16 Mei 1956 menjadi detik yang tidak dapat dilupakan oleh Jins kerana itulah permulaan kerjaya seninya.

Menaiki basikal dari kampungnya di Taiping, Perak, sebelum menaiki keretapi ke Singapura, Jins menggagahkan diri untuk menghadiri uji bakat sebagai pelakon di Studio Jalan Ampas.

Nasib Jins cukup baik apabila diuji bakat oleh P. Ramlee.

Bermula dengan tugas membantu kerja-kerja penggambaran, Jins diberi peluang memegang watak-watak kecil dalam filem Keadilan Ilahi (1956) dan Anakku Sazali pada tahun yang sama agar mesra kamera sebelum diberi kepercayaan penuh memegang peranan hero dalam filem Panca Delima (1957).

Antara filem-filem lakonan Jins termasuklah Megat Terawis dan Lela Manja (1960), Si Tanggang (1961), Gerak Kilat (1966), Bayangan Ajal dan Jurang Bahaya (1967).

Di bidang pengarahan pula, Jins memulakan bakatnya menerusi filem terbitan Merdeka Filem Productions, Bukan Salah Ibu Mengandung (1969) dan filem Di Belakang Tabir pada tahun yang sama dengan menampilkan P. Ramlee sebagai pelakon.

Bukan Salah Ibu Mengandung bukan sahaja mencatatkan sejarah dalam profil Jins kerana itu filem pertama arahannya, malah ia juga telah mencetuskan kontroversi apabila ia menjadi filem Melayu yang pertama menyelitkan adegan cium.

Filem-filem lain arahannya sehingga kini masih menjadi kegemaran ramai termasuklah Menanti Hari Esok (1976), Tiada Esok Bagimu (1978), Esok Masih Ada (1979), Esok Untuk Siapa (1982), Bukit Kepong (1981) dan Ali Setan (1985).

Sumbangan besar beliau dalam industri perfileman barangkali menjadi faktor utama namanya terpilih sebagai fokus dalam mengalun melodi konsert Imbauan 3 yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 28 Februari dan 1 Mac lalu.

Persembahan hampir dua jam yang diiringi oleh Kumpulan Seni persembahan Petronas (KSPP) di bawah pimpinan Ahmad Muriz Che Rose itu memberi kepercayaan kepada dua penyanyi bervokal mantap, Dayang Nurfaizah dan Roy.

insan seni

Menariknya, malam pertama persembahan konsert itu, kejutan diberi oleh Jins sendiri apabila tampil menyanyikan lagu Dari Masa Hingga Masa, runut bunyi daripada filem Panca Delima.

Jins adalah insan seni ketiga yang namanya diangkat sebagai fokus utama siri Imbauan yang dipersembahkan di pentas berprestij itu.

Dua daripada siri Imbauan itu menampilkan persembahan penyanyi bersuara lunak, Datuk Khadijah Ibrahim pada tahun 2008 diikuti Imbauan 2 yang mengangkat lagu-lagu filem lakonan Allahyarham Normadiah tahun lalu.

Istimewanya persembahan tersebut menampilkan anak-anak Allahyarham sendiri iaitu Azlina Aziz dan Liza Aziz di samping Musly Ramlee sebagai penyanyi undangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: